All prayer guides

SOLAT KHAUF (Panduan Solat Waktu Takut & Waktu Peperangan)

SOLAT KHAUF (Panduan Solat Waktu Takut & Waktu Peperangan)

Mukadimah

Apakah yang dimaksudkan dengan Solat Khauf?

Bagaimanakah cara menunaikannya?

Menerusi panduan ini, anda akan ditunjukkan cara solat khauf yang betul, sempurna lagi sah.

Segala perkara yang berkaitan dengannya turut dihuraikan.

  • Sebab-sebab yang mengharuskan solat ini dikerjakan
  • Situasi serta kaifiat solat ini

Paling utama, panduan ini disusun secara lengkap, mudah dan padat supaya anda dapat memahami topik ini dengan lebih jelas.

Pengenalan Solat Khauf

Solat Khauf ialah solat yang ditunaikan semasa berperang dengan musuh, ataupun dalam suasana ketakutan yang berpunca daripada peperangan, bencana alam mahupun malapetaka.

Dalam bahasa Arab, rasa takut ini disebut dengan istilah ‘khauf’.

Gabungan perkataan solat dengan khauf membawa erti solat yang dikerjakan dalam suasana ketakutan, contohnya ketika peperangan.

Solat ini tidak sama dengan solat-solat lain kerana ia mempunyai beberapa rukhsah, khususnya semasa ditunaikan secara berjemaah.

Apabila keadaan tidak selamat sehingga seseorang itu terpaksa sentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, ataupun perlu sentiasa berjaga-jaga daripada ancaman musuh dalam peperangan, solat boleh ditunaikan dengan apa cara yang termampu mengikut keadaan pada waktu itu.

Sebab-Sebab Solat Khauf Dilaksanakan

Sebagaimana solat musafir disyariatkan kerana faktor kesulitan dengan syarat yang digariskan syarak, solat khauf turut disyariatkan dengan syarat-syarat tertentu, iaitu atas faktor ketakutan terhadap ancaman dan serangan musuh yang boleh membahayakan nyawa.

Antara sebab yang mengharuskan solat khauf ialah seperti berikut:

  1. Kewujudan musuh, sama ada ia menggugat ataupun tidak (jika ada tentera musuh yang bersiap sedia untuk menyerang di sempadan, tentera Islam boleh menunaikan solat Khauf walaupun pertempuran masih belum tercetus)
  2. Menyelamatkan diri daripada air banjir.
  3. Menyelamatkan diri daripada kebakaran.
  4. Menyelamatkan diri daripada perompak, penyamun mahupun pembunuh.
  5. Apa-apa jua sebab yang secara umumnya boleh mencetuskan ketakutan.

Cara Mengerjakan Solat Khauf

Solat khauf, sama ada secara berjemaah mahupun berseorangan, boleh ditunaikan melalui beberapa cara mengikut tahap kegawatan keadaan ketika itu.

Panduannya dapat dirujuk daripada apa yang pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Tentera diharuskan bersolat dengan dua orang imam, iaitu setiap kumpulan diimamkan oleh seorang imam.

Tentera juga diharuskan menunaikan solat Khauf secara berjemaah dengan seorang imam sahaja, mengikut mana-mana kaifiat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW pernah beberapa kali mengerjakan solat khauf, dan kesemuanya ditunaikan secara berjemaah.

Berdasarkan kedudukan musuh, peraturan solat khauf adalah seperti berikut:

Musuh tidak berada di arah kiblat

Sekiranya jumlah musuh sedikit manakala umat Islam lebih ramai dan mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk bertahan, solat boleh dikerjakan melalui dua cara, iaitu:

Cara Pertama

  1. Imam membahagikan tentera Muslimin kepada dua pasukan. Satu pasukan berkawal sambil menghadap musuh, manakala pasukan kedua bersaf di belakang imam untuk solat berjemaah.
  2. Ketika imam bangkit bagi rakaat kedua, makmum di belakang berniat mufaraqah lalu menamatkan solat mereka secara bersendirian.
  3. Selepas itu, mereka bertukar tempat untuk berkawal. Pasukan yang tadinya berhadapan dengan musuh pula datang ke belakang imam bagi berjemaah dengan imam yang kini berada pada rakaat kedua.
  4. Ketika imam membaca tahiyat, makmum bangkit menunaikan rakaat kedua mereka, meneruskan solat seperti biasa, lalu menyusul imam yang sedang bertahiyat.
  5. Akhirnya mereka memberi salam bersama-sama imam.
  6. Solat sebegini menyamai situasi dalam peperangan Zat ar-Riqa’

Melalui cara pertama ini, pasukan pertama boleh mengikut imam sebanyak satu rakaat sekiranya solat itu hanya dua rakaat, iaitu Subuh.

Namun bagi solat tiga atau empat rakaat, pasukan pertama boleh mengikut imam sebanyak dua rakaat sebelum berniat mufaraqah, lalu menyempurnakan baki rakaat secara bersendirian sebelum pasukan kedua masuk.

