All prayer guides

NIAT & CARA SOLAT JAMAK QASAR (Panduan Lengkap)

NIAT & CARA SOLAT JAMAK QASAR (Panduan Lengkap)

Mukadimah

Solat jamak qasar merupakan satu keringanan yang Islam berikan kepada sesiapa yang berada dalam perjalanan (musafir) — mereka dibenarkan menggabungkan dua solat fardu ke dalam satu waktu (jamak), di samping meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat sahaja (qasar).

Melalui panduan ini, anda akan dibimbing langkah demi langkah untuk menunaikan solat jamak qasar dengan cara yang senang difahami dan menyeluruh.

Antara perkara yang dibincangkan ialah niat solat jamak qasar, kaedah pelaksanaannya, serta syarat-syarat dan hukum-hakam yang berkaitan dengannya.

Apa yang penting:

Semua bacaan turut disertakan dalam bentuk transliterasi rumi bagi membantu anda yang belum lancar membaca tulisan arab. Selain itu, terdapat juga bahagian soal jawab (FAQ) yang boleh dijadikan rujukan mengikut situasi masing-masing.

Mudah-mudahan panduan ini bermanfaat untuk anda.

Pengenalan Rukhsah Solat

Allah Yang Maha Pemurah tidak pernah meletakkan ke atas hamba-hambaNya tanggungjawab yang di luar kemampuan mereka.

Sekiranya kita dalam perjalanan melebihi 2 marhalah, syarak memberi keizinan untuk kita menjamak (menghimpun) serta mengqasar (memendekkan) solat. Keizinan seperti ini dinamakan rukhsah (kemudahan).

Kemudahan yang dimaksudkan ialah kelonggaran bagi musafir yang perjalanannya melepasi dua marhalah (92km), kerana mereka mungkin sukar untuk berhenti bagi menunaikan solat beberapa kali sepanjang perjalanan.

Dengan kata lain, dua solat boleh dijamakkan dan diqasarkan serentak.

Maksud Jamak Qasar

Solat jamak qasar sebenarnya menggabungkan dua bentuk rukhsah (kemudahan) yang dikurniakan kepada umat Islam semasa dalam permusafiran.

  • ‘Jamak’ mengizinkan dua waktu solat fardu dihimpunkan (misalnya Zohor bersama Asar, atau Maghrib bersama Isyak) lalu ditunaikan dalam satu waktu solat sahaja.
  • ‘Qasar’ pula ialah meringkaskan bilangan rakaat solat fardu daripada empat rakaat kepada dua rakaat, dan ia terhad kepada solat Zohor, Asar, dan Isyak.

Bila kedua-duanya disatukan, seorang musafir dapat menghimpunkan dua waktu solat sambil turut mengurangkan bilangan rakaatnya.

Maksud Jamak

Jamak membawa erti menghimpunkan. Dari sudut bahasa, jamak ialah kalimah Arab yang bererti menghimpunkan atau mengumpulkan perkara yang bertaburan. Dalam konteks solat, maksudnya ialah menghimpunkan dua waktu solat fardu dengan menunaikan kedua-duanya dalam satu waktu.

Maksud Qasar

Qasar membawa erti memendekkan solat. Sebagai contoh, solat empat rakaat diringkaskan kepada dua rakaat sahaja. Solat yang boleh diringkaskan kepada dua rakaat ialah Solat Isyak, Zohor dan Asar. Qasar juga boleh dilaksanakan bersama Jamak, iaitu jumlah rakaat dipendekkan dan solat-solat berkenaan dihimpunkan sekali gus.

Maksud Solat Tamam

Solat tamam ialah menunaikan solat secara sempurna tanpa menggunakan rukhsah (kemudahan) qasar. Maksudnya, solat dikerjakan dengan bilangan rakaat yang penuh sebagaimana asalnya — contohnya empat rakaat bagi solat Zohor, Asar, dan Isyak — apabila seseorang itu bukan dalam keadaan musafir.

Solat tamam adalah lawan kepada solat qasar; dalam solat qasar, rakaat bagi solat-solat tertentu diringkaskan kepada dua rakaat ketika seseorang itu bermusafir.

Cara Mengerjakan Solat Jamak Qasar

Ringkasan Cara Mengerjakan Solat Jamak Qasar

  • Mulakan Solat Jamak Qasar dengan berniat di dalam hati sebelum takbiratul ihram: “Sahaja aku solat fardu (Zohor / Asar atau Maghrib / Isyak) qasar dua rakaat jamak (taqdim / takhir) kerana Allah Taala”.
  • Bacaan dalam Solat. Pada setiap rakaat, bacakan surah al-Fatihah dan sambung dengan mana-mana surah lazim.
  • Rukuk dan Sujud. Kerjakan rukuk serta sujud sebanyak dua kali dalam keadaan tuma’ninah.
  • Rakaat Kedua. Lakukan semula bacaan dan pergerakan sama seperti pada rakaat pertama.
  • Tahiyyat Akhir dan Salam. Selepas rakaat kedua, duduk bagi tahiyyat akhir lalu tamatkan solat dengan memberi salam.
  • Bagi jamak taqdim, solat yang kedua perlu terus dikerjakan dengan niat jamak sebaik selesai solat pertama. Bagi jamak takhir pula, berniatlah untuk melewatkan solat waktu pertama ke dalam waktu solat yang kedua.

Niat Solat Jamak

Niat solat jamak bermaksud berazam untuk menghimpunkan dua solat fardu ke dalam satu waktu. Kebiasaannya niat ini dihadirkan di dalam hati ketika takbiratul ihram bagi solat yang ingin dijamakkan.

Contohnya, seorang musafir yang mahu menjamak Solat Zohor dengan Asar akan berniat menunaikan Solat Zohor lalu disusuli terus dengan Solat Asar dalam waktu Zohor, ataupun sebaliknya — bergantung sama ada dia memilih jamak taqdim atau jamak takhir.

Berikut disediakan panduan niat solat Jamak & Qasar bersama langkah demi langkah mengerjakan solat jamak & qasar (taqdim dan takhir) bagi setiap solat fardu yang berkaitan:

Niat Solat Jamak Zohor dan Asar (JAMAK TAQDIM)

Langkah-langkah solat Jamak Taqdim Zohor dan Asar adalah seperti berikut:

1

Apabila waktu zohor telah masuk sedangkan kita masih dalam perjalanan bermusafir, ambillah wuduk dan bersiaplah untuk menunaikan solat.

2

Berikut ialah lafaz niat solat jamak taqdim bagi Solat Zohor:

Niat Solat Jamak Taqdim Zohor

أُصَلِّي فَرۡضَ الظُّهۡرِ قَصۡرًا رَكۡعَتَيۡنِ جَمۡعَ تَقۡدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

3

Ketika takbiratul ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

4

Tunaikanlah solat fardu zohor itu sebanyak dua rakaat, dengan membaca surah al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

5

Sebaik memberi salam, terus bangun untuk mengerjakan Solat Fardu Asar tanpa berwirid, berdoa atau menunaikan solat sunat. Kedua-dua solat fardu itu tidak boleh diselangi jarak masa yang panjang (muwalat).

