
Mukadimah
Perlukah kaki yang telah dipotong itu disolatkan Jenazah?
Dalam panduan ini, saya kongsikan jawapan yang pernah diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga ia bermanfaat.
SOALAN
Datuk saya telah menjalani pembedahan memotong kaki kanannya kerana penyakit kencing manis. Soalan saya adakah kaki yang telah dipotong itu perlu disolatkan seperti solat jenazah?
JAWAPAN
Sekiranya dijumpai anggota badan seperti kaki atau tangan yang terpotong daripada seseorang yang telah meninggal dunia, hendaklah anggota itu dimandikan, disembahyangkan, dikafankan dan ditanam.
Manakala anggota yang terpotong daripada orang yang masih hidup pula tidak perlu disembahyangkan, kerana tuannya masih bernyawa; ia hanya sunat dibalut dengan kain lalu ditanam.
Syeikh Bujairimi berkata:
وَلَوۡ وُجِدَ جُزۡءُ مَيِّتٍ مُسۡلِمٍ غَيۡرِ شَهِيدٍ صُلِّيَ عَلَيۡهِ بَعۡدَ غُسۡلِهِ وَسُتِرَ بِخِرۡقَةٍ وَدُفِنَ كَالۡمَيِّتِ الۡحَاضِرِفَخَرَجَ الۡمُنۡفَصِلُ مِنۡ حَيٍّ وَلَمۡ يَمُتۡ عَقِبَهُ إذَا وُجِدَ بَعۡدَ مَوۡتِهِ فَلَا يُصَلَّى عَلَيۡهِ ، وَيُسَنُّ مُوَارَاتُهُ بِخِرۡقَةٍ وَدَفۡنُهُ
Maksudnya:
Jikalau dijumpai juzuk dari mayat orang Islam yang bukan mati syahid maka hendaklah disembahyangkan atasnya selepas memandikannya dan ditutup dengan kain dan ditanam seperti mayat yang hadir.Maka ada pun anggota yang bercerai dari orang yang masih hidup yang belum mati selepasnya apabila didapati kemudian dari matinya maka tidaklah disembahyangkan atasnya. Dan sunat dibungkus dengan kain dan ditanam.” (Hasyiah Bujairimi)
Para ulamak berpandukan peristiwa yang berlaku pada zaman sahabat r.a., sepertimana yang disebutkan oleh Imam Nawawi :
فَقَدۡ صَلَّى الصَّحَابَةُ عَلَى يَدِ عَبۡدِ الرَّحۡمَنِ بۡنِ عَتَّابِ بۡنِ أَسِيدٍ وَقَدۡ أَلۡقَاهَا طَائِرُ نَسۡرٍ بِمَكَّةَ فِي وَقۡعَةِ الۡجَمَلِ وَقَدۡ عَرَفُوهَا بِخَاتَمِهِ رَوَاهُ الشَّافِعِيُّ
Maksudnya:
Maka sungguhnya para sahabat r.a. telah sembahyangkan tangan Abdul Rahman bin ‘Aatab r.a. dimana telah mencampakkan tangannya oleh burung anak reng (burung hering) di Mekah pada peristiwa perang Jamal lalu para sahabat r.a. mengenali tangan tersebut dengan sebab cincinnya. Telah meriwayatkannya oleh As-Syafie.” (Kitab Al-majmu’)
Kesimpulan
Rumusannya, kaki datuk tuan yang dipotong semasa pembedahan itu tidak perlu disolatkan; memadai ia dibalut dengan kain dan kemudian ditanam.
Wallahua’lam Ustaz Azhar Idrus