Pasukan kedua pula, walaupun hanya sempat mengikuti pergerakan imam bagi satu atau dua rakaat iaitu baki rakaat imam, mereka tetap dapat memberi salam bersama-sama imam.

Keadilannya, pasukan pertama berpeluang bertakbiratul ihram bersama-sama imam.

Cara Kedua

Keadaan dan kedudukannya serupa, cuma setiap pasukan menunaikan solat dengan sempurna.

  • Pasukan di belakang bersolat secara sempurna bersama imam.
  • Setelah memberi salam, mereka beralih ke hadapan untuk mengambil tugas berkawal. Imam kemudiannya mendirikan solat sekali lagi, dan kumpulan yang tadinya di hadapan pula bersolat bersama imam.
  • Solat sebegini menyamai situasi solat dalam peperangan Batn-Nakhl.

Musuh berada di arah kiblat

Sekiranya tentera Muslimin ingin bersolat berjemaah secara serentak demi meraih fadilat jemaah yang lebih besar, imam hendaklah membahagikan jemaah kepada dua bahagian dalam dua, atau empat saf ataupun lebih.

Berikut ialah cara menunaikan solat khauf dalam situasi ini:

  1. Imam mengarahkan para makmum berdiri dalam dua saf dan kesemuanya bersolat serentak.
  2. Ketika imam sujud, hanya makmum saf pertama sujud bersamanya, manakala makmum saf kedua kekal berdiri mengawasi keadaan.
  3. Setelah imam dan makmum saf pertama bangkit bagi rakaat kedua, barulah makmum saf kedua sujud, lalu menyusul imam pada qiam rakaat kedua.
  4. Ketika imam sujud pada rakaat kedua, makmum saf kedua bergerak ke hadapan dan sujud, manakala makmum saf pertama berundur ke belakang untuk berkawal sepanjang iktidal.
  5. Mereka kemudiannya meneruskan solat bagi menyusul imam yang sedang duduk tahiyat, dan kesemuanya memberi salam bersama-sama imam.

Solat sebegini pernah ditunaikan oleh Rasulullah SAW dalam peperangan di Usfan.

Sebuah hadis menceritakan, maksudnya:

Daripada Jabir r.a berkata: “Aku telah menyaksikan solat khauf bersama-sama Rasulullah SAW iaitu kami berbaris dua saf. Satu saf di belakang Rasulullah SAW sedangkan musuh diantara kami dan kiblat, lalu bertakbirlah Nabi SAW dan kami (semua barisan dari dua saf) juga takbir semua. Kemudian Baginda rukuk dan kami semua rukuk, kemudian Baginda mengangkat kepalanya lalu Baginda turun sujud bersama saf yang mengiringinya, sedangkan saf yang dibelakang tetap mengawasi musuh. Ketika Baginda selesai sujud, saf yang di hadapan juga selesai dan berdiri bersama Baginda. Dalam hadis lain, Jabir r.a berkata: kemudian Nabi SAW memberi salam dan kami pun ikut memberi salam semuanya.

Solat Ketika Sangat Takut

Apabila ketakutan memuncak kerana keadaan yang terlampau gawat sehingga tidak berdaya menunaikan solat secara berjemaah, diharuskan bersolat secara berseorangan:

  • Sama ada sedang menaiki tunggangan, menaiki kenderaan mahupun berjalan kaki.
  • Sama ada menghadap kiblat ataupun tidak, dengan takbiratul ihram dimulakan menghadap ke arah kiblat sekiranya berupaya.
  • Sama ada imam berada di hadapan mahupun di belakang, masing-masing boleh menghadap ke mana-mana arah yang termampu.
  • Solatnya tetap sah walaupun terpaksa melakukan pergerakan yang banyak, seperti menembak, menikam mahupun menetak musuh berkali-kali secara berturutan.
  • Diharuskan memegang senjata yang berlumuran darah kerana keadaan terpaksa. Namun begitu, tidak dibenarkan berbual-bual mahupun bertarik-tarik.

Penutup

Mudah-mudahan panduan ini dapat membantu anda menunaikan solat ketika berada dalam saat-saat kritikal dan darurat.

Rujukan

  • Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
  • Praktik Solat Waktu Kritikal, Dr. Hj. Ahmad Nasir Mohd Yusoff.

Frequently asked questions

How do I perform SOLAT KHAUF (Panduan Solat Waktu Takut & Waktu Peperangan)?

The SOLAT KHAUF (Panduan Solat Waktu Takut & Waktu Peperangan) guide is broken into 8 clear steps, each with Arabic text and Rumi transliteration so it is easy to follow.

How many steps does SOLAT KHAUF (Panduan Solat Waktu Takut & Waktu Peperangan) have?

This guide has 8 steps.

Which school of jurisprudence does this guide follow?

This content follows the shafii school.