6

Lafaz niat bagi solat jamak fardu Asar:

Niat Solat Jamak Taqdim Asar

أُصَلِّي فَرۡضَ العَصۡرِ قَصۡرًا رَكۡعَتَيۡنِ جَمۡعَ تَقۡدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

7

Ketika Takbiratul Ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

8

Tunaikan solat fardu Asar itu sebanyak dua rakaat, dengan membaca surah al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

9

Dengan itu, Solat Fardu Asar tidak perlu lagi dikerjakan apabila tiba waktu Asar nanti.

Niat Solat Jamak Asar Dan Zohor (JAMAK TAKHIR)

Langkah-langkah solat Jamak Takhir Zohor dan Asar adalah seperti berikut:

1

Apabila waktu zohor telah masuk sedangkan kita masih dalam perjalanan bermusafir, berniatlah untuk menunaikan solat fardu Zohor pada waktu Asar nanti.

2

Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Zohor jamak takhir di waktu Asar nanti”.

Niat ini merupakan syarat bagi jamak takhir. Sekiranya ia tidak diniatkan ketika masih dalam waktu Zohor, jamak itu tidak sah.

Ertinya, sesiapa yang terlupa berniat tidak boleh melakukan jamak takhir, sebaliknya wajib mengqada solat Zohor terlebih dahulu.

3

Sebaik masuk waktu Asar, bersiaplah untuk solat. Dahulukan solat fardu Asar. Sambil berdiri menghadap kiblat, sebutkan lafaz niatnya:

Niat Solat Jamak Takhir Asar

أُصَلِّي فَرۡضَ العَصۡرِ قَصۡرًا رَكۡعَتَيۡنِ جَمۡعَ تَأۡخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

4

Ketika takbiratul ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

5

Tunaikanlah solat fardu Asar itu sebanyak dua rakaat, dengan membaca surah al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

6

Sebaik memberi salam, terus bangun untuk mengerjakan Solat Fardu Zohor tanpa berwirid, berdoa atau menunaikan solat sunat. Kedua-dua solat fardu itu tidak boleh diselangi jarak masa yang panjang (muwalat).

7

Lafaz niat bagi solat jamak fardu Zohor:

Niat Solat Jamak Takhir Zohor

أُصَلِّي فَرۡضَ الظُّهۡرِ قَصۡرًا رَكۡعَتَيۡنِ جَمۡعَ تَأۡخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Jam’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

8

Ketika Takbiratul Ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

9

Tunaikanlah solat fardu Zohor itu sebanyak dua rakaat, dengan membaca surah Al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

Niat Solat Jamak Maghrib dan Isyak (JAMAK TAQDIM)

Langkah-langkah solat Jamak Taqdim Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:

1

Apabila waktu maghrib telah masuk sedangkan kita masih dalam perjalanan bermusafir, ambillah wuduk dan bersiaplah untuk menunaikan solat.

2

Berdiri tegak menghadap kiblat. Berikut ialah lafaz niat solat jamak taqdim bagi Solat Maghrib:

Niat Solat Jamak Taqdim Maghrib

أُصَلِّي فَرۡضَ المَغۡرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ جَمۡعَ تَقۡدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Maghribi TsaLaTsa Raka’atin Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Maghrib, tiga rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

Nota

Solat Fardu Maghrib tidak boleh diqasarkan (dipendekkan). Ia hanya boleh dijamakkan sahaja.

3

Ketika takbiratul ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

4

Tunaikanlah solat fardu Maghrib itu sebanyak tiga rakaat, dengan membaca surah al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

5

Sebaik memberi salam, terus bangun untuk mengerjakan Solat Fardu Isyak tanpa berwirid, berdoa atau menunaikan solat sunat. Kedua-dua solat fardu itu tidak boleh diselangi jarak masa yang panjang (muwalat).

6

Lafaz niat bagi solat jamak Fardu Isyak:

Niat Solat Jamak Taqdim Isyak

أُصَلِّي فَرۡضَ العِشَاءِ قَصۡرًا رَكۡعَتَيۡنِ جَمۡعَ تَقۡدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

7

Ketika Takbiratul Ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

8

Tunaikanlah solat fardu Isyak itu sebanyak dua rakaat, dengan membaca surah al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

9

Dengan itu, solat fardu Isyak tidak perlu lagi dikerjakan apabila tiba waktu Isyak nanti.

Niat Solat Jamak Isyak Dan Maghrib (JAMAK TAKHIR)

Langkah-langkah solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:

1

Apabila waktu Maghrib telah masuk sedangkan kita masih dalam perjalanan bermusafir, berniatlah untuk menunaikan solat fardu Maghrib pada waktu Isyak nanti.

2

Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Maghrib jamak takhir di waktu Isyak nanti”.

Niat ini merupakan syarat bagi jamak takhir. Sekiranya ia tidak diniatkan ketika masih dalam waktu Maghrib, jamak itu tidak sah.

Ertinya, sesiapa yang terlupa berniat tidak boleh melakukan jamak takhir, sebaliknya wajib mengqada solat Maghrib terlebih dahulu.

3

Sebaik masuk waktu Isyak, bersiaplah untuk solat. Dahulukan solat fardu Isyak. Sambil berdiri menghadap kiblat, sebutkan lafaz niatnya:

Niat Solat Jamak Takhir Isyak

أُصَلِّي فَرۡضَ العِشَاءِ قَصۡرًا رَكۡعَتَيۡنِ جَمۡعَ تَأۡخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Jama’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

4

Ketika takbiratul ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

5

Tunaikanlah solat fardu Isyak itu sebanyak dua rakaat, dengan membaca surah al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

6

Sebaik memberi salam, terus bangun untuk mengerjakan Solat Fardu Maghrib tanpa berwirid, berdoa atau menunaikan solat sunat. Kedua-dua solat fardu itu tidak boleh diselangi jarak masa yang panjang (muwalat).

7

Lafaz niat bagi solat fardu Maghrib:

Niat Solat Jamak Takhir Maghrib

أُصَلِّي فَرۡضَ المغۡرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ جَمۡعَ تَأۡخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Maghribi Salasa Raka’atin Jam’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat jamak takhir kerana Allah Taala

8

Ketika Takbiratul Ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

9

Tunaikanlah solat fardu Maghrib itu sebanyak tiga rakaat (Maghrib tiada qasar), dengan membaca surah al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

Niat Solat Jamak Hari Jumaat

Langkah-langkah solat Jamak Taqdim Zohor dan Asar adalah seperti berikut:

1

Musafir yang bertolak sebelum fajar subuh menjelma pada hari jumaat tidak diwajibkan menunaikan Solat Jumaat. Namun begitu, sekiranya kita ingin menjamakkan Solat Jumaat dengan Solat Fardu Asar, ia dibenarkan dan sah.

