
Mukadimah
Apakah hukumnya apabila makmum melafazkan takbiratul ihram serentak dengan imam?
Panduan ini memuatkan jawapan yang pernah diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus.
Semoga bermanfaat
SOALAN
Betulkah makmum kena tunggu imam selesai takbiratul ihram baru makmum boleh angkat takbir?
JAWAPAN
Antara syarat sah solat berjemaah ialah makmum mesti mengangkat takbiratul ihram hanya selepas imam selesai melafazkan takbirnya.
Sekiranya makmum bertakbiratul ihram serentak dengan imam, atau makmum sudah memulakan lafaz takbir sedangkan imam belum menamatkan takbiratul ihramnya, maka takbir makmum itu tidak sah.
Syeikh Nawawi ada menyatakan:
Wajib atas orang yang solat berjemaah pada solat jumaat atau lainnya bahawa tidak ia ke hadapan dari imamnya pada tempat berdiri dan pada takbiratul ihram bahkan jika makmum takbiratul ihram bersama imam nescaya batal solat makmum. Dan dimakruhkan bersamaan dengan imam pada selain takbiratul ihram melainkan pada ketika mengucap amin kerana menyamai imam pada mengucap amin itu disunatkan.” (Kitab Mirqatus Su’ud At-Tasdiq)
Kesimpulan
Dalam solat berjemaah, makmum hendaklah memulakan takbiratul ihram hanya setelah imam selesai bertakbir.
Sekiranya lafaz takbir makmum bermula sebelum imam menamatkan takbirnya, atau takbir kedua-duanya berlaku serentak, takbir makmum itu tidak sah dan dia wajib mengulanginya semula.
Adapun rukun-rukun selain takbiratul ihram — iaitu rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, bangun berdiri ke rakaat berikutnya, duduk tahiyat dan salam — disunatkan makmum melakukannya selepas imam selesai melakukan setiap satunya.
Misalnya, setelah rukuk imam sempurna barulah disunatkan makmum mula rukuk, dan setelah semua anggota sujud imam mencecah lantai barulah disunatkan makmum turun untuk sujud.
Walau bagaimanapun, sekiranya makmum turun rukuk atau sujud sebelum rukuk atau sujud imam sempurna, solat makmum itu tidak terbatal.
Satu-satunya lafaz yang disunatkan makmum menyebutnya serentak dengan imam ialah ucapan amin.
Wallahua'lam
Ustaz Azhar Idrus