All prayer guides

DOA AKHIR TAHUN & AWAL TAHUN ISLAM (Rumi, Audio & PDF)

DOA AKHIR TAHUN & AWAL TAHUN ISLAM (Rumi, Audio & PDF)

Mukadimah

Dalam panduan ini, saya kongsikan bacaan Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun Hijrah Islam secara lengkap, merangkumi teks Arab, transliterasi Rumi, terjemahan, serta audio bacaan sebagai rujukan tambahan.

Sekiranya ini kali pertama anda ingin mengamalkan doa ini, atau anda masih musykil tentang cara bacaan yang betul serta hukumnya menurut Mazhab Syafie, insyaAllah panduan ini dapat membantu anda.

Saya akan membimbing anda langkah demi langkah secara tersusun, dan akan cuba menerangkan seberapa banyak mungkin perkara penting yang anda mungkin ingin dan perlu ketahui, termasuklah isu hukum, waktu bacaan, serta asal-usul amalan ini.

Pengenalan

Awal Muharram atau Maal Hijrah ialah saat penting dalam kalendar Islam yang mengenang peristiwa hijrah Nabi Muhammad ﷺ dari Kota Makkah menuju Madinah pada tahun 622 Masihi.[1]

Peristiwa besar ini bukan setakat menjadi tanda bermulanya pembentukan sebuah masyarakat Islam yang berdaulat, malah dijadikan titik permulaan kepada kiraan tahun Hijrah yang kekal digunakan sehingga hari ini.

Setiap kali tibanya tahun baharu Islam, umat Islam di serata dunia merebut peluang ini untuk bermuhasabah dan menyegarkan azam melalui amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun.

Amalan ini sudah lama bertapak, terutamanya di negara-negara yang berpegang kepada mazhab Syafie seperti Malaysia, sama ada diamalkan secara persendirian ataupun beramai-ramai di masjid dan surau.

Doa akhir tahun kebiasaannya dibaca pada petang terakhir bulan Zulhijjah sebagai tanda menutup amalan setahun, disertai permohonan ampun atas segala dosa, rasa syukur terhadap nikmat dan ujian yang dilalui, serta harapan agar seluruh amal diterima.

Doa awal tahun pula dibaca sebaik masuknya 1 Muharram, dengan memohon perlindungan daripada syaitan, kekuatan untuk berhijrah kepada kebaikan, serta keberkatan hidup sepanjang tahun yang mendatang.

Walau bagaimanapun, ramai lagi yang masih keliru mengenai hukum serta kedudukan amalan ini di sisi syariat.

Persoalan seperti dari mana datangnya teks doa, status hadis yang disandarkan kepadanya, dan perbezaan pandangan dalam kalangan ulama kerap kali ditimbulkan.

Adakah ia sunnah? Berdosakah sekiranya tidak membacanya? Dan benarkah ganjaran yang didakwa mengiringinya?

Perkara

Doa Akhir Tahun

Doa Awal Tahun

Waktu Baca

Petang 29 / 30 Zulhijjah Selepas Asar → sebelum Maghrib

Malam 1 Muharram Selepas masuk Maghrib

Tujuan Utama

Muhasabah, istighfar & menutup amal setahun

Memohon perlindungan, bimbingan & azam baharu

Hukum

Harus & digalakkan (mustahab) – bukan sunnah muakkad; bersandarkan galakan umum untuk berdoa

Sama sebagaimana di sebelah

Bilangan Ulangan

Disunatkan 3 kali (tidak wajib)

Disunatkan 3 kali (tidak wajib)

Adab Utama

Berwuduk, mengadap qiblat, mengangkat tangan, dimulakan dengan pujian & selawat.

Adab sama seperti di sebelah

Nota Ringkas

Kedua-dua doa ini tidak dinukilkan secara terus daripada Rasulullah ﷺ, tetapi diterima sebagai doa umum yang baik selagi ia tidak dijadikan syarat sah ibadah atau disandarkan dengan fadilat palsu.

Sejarah & Asal Usul Amalan Doa Akhir dan Awal Tahun

Sejarah & Asal Usul Amalan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah

Amalan membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah ialah tradisi yang sudah sekian lama diamalkan secara meluas oleh umat Islam di rantau Nusantara, terutamanya di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Namun begitu, amalan ini tidak ditemui dalam mana-mana riwayat sahih daripada Nabi Muhammad ﷺ mahupun daripada para sahabat baginda.