2

Dalam mazhab Syafi’e, ia hanya harus dilakukan secara jamak taqdim sahaja; jamak takhir tidak dibenarkan kerana Solat Jumaat tidak boleh ditangguhkan keluar dari waktunya.

Imam al-Khatib asy-Syarbini di dalam al-Iqna’ berkata: “Jumaat adalah seumpama Zohor dalam jamak taqdim. Ditegah jamak takhir kerana solat Jumaat tidak mungkin dilewatkan dari waktunya.

3

Bagi menjamakkan Solat Jumaat dengan Asar, tunaikan dahulu Solat Jumaat seperti kebiasaan. Niatnya ialah:

Niat Solat Fardu Jumaat

أُصَلِّي فَرۡضَ الۡجُمُعَةِ رَكۡعَتَيۡنِ مَأۡمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala

Ketika takbiratul ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas.

4

Sebaik memberi salam, terus bangun untuk mengerjakan Solat Fardu Asar tanpa berwirid, berdoa atau menunaikan solat sunat. Kedua-dua solat fardu itu tidak boleh diselangi jarak masa yang panjang (muwalat).

5

Lafaz niat bagi solat jamak fardu Asar:

Niat Solat Jamak Taqdim Asar

أُصَلِّي فَرۡضَ العَصۡرِ قَصۡرًا رَكۡعَتَيۡنِ جَمۡعَ تَقۡدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

6

Ketika Takbiratul Ihram, hadirkan niat di dalam hati selaras dengan maksud lafaz niat di atas. Tunaikan solat fardu Asar itu sebanyak dua rakaat, dengan membaca surah Al-Fatihah diikuti surah-surah yang lain.

7

Dengan itu, Solat Fardu Asar tidak perlu lagi dikerjakan apabila tiba waktu Asar nanti.

Cara Mengira dan Memahami Status Musafir

Status sebagai musafir bermula sebaik sahaja kita keluar dari kawasan kediaman dan melintasi sempadannya.

Permusafiran dikira bermula apabila seseorang melepasi batas kawasan tempat tinggalnya — contohnya sungai, parit, kawasan perumahan, atau kawasan yang tiada bangunan dan tanda penempatan. Sebaik sahaja batas ini dilepasi, dia sudah dikira musafir dan berhak menikmati keringanan (rukhsah) dalam ibadah seperti solat jamak dan qasar.

Sebaliknya, permusafiran dikira berakhir apabila seseorang tiba semula di kawasan asal tempat perjalanannya bermula. Ketika itu, semua keringanan musafir seperti solat jamak dan qasar tidak lagi terpakai. Solat perlu ditunaikan semula secara sempurna (tamam) seperti biasa.

Jarak Minimum Solat Jamak Dan Qasar

Menurut Mazhab Syafie, jarak minimum bagi solat jamak dan qasar ialah dua marhalah, iaitu lebih kurang 89-92 kilometer. Jarak inilah yang dikira memadai untuk melayakkan seorang musafir mendapat keringanan tersebut.

Perjalanan itu mestilah diniatkan dengan jelas dari awal, bukan untuk tujuan maksiat, serta menepati syarat-syarat lain — antaranya tidak berniat bermukim melebihi tiga hari penuh di destinasi.

Ukuran jarak ini bersandarkan dalil daripada al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 101 yang menyebut, “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu menqasarkan solat.”

Selain itu, hadis Riwayat Muslim menyebutkan: Rasulullah SAW mengerjakan solat Zohor dua rakaat dan solat Asar dua rakaat di Mina ketika Haji Wada’.”

Justeru, sesiapa yang menempuh perjalanan melebihi 89 kilometer boleh mengambil keringanan ini, sama ada semasa pergi mahupun pulang. Namun jika jaraknya tidak sampai 89 kilometer, solat jamak dan qasar tidak dibenarkan.

Contoh:

  1. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka (lebih kurang 145 km): Boleh solat jamak dan qasar.
  2. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Klang (lebih kurang 40 km): Tidak boleh solat jamak dan qasar kerana jaraknya tidak mencapai 89 km.

Berapa Hari Boleh Solat Jamak Qasar?

Menurut Mazhab Syafie, solat jamak dan qasar diharuskan sepanjang 3 hari penuh di destinasi (hari tiba dan hari pulang tidak dikira) selagi seseorang itu tidak berniat bermukim melebihi 3 hari penuh. Sekiranya dia berniat tinggal lebih daripada 3 hari penuh, keringanan jamak dan qasar terbatal bermula hari pertama dia sampai di destinasi.

Jadual berikut menunjukkan status solat jamak dan qasar bagi seorang musafir, mengikut hari serta keadaan perjalanannya.

Hari

Keadaan

Status Solat Jamak & Qasar

Jumaat

Perjalanan ke lokasi

✔️ Boleh

Sabtu

Hari Pertama

✔️ Boleh

Ahad

Hari Kedua

✔️ Boleh

Isnin

Hari Ketiga

✔️ Boleh

Selasa

Perjalanan Pulang

✔️ Boleh

Contoh Situasi

Ahmad bakal berkenderaan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru (jaraknya melebihi 300 km) untuk menyertai satu seminar. Beliau berniat tinggal di Johor Bahru selama 3 hari penuh atau kurang sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Berdasarkan jadual, situasinya adalah seperti berikut:

  • Status musafir Ahmad kekal sepanjang tempoh beliau di Johor Bahru kerana niatnya hanyalah bermukim 3 hari penuh atau kurang. Maka solat jamak dan qasar sah ditunaikan semasa perjalanan pergi, sepanjang berada di destinasi, dan semasa perjalanan pulang.
  • Selagi berada di destinasi, Ahmad boleh terus solat secara jamak dan qasar kerana status musafirnya masih berkuat kuasa dalam tempoh itu.

Jadual seterusnya pula menunjukkan status solat jamak dan qasar bagi orang yang sudah berniat untuk bermukim di sesuatu destinasi melebihi 3 hari penuh.

Hari

Keadaan

Status Solat Jamak & Qasar

Isnin

Perjalanan ke lokasi

✔️ Boleh

Selasa

Hari Pertama

❌ Tidak Boleh

Rabu

Hari Kedua

❌ Tidak Boleh

Khamis

Hari Ketiga

❌ Tidak Boleh

Jumaat

Hari Keempat

❌ Tidak Boleh

Sabtu

Perjalanan Pulang

✔️ Boleh

Contoh Situasi

Siti bakal berkenderaan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu (jaraknya melebihi 450 km) untuk hadir ke sebuah majlis perkahwinan. Beliau berniat bermukim di Kota Bharu selama 5 hari penuh sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Berdasarkan jadual, situasinya adalah seperti berikut:

  • Sebaik tiba di Kota Bharu, status musafir Siti terputus kerana beliau sudah berniat tinggal melebihi 3 hari penuh. Justeru, solat jamak dan qasar hanya sah dilakukan semasa perjalanan pergi dan perjalanan pulang sahaja.
  • Sepanjang tempoh bermukim di destinasi itu, beliau wajib menunaikan solat secara penuh mengikut waktu asalnya.

Nota Berkaitan Status Musafir

  • Sekiranya seorang musafir berhasrat singgah di sesuatu tempat selama 4 hari atau lebih, terputuslah permusafirannya; tetapi jika dia hanya mahu singgah selama tiga hari, jamak dan qasar masih dibenarkan. Tempoh tiga hari itu tidak mengambil kira hari tiba dan hari bertolak keluar.
  • Sekiranya seseorang singgah di sesuatu tempat dengan niat berada di situ tiga hari sahaja, tetapi urusannya tertangguh dari sehari ke sehari, dia diharuskan jamak dan qasar sehingga 18 hari.
  • Sesiapa yang bermusafir untuk melakukan maksiat tidak diharuskan menunaikan sembahyang secara jamak dan qasar.
  • Sesiapa yang ingin melakukan jamak takhir disunatkan berniat seawal mungkin, bukannya menunggu hingga hujung waktu baru berniat.
  • Seorang musafir juga mesti jelas hala tuju perjalanannya. Jika destinasi perjalanan itu tidak diketahui, jamak atau qasar tidak boleh dilakukan.

Syarat solat jamak qasar

Syarat-Syarat Solat Jamak Taqdim & Takhir

solat sunat zuhur

Solat jamak ialah keringanan (rukhsah) buat para musafir untuk menghimpunkan dua solat dalam satu waktu, sama ada secara Jamak Taqdim (mengerjakan kedua-duanya dalam waktu solat pertama) atau Jamak Takhir (menangguhkan solat ke waktu yang kedua). Kedua-dua bentuk jamak ini masing-masing mempunyai syarat yang wajib dipenuhi.

Syarat Solat Jamak Taqdim

Dalam jamak taqdim, solat yang pertama didahulukan dalam waktunya sendiri. Misalnya, Zuhur ditunaikan dalam waktu Zuhur sebelum Asar, atau Maghrib ditunaikan dalam waktu Maghrib sebelum Isyak.

Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

Syarat Solat Jamak Taqdim — 1. Tertib dalam Melakukan Solat

Solat yang pertama wajib dikerjakan dahulu sebelum solat yang kedua. Contohnya, solat Zuhur perlu ditunaikan sebelum solat Asar, manakala solat Maghrib perlu ditunaikan sebelum solat Isyak. Sekiranya susunan ini tidak dijaga, jamak taqdim menjadi tidak sah.

Syarat Solat Jamak Taqdim — 2. Niat Jamak pada Solat Pertama

Niat untuk menghimpunkan dua solat (jamak) perlu dihadirkan pada solat yang pertama. Ia boleh dilakukan sewaktu memulakan takbiratul ihram. Sekiranya terlupa, niat itu masih diterima selagi ia dibuat dalam solat pertama sebelum salam diberikan.

Syarat Solat Jamak Taqdim — 3. Berturut-turut antara Dua Solat (Muwalat)

  • Kedua-dua solat mesti dikerjakan bersambungan tanpa jarak masa yang panjang.
  • Sekiranya jarak masa antara keduanya cukup lama untuk mengerjakan solat dua rakaat, jamak taqdim terbatal.
  • Walau bagaimanapun, jika kelewatan itu berpunca daripada perkara yang tidak dapat dielakkan seperti iqamat atau mengambil wuduk, jamak taqdim tidak terjejas.

Syarat Solat Jamak Taqdim — 4. Status Musafir Berterusan

Status musafir mesti masih kekal sekurang-kurangnya sehingga takbiratul ihram solat yang kedua dilakukan. Tidak disyaratkan status itu berterusan sehingga kedua-dua solat tamat.

Syarat Solat Jamak Taqdim — 5. Tidak Ada Halangan yang Membatalkan Jamak

Tidak boleh wujud halangan seperti waktu solat kedua masuk sebelum kedua-dua solat sempat disempurnakan. Sekiranya waktu solat kedua sudah tiba sebelum kedua-duanya selesai, jamak taqdim dikira tidak sah.

Syarat Solat Jamak Takhir

Dalam jamak takhir, solat yang pertama ditangguhkan ke dalam waktu solat kedua. Misalnya, Zuhur ditunaikan dalam waktu Asar, atau Maghrib ditunaikan dalam waktu Isyak.

Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  1. Niat Jamak dalam Waktu Solat Pertama Niat untuk menangguhkan solat pertama ke dalam waktu solat kedua mesti dibuat sementara waktu solat pertama masih ada. Contohnya, niat menghimpunkan solat Zuhur ke dalam waktu Asar hendaklah dilakukan sebelum waktu Zuhur berakhir.

  2. Kekal dalam Status Musafir Status musafir mesti berkekalan sehinggalah kedua-dua solat itu selesai. Sekiranya permusafiran berakhir sebelum kedua-dua solat disempurnakan, rukhsah jamak tidak lagi terpakai.

  3. Melakukan Solat dalam Waktu Kedua Kedua-dua solat wajib ditunaikan dalam waktu solat yang kedua. Contohnya, solat Zuhur dan Asar hendaklah dikerjakan dalam waktu Asar.

  4. Tidak Ada Halangan Syariat Jamak takhir tidak boleh dibuat sekiranya wujud halangan syariat, seperti keadaan yang mewajibkan solat pertama disegerakan dalam waktunya.

Contoh Situasi (Jamak Taqdim & Takhir)

Contoh Jamak Taqdim: Ali sedang bermusafir dari Kuala Lumpur menuju ke Johor. Sewaktu masuk waktu Zuhur, dia singgah berehat di sebuah R&R lalu menunaikan solat Zuhur disusuli terus solat Asar (jamak taqdim). Dia memastikan:

  • Niat jamak dihadirkan pada permulaan solat Zuhur.
  • Solat Zuhur dan Asar dikerjakan bersambungan tanpa jarak masa yang panjang.
  • Status musafirnya masih berkekalan sehingga takbiratul ihram solat Asar selesai.

Contoh Jamak Takhir: Ahmad pula seorang musafir yang tidak berkesempatan menunaikan solat Zuhur dalam waktunya kerana kesuntukan masa di pertengahan perjalanan. Dia pun berniat menangguhkan solat Zuhur ke dalam waktu Asar (jamak takhir). Apabila masuk waktu Asar, dia mendirikan Solat Asar dahulu kemudian Solat Zuhur, sambil memastikan:

  • Niat jamak dibuat semasa waktu Zuhur masih ada, sebelum ia berakhir.
  • Kedua-dua solat ditunaikan dalam waktu Asar.
  • Status musafirnya berkekalan sehingga kedua-dua solat itu selesai.

Syarat-Syarat Melakukan Solat Secara Qasar

solat dhuha

Solat qasar merupakan rukhsah (keringanan) buat musafir untuk meringkaskan solat fardu empat rakaat kepada dua rakaat sahaja. Namun begitu, ada beberapa syarat yang mesti dipenuhi supaya solat qasar itu dikira sah.

Syarat-syaratnya diperincikan seperti berikut:

1. Musafir Tidak Bertujuan Maksiat

Tujuan permusafiran mestilah sesuatu yang diizinkan syarak. Sekiranya perjalanan itu untuk melakukan maksiat — contohnya merompak, berjudi, atau apa-apa yang diharamkan agama — maka qasar tidak dibenarkan.

2. Jarak Perjalanan Tidak Kurang Daripada Dua Marhalah

Jarak permusafiran mestilah sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu lebih kurang 92 kilometer. Sekiranya perjalanan tidak mencapai jarak ini, solat qasar tidak sah.

3. Solat yang Boleh Diqasarkan

  • Qasar hanya terpakai kepada solat fardu yang empat rakaat, iaitu Zuhur, Asar, dan Isyak.
  • Solat fardu dua rakaat seperti Subuh dan yang tiga rakaat seperti Maghrib tidak boleh diqasarkan.
  • Qasar juga hanya sah untuk solat yang ditunaikan secara tunai (dalam waktunya). Justeru, solat qada bagi solat yang tertinggal semasa berada di tempat kediaman tidak boleh diqasarkan.
  • Namun, solat yang tertinggal ketika bermusafir boleh diqasarkan sekiranya ia diqadakan semasa masih bermusafir.

4. Tidak Berimamkan Orang yang Solat Sempurna (Tamam)

Musafir yang menunaikan solat qasar tidak dibenarkan bermakmum kepada orang yang solat secara sempurna (empat rakaat). Perbezaan cara solat antara imam dengan makmum ini boleh menjejaskan kesahihan solat tersebut.

5. Destinasi Perjalanan Mestilah Ditetapkan

  • Destinasi yang hendak dituju mesti jelas dan sudah ditentukan.
  • Sekiranya destinasi itu tidak pasti atau berubah-ubah (misalnya seseorang yang sekadar berjalan tanpa hala tuju), solat qasar tidak sah dilakukan.

6. Perjalanan Berterusan Sehingga Selesai Solat

Musafir mestilah masih dalam perjalanan sewaktu mengerjakan solat qasar. Jika permusafirannya sudah tamat sebelum solat itu selesai, qasar tersebut tidak sah.

7. Mengetahui Keizinan untuk Qasar

Seorang musafir juga perlu sedar bahawa syarak mengizinkannya mengqasarkan solat. Sekiranya dia melakukannya tanpa pengetahuan dan kefahaman tentang keizinan ini, solat qasar itu tidak sah.

Contoh Situasi (Qasar)

  • Sah Qasar: Ahmad dalam perjalanan dari Johor ke Melaka (melebihi 92 km) untuk hadir ke majlis perkahwinan saudaranya. Dia singgah di kawasan rehat lalu menunaikan solat Zuhur secara qasar dua rakaat.
  • Tidak Sah Qasar: Ali sekadar berjalan-jalan tanpa destinasi yang jelas di sekitar kampungnya, yang hanya 50 km dari kediamannya. Dalam situasi begini, qasar tidak sah kerana jarak perjalanannya tidak cukup dan destinasinya tidak menentu.

Perbezaan Jamak Dan Qasar

Solat jamak dan qasar merupakan dua bentuk rukhsah (kemudahan) yang tidak sama dalam ibadah solat bagi mereka yang bermusafir:

  1. Solat Jamak membenarkan dua solat fardu dihimpunkan ke dalam satu waktu. Sebagai contoh, solat Zohor dan Asar boleh dihimpunkan lalu ditunaikan sama ada dalam waktu Zohor mahupun Asar.
  2. Solat Qasar pula ialah meringkaskan bilangan rakaat solat. Bagi musafir, solat Zohor, Asar, dan Isyak dikurangkan daripada empat rakaat kepada dua rakaat.

Walaupun solat jamak sering dilaksanakan bersama solat qasar bagi meringankan urusan solat ketika bermusafir, kedua-duanya sebenarnya berlainan dari segi takrif dan cara penggunaannya.

Berikut ialah ringkasan perbezaan antara solat jamak dan qasar:

Jadual Perbezaan Antara Solat Jamak dan Qasar

Jadual di bawah membandingkan solat jamak dengan solat qasar secara jelas dan terperinci, merangkumi takrif, syarat utama, serta kaedah pelaksanaannya.

Kriteria

Solat Jamak

Solat Qasar

Definisi

Menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu (contoh: Zohor dan Asar, atau Maghrib dan Isyak).

Meringkaskan solat fardu empat rakaat (Zohor, Asar, dan Isyak) kepada dua rakaat.

Syarat Utama

Musafir (≥ 89 km). Tidak berniat bermukim melebihi 3 hari penuh di destinasi. Perjalanan bukan untuk maksiat.

Musafir (≥ 89 km). Tidak berniat bermukim melebihi 3 hari penuh di destinasi. Perjalanan bukan untuk maksiat.

Jenis Jamak / Qasar

Jamak Taqdim: Kedua-dua solat ditunaikan dalam waktu solat pertama (contoh: Zohor & Asar dalam waktu Zohor). Jamak Takhir: Ditunaikan dalam waktu yang kedua.

Tiada pembahagian jenis. Qasar hanya terpakai kepada solat fardu empat rakaat sahaja (Zohor, Asar, dan Isyak).

Rakaat Solat

Bilangan rakaat tidak diringkaskan; kekal seperti asal (Zohor, Asar, dan Isyak 4 rakaat; Maghrib 3 rakaat; Subuh 2 rakaat).

Rakaat diringkaskan kepada dua bagi solat empat rakaat sahaja (Zohor, Asar, dan Isyak). Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan.

Niat

Niat boleh dibuat sebelum atau semasa solat pertama (Jamak Taqdim), atau sebelum tibanya waktu solat kedua (Jamak Takhir).

Niat qasar wajib dihadirkan ketika takbiratul ihram.

Keutamaan

Terdapat pandangan yang membenarkan jamak ditinggalkan sekiranya ia tidak terlalu menyusahkan.

Lebih afdal dikerjakan bagi merebut rukhsah yang diberikan kepada musafir.

Keadaan Boleh Dilakukan

Sewaktu dalam perjalanan musafir (≥ 89 km). Sewaktu bermukim dalam keadaan darurat (contoh: hujan lebat atau sakit yang menyusahkan).

Hanya sewaktu dalam perjalanan musafir (≥ 89 km). Tidak boleh dilakukan ketika bermukim.

Kedudukan Imam dan Makmum

Solat jamak sah dikerjakan di belakang imam yang tidak menjamakkan solatnya.

Solat qasar tidak sah dikerjakan di belakang imam yang bersolat secara sempurna (4 rakaat).

Contoh Aplikasi

Dalam perjalanan jauh (contoh: Kuala Lumpur ke Johor Bahru, 300 km). Ketika bermukim, sekiranya hujan lebat sehingga membasahkan pakaian.

Dalam perjalanan jauh (contoh: Kuala Lumpur ke Johor Bahru, 300 km). Tidak terpakai semasa mukim.

Nota

  • Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan kerana bilangan rakaatnya kekal.
  • Jamak boleh disatukan dengan qasar untuk memanfaatkan rukhsah dengan lebih baik (contoh: Zohor dan Asar, masing-masing 2 rakaat, dalam waktu Zohor atau Asar).
  • Kemudahan jamak dan qasar hanya sah sekiranya perjalanan itu bukan untuk maksiat serta menepati syarat jarak dua marhalah (lebih kurang 89-90 km).
  • Dalam Mazhab Syafie, jamak disebabkan hujan hanya diharuskan sekiranya ditunaikan secara berjemaah di masjid, dengan syarat: hujan itu lebat dan berpanjangan sehingga menyukarkan perjalanan, hanya sah dalam bentuk Jamak Taqdim, dan tidak sah jika dikerjakan di rumah. Pada zaman ini, ia masih relevan bagi kawasan yang terkesan dengan hujan lebat, tetapi elok merujuk fatwa terkini daripada mufti di negeri masing-masing.

Segala perbincangan ini termasuk dalam ilmu furu’ al-fiqhiyyah yang dibahaskan oleh Imam al-Suyuti mengenai perkara-perkara yang kelihatan serupa tetapi hakikatnya berbeza.

Solat Jamak Yang Dibenarkan Selain Dari Musafir

Selain daripada keadaan musafir, solat jamak juga diharuskan apabila wujud halangan atau keuzuran — misalnya kerana sakit, hujan, atau kesibukan yang melampau.

Antara contoh golongan yang diharuskan menjamakkan solat ialah:

  1. Doktor yang sedang melakukan pembedahan ke atas pesakit, contohnya apabila pembedahan itu memakan masa yang panjang.
  2. Pesakit yang menerima rawatan penyakit kronik yang mengambil tempoh lama, seperti rawatan hemodialisis dan yang seumpamanya.
  3. Wanita yang menaiki bas bagi perjalanan jauh, sekiranya dia risau bas itu tidak akan berhenti apabila masuk waktu solat, atau dia bimbang akan keselamatan dirinya jika turun dari bas tersebut.
  4. Wanita yang ditimpa istihadah (keluar darah penyakit) sehingga menyukarkan dirinya untuk bersolat.
  5. Mereka yang berada dalam ketakutan terhadap musuh, seperti ketika di medan perang.
  6. Bidan yang khuatir kelewatannya boleh membawa kepada kematian bayi yang bakal lahir atau memudaratkan ibu yang sedang bersalin.

Soal Jawab Berkaitan Solat Jamak Qasar (FAQ)

Di bahagian ini dihimpunkan soalan-soalan yang kerap diajukan. Ia sangat membantu sekiranya anda mencari jawapan yang cepat lagi lengkap.

Dimanakah Tempat Permulaan Qasar Bagi Orang Yang Hendak Musafir?

Seorang musafir hanya dibenarkan mengqasarkan solat setelah dia keluar daripada kawasan permukimannya (melepasi sempadan kariah tempat tinggalnya).

Sekiranya dia mengqasarkan solat ketika baru hendak keluar dari rumah, atau masih belum melepasi sempadan kariah, solat qasar itu tidak sah.

Bolehkah Melaksanakan Solat Qasar dan Jamak Semasa Berada di Kampung Sendiri?

Pertama

Sekiranya kampung itu merupakan tempat mukimnya — misalnya di situ ada rumah miliknya, bilik, atau katil kepunyaannya, walaupun sekadar rumah pusaka yang jarang didiami atau rumah yang dihibahkan kepadanya dan masih diduduki ibu bapanya — maka solat jamak dan qasar tidak dibenarkan.

Ini kerana kampung berkenaan ialah watan asalnya, iaitu dia tidak dikira sebagai musafir selagi berada di kampung itu (samalah seperti berada di rumah atau di kampung sendiri, seolah-olah tidak bermusafir ke mana-mana).

Kedua

Sekiranya dia sudah bermastautin atau bermukim di tempat lain (mencari rezeki dan mendirikan rumah tangga sendiri) dan hanya pulang untuk bercuti atau berziarah, walaupun tempat yang dikunjungi itu kampung asalnya sendiri, maka keharusan qasar ditentukan mengikut tempoh dia berada atau bermukim di tempat tersebut.

Sekiranya dia tinggal di situ tiga hari penuh, statusnya masih musafir dan dia diharuskan menunaikan solat secara jamak dan qasar.

Sekiranya dia tinggal melebihi tiga hari, atau empat hari penuh dan ke atas (hari tiba dan hari bertolak semula tidak dikira), status musafirnya gugur dan dia menjadi orang yang bermukim (tidak lagi boleh solat secara jamak dan qasar)

Bolehkah Melakukan Jamak Qasar Ketika Berada di Kampung Mertua?

Dari sudut hukum musafir, suami dan isteri adalah sama.

Sekiranya isteri berada di kampung suaminya (mertua) dan pada waktu itu suami diharuskan solat jamak dan qasar, maka isteri turut mengikut hukum yang sama — dia juga diharuskan solat jamak dan qasar walaupun tempat itu bukan kampung ibu bapanya sendiri.

Jika Suami Pulang Ke Tempat Isteri Bolehkah Dia Jamak Qasar Solat Jika Tidak Sampai Empat Hari?

Sekiranya pasangan suami isteri tinggal berjauhan atas sebab yang diiktiraf syarak — misalnya terpisah kerana lokasi kerja yang berbeza — apabila suami pulang ke tempat isteri atau sebaliknya, dengan jarak antara kedua-dua tempat itu mencukupi, mereka diharuskan qasar solat semasa dalam perjalanan sahaja.

Setibanya di destinasi, qasar tidak lagi dibenarkan kerana kedua-dua pihak sudah beralih status kepada orang yang bermukim. Ini kerana kediaman suami turut dikira sebagai kediaman isteri, dan begitulah sebaliknya. Menurut Prof. Dr. Wahbah, mereka dikira memiliki dua watan.

Hukum yang sama terpakai sekiranya suami mempunyai beberapa orang isteri yang tinggal berjauhan daripadanya melebihi dua marhalah.

Bolehkah Orang Yang Sentiasa Dalam Keadaan Musafir Melakukan Jamak Qasar?

Menurut Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), golongan yang sentiasa dalam permusafiran perlu dinilai daripada dua keadaan.

Sama ada mereka membawa anak isteri berserta keperluan hidup di atas kapal sepanjang masa (seakan-akan kenderaan itulah rumah kediaman mereka), ataupun mereka sentiasa bermusafir tetapi tidak menjadikan kapal atau kenderaan itu sebagai rumah.

Sekiranya mereka membawa anak dan isteri berserta keperluan hidup di atas kapal itu (seperti makanan dan pakaian) dan menjadikan kapal atau kenderaan yang dinaiki sebagai tempat kediaman, mereka dihukumkan seperti orang yang bermukim.

Mereka tidak harus mengqasar solat dan tidak harus berbuka puasa atas alasan musafir ketika berpuasa, melainkan kerana mudarat.

Sebaliknya, bagi mereka yang kerjayanya sentiasa di atas kapal dan sering bermusafir tetapi tidak membawa anak isteri serta keperluan hidup di atas kapal itu, malah mempunyai watan (tanah air yang menjadi tempat tinggal), mereka diharuskan qasar solat setiap kali memulakan perjalanan.

Pemandu bas ekspress juga boleh mengqasarkan solat setiap kali mereka keluar bermusafir untuk memandu bas.

Bolehkah Melakukan Solat Sunat Qabliyyah & Ba’diyyah Semasa Musafir?

Menurut Imam Ibnu Taimiyyah, para fuqaha telah berijma’ tentang keharusan solat sunat rawatib (qabliyyah dan ba’diyyah) ketika musafir bagi sesiapa yang mahu mengerjakannya.

Namun yang afdal ialah mengerjakannya sekali-sekala jika mahu, dan meninggalkannya sekali-sekala jika mahu.

Rasulullah SAW tidak mengerjakan solat sunat rawatib ketika musafir melainkan dua rakaat sebelum fajar dan solat sunat witir.

Manakala solat sunat sebelum dan selepas zohor, atau selepas maghrib, tiada riwayat yang menyatakan Rasulullah SAW mengerjakannya semasa dalam musafir.

Apakah Keharusan Jamak Untuk Orang Bekerja Luar Kawasan Outstation?

Bagi pegawai yang outstation atas sesuatu tugasan, keharusan jamak dan qasar bergantung kepada berapa lama dia berada di tempat berkenaan.

– Sekiranya tugasan itu selama tiga hari, qasar diharuskan. – Sekiranya empat hari, qasar tidak diharuskan.

Bolehkah Solat Jamak Jika Memiliki Rumah Di Kawasan Tempat Kerja?

Seseorang yang telah membeli rumah di sesuatu tempat tetapi belum mendiaminya.

Rumah itu terletak di kawasan tempat dia bekerja, dan dia sentiasa berada di situ atas urusan pekerjaan.

Walaupun setiap kali ke tempat itu dia hanya menginap di hotel atau menumpang di rumah rakan (meskipun masih dalam kawasan rumah yang dibelinya), dia tetap dikira bermukim.

Justeru, solat jamak tidak dibenarkan.

Bolehkah Solat Jamak Jika Menziarahi Rumah Milik Sendiri Yang Tidak Didiami?

Seseorang yang telah membeli rumah di sesuatu tempat tetapi tidak mendiaminya.

Rumah itu sebaliknya dirancang untuk didiami pada masa hadapan (contohnya selepas dia bersara atau apabila bertukar tempat kerja).

Sekiranya kunjungannya ke lokasi rumah itu bukan kerana bekerja di situ (misalnya sekadar berziarah), maka dia dikira musafir.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Berulang-alik Ke Tempat Kerja Yang Jauh?

Seseorang yang setiap hari berulang-alik ke tempat kerja sejauh dua marhalah dari rumahnya dikira musafir sepanjang perjalanannya ke sana.

Namun sepanjang berada di tempat kerja, dia dikira mukim.

Keharusan qasar hanya diberikan ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja itu sahaja, walaupun ia berlaku setiap hari.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Pulang Ke Rumah Sewa?

Sesiapa yang mendiami sesuatu tempat atau rumah (biarpun sekadar menyewa, meminjam atau menumpang), sekiranya rumah itu dianggap kediaman tetap baginya bersama keluarga dan menjadi tempat dia pulang selepas bermusafir atau keluar bekerja, maka dia dikira bermukim di situ.

Bolehkah Solat Jamak Jika Pulang Ke Rumah Keluarga Sekali-Sekala?

Seseorang yang mendiami sebuah rumah bersama keluarganya, walaupun dia hanya balik dan menginap di rumah itu pada hujung minggu, hari cuti, atau hari-hari tertentu sahaja.

Maka dia tetap dikira mukim sepanjang berada di rumah tersebut.

Bolehkah Solat Jamak Jika Saya Berpindah Ke Tempat Baru?

Sesiapa yang berhijrah ke tempat lain kerana pekerjaan, tempat baru itu menjadi tempat mukim barunya — tidak kira sama ada dia memiliki rumah di situ ataupun tidak.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Bermusafir Untuk Menonton Perlawanan Bola Sepak?

Hukum asal bagi sesuatu perkara ialah harus, selagi tiada dalil yang mengharamkannya dan tiada unsur yang mengeluarkannya daripada lingkungan keharusan itu, seperti melakukan perkara yang ditegah syarak.

Atas dasar itu, bermusafir untuk menonton bola sepak adalah harus, dan rukhsah solat boleh diambil.

Terlupa Niat Jamak Takhir Sehingga Habis Waktu Solat Pertama

Sesiapa yang mahu melakukan jamak takhir wajib berniat jamak takhir semasa masih dalam waktu solat yang pertama.

Sekiranya niat jamak takhir itu tertinggal kerana terlupa, menurut Imam al-Ghazali dia tidak berdosa kerana ia tergolong dalam keuzuran yang dimaafkan syarak.

Orang yang terlupa tidak dipersalahkan atas kelupaannya. Dia masih boleh menunaikan solat itu secara jamak takhir.

Namun sekiranya dia sengaja tidak berniat, dia telah melakukan maksiat kerana meninggalkan solat; solat yang ditinggalkan itu menjadi hutang ke atasnya dan wajib diqada dengan segera.

Bagaimana Jika Tidak Tahu Imam Solat Jamak Qasar atau Solat Biasa?

Kita boleh mentaklikkan niat dengan berkata, “Sekiranya imam ini berniat tamam, maka aku solat tamam. Sekiranya dia berniat qasar maka aku solat qasar”

Ataupun terus berniat tamam dan solat bersama imam. Sekiranya rupa-rupanya imam bersolat qasar, tambahlah dua rakaat lagi selepas imam memberi salam (menggenapkan rakaat yang kurang bagi mencukupkan bilangan rakaat solat, sepertimana makmum yang masbuk)

Terlupa Sedang Solat Qasar Sehingga Bangun Ke Rakaat Ketiga

Sekiranya dia tersedar bahawa dia telah terlebih bangun ke rakaat ketiga, hendaklah dia segera turun duduk semula ke rakaat kedua, kemudian melakukan sujud sahwi di penghujung solat sebelum memberi salam kerana kelupaan itu.

Solat Jumaat Atau Solat Zohor Yang Lebih Afdal Dilakukan Semasa Musafir?

Musafir diberi pilihan antara kedua-duanya, namun yang lebih afdal ialah menunaikan Solat Jumaat memandangkan besarnya pahala, ganjaran serta keistimewaan yang ada padanya.

Bacaan Perlahan (sirr) Atau Kuat (jahar) Dalam Solat Jamak Qasar?

Sama sahaja seperti solat tamam — solat pada waktu malam di jahar kan (dibaca nyaring), manakala solat pada waktu siang di sirr kan (dibaca perlahan)

Adakah Dibenarkan Solat Jamak Qasar Jika Singgah Sebentar Di Rumah Tempat Bermukim Tanpa Niat Untuk Tinggal Di Situ?

Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, dia tidak harus mengqasar solat dan wajib solat secara tamam walaupun persinggahannya cuma seketika untuk menyelesaikan keperluan, kerana tempat itu ialah tempat yang telah ditetapkan untuk bermukim, dan sebab keharusan qasar (iaitu bermusafir) telah hilang sewaktu dia berada di situ.

Contohnya, Ali tinggal bersama keluarganya di Kuantan tetapi bertugas di Subang. Ali juga menyewa sebuah rumah di Bangsar.

Sepanjang perjalanan dari Kuantan ke Subang, Ali boleh mengqasarkan solat; tetapi sekiranya dia singgah seketika di rumah sewanya di Bangsar, kelayakan qasar itu gugur kerana dia telah sampai ke tempat bermukimnya yang kedua (watan kedua)

Bolehkah Solat Jamak Takdim Dipisahkan Dengan Tempoh Waktu Yang Lama?

Antara syarat jamak takdim ialah muwalat (berturut-turut).

Selagi jarak masa antara kedua-dua solat itu singkat (mengikut adat kebiasaan atau uruf), jamak tidak terbatal.

Misalnya tempoh yang diperlukan untuk azan, iqamat, bersuci, mengambil wuduk, mencari air yang tidak mengambil masa lama dan seumpamanya.

Bagaimana contoh jarak waktu yang membatalkan muwalat?

Antaranya seperti pengsan, kelupaan yang berpanjangan (menurut uruf) dan sebagainya. Sesetengah pihak menetapkan kayu ukurnya sebagai tidak melebihi kadar solat dua rakaat.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Bermusafir Dengan Tujuan Maksiat?

Tidak boleh dan tidak sah.

Perjalanan bertujuan maksiat termasuklah pergi ke sesuatu tempat untuk merompak, mencari perempuan simpanan, berjudi di premis perjudian dan seumpamanya.

Turut termasuk ialah perjalanan isteri nusyuz yang lari meninggalkan suaminya.

Apakah Ciri-Ciri Sakit Yang Membolehkan Jamak Solat?

Sakit yang mengharuskan jamak ialah penyakit yang mendatangkan kesukaran dan kepayahan untuk bersolat pada setiap waktu. Contohnya lumpuh, atau pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis sehingga menghabiskan keseluruhan salah satu waktu solat.

Bolehkah Orang Tua Melakukan Solat Jamak Akibat Terlalu Uzur?

Warga tua sebegini mungkin payah untuk kerap berwuduk atau bertayamum. Namun begitu, dia tetap tidak harus menjamakkan solat.

Apa yang boleh dilakukan ialah menunaikan solat fardu yang pertama di penghujung waktunya, kemudian menyusuli solat fardu yang kedua di awal waktunya. Kaedah sebegini dinamakan jamak suuri (جمع صوري)

Bolehkah Para Doktor dan Jururawat Melakukan Solat Jamak Qasar?

Doktor dan jururawat diharuskan menjamakkan solat sekiranya keseluruhan masa bagi salah satu waktu solat fardu itu terpakai sepenuhnya di dalam bilik bedah atau ketika merawat kecemasan yang kritikal (iaitu yang membabitkan nyawa).

Mereka boleh memilih sama ada jamak takdim atau jamak takhir, mengikut mana yang bersesuaian.

Kelonggaran ini terhad kepada jamak sahaja, tanpa qasar.

Bolehkah Qada’ Solat Secara Qasar Semasa Dalam Musafir?

Solat yang tertinggal semasa musafir harus diqadhakan secara qasar, dengan syarat dia masih berada dalam keadaan musafir.

Sekiranya dia sudah bermukim, qadha hendaklah dibuat secara penuh.

Begitu jugalah sekiranya solat itu ditinggalkan semasa mukim dan hendak diqadhakan ketika bermusafir — qadhanya mesti secara penuh.

Penutup: Islam Itu Agama Yang Memudahkan

Solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya, maka ia mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama.” – HR Baihaqi

Demikianlah besarnya kedudukan solat dalam Islam.

Di mana sahaja kita berada, solat tetap wajib didirikan.

Kerana itulah Islam menyediakan kemudahan, supaya tanggungjawab ini tidak tercicir daripada kita.

Semoga panduan ini menjadi pembantu yang memudahkan urusan anda sepanjang perjalanan.

Nota Rujukan:

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah: Bab Solat Musafir — Ustaz Abu Usamah Mohd Hanifiah Haji Hussin
  2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 11/289
  3. Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus
  4. Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
  5. Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
  6. Ensiklopedia Solat: Solat Musafir — TV3 Official
  7. 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll
  8. Panduan Solat Jamak & Qasar Untuk Para Musafir — Ust Zulkarnain Dollah
  9. Solat Ketika Keuzuran – Syeikh Ahmad Faisol Haji Omar

References

  • Mazhab Syafi'i (tradisi ulama')
  • akuislam.com (audio recitations)

Frequently asked questions

How do I perform NIAT & CARA SOLAT JAMAK QASAR (Panduan Lengkap)?

The NIAT & CARA SOLAT JAMAK QASAR (Panduan Lengkap) guide is broken into 39 clear steps, each with Arabic text and Rumi transliteration so it is easy to follow.

How many steps does NIAT & CARA SOLAT JAMAK QASAR (Panduan Lengkap) have?

This guide has 39 steps.

Which school of jurisprudence does this guide follow?

This content follows the shafii school.