Ia sebenarnya amalan yang diperkenalkan oleh ulama generasi terkemudian, dengan tujuan mengisi detik pertukaran tahun Hijrah dengan amalan yang bererti.

Berdasarkan catatan sejarah, doa ini dipercayai mula berkembang di Nusantara menerusi kitab-kitab doa dan wirid yang masyhur dalam masyarakat Melayu, antaranya kitab Majmū‘ Syarīf, Perukunan Melayu, serta kitab-kitab lain yang seumpamanya.[2]

Kitab-kitab sebegini lazimnya menghimpunkan pelbagai doa dan wirid yang senang diamalkan oleh orang awam, termasuklah doa akhir dan awal tahun Hijrah. Dengan berlalunya masa, ia sebati dengan tradisi masyarakat dan diwariskan dari satu generasi ke generasi sehingga kini.

Sungguhpun asal-usulnya tidak bersandarkan hadis sahih, ulama Nusantara tidak pula melarangnya; malah mereka menggalakkannya kerana isi kandungan doa itu dinilai baik dan sejajar dengan prinsip umum syariat Islam.

Kandungan doa akhir tahun khususnya mendorong pembacanya merenung dosa dan amalan sepanjang tahun yang telah berlalu, manakala doa awal tahun pula memuatkan permohonan perlindungan serta harapan untuk melangkah ke tahun baharu dengan azam yang lebih baik.

Dengan peredaran zaman, amalan ini kekal diamalkan secara konsisten dalam masyarakat Melayu-Muslim, khususnya apabila menjelang 1 Muharram. Ia kerap diadakan secara berjemaah di masjid dan surau sebagai antara acara sambutan Maal Hijrah.

Amalan ini turut mendapat sambutan baik daripada pihak berkuasa agama tempatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang menyebarkan panduan doa ini secara rasmi kepada orang ramai pada setiap tahun.[3]

Rumusannya, biarpun tidak dinukilkan daripada Nabi ﷺ, doa akhir dan awal tahun Hijrah telah sebati menjadi sebahagian budaya keagamaan umat Islam, khususnya dalam kalangan penganut Mazhab Syafie di Nusantara.

Ia melambangkan kesungguhan umat Islam untuk terus memperbaharui tekad, membaiki diri, dan mengukuhkan ikatan iman dengan Allah SWT setiap kali menyambut tahun baru Hijrah.

Mengapa Bulan Muharram Dikaitkan Dengan Peristiwa Hijrah?

Mengapakah Bulan Muharam dihubungkan dengan peristiwa hijrah, sedangkan hijrah itu sendiri berlaku pada Bulan Rabiulawal?

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan[4] daripada sebahagian ulama bahawa para sahabat رضي الله عنه pernah bermesyuarat (pada zaman Khalifah Umar رضي الله عنه) untuk menentukan bagaimana hendak memulakan tarikh — peristiwa manakah yang wajar dijadikan titik mula bagi kalendar mereka?

Beberapa cadangan telah dikemukakan:

  1. Peristiwa kelahiran Nabi ﷺ
  2. Peristiwa Nabi ﷺ dilantik menjadi Nabi
  3. Peristiwa hijrah Nabi ﷺ
  4. Peristiwa kewafatan Nabi ﷺ

Akhirnya, cadangan ketiga yang dipersetujui.

Cadangan pertama dan kedua sukar diterima kerana wujud perselisihan pendapat dalam menetapkan tahun kejadiannya. Cadangan keempat pula tidak sesuai kerana para sahabat tidak sampai hati menjadikan kewafatan Nabi ﷺ sebagai titik permulaan tarikh Islam.

Justeru, mereka bersepakat menjadikan tahun berlakunya peristiwa hijrah sebagai tahun pertama dalam kalendar Islam.

Tetapi mengapa pula Muharam yang dipilih sebagai bulan pertama dan bukannya Rabiulawal? Bukankah hijrah berlaku dalam bulan Rabiulawal?

Jawapannya, keazaman Rasulullah ﷺ untuk berhijrah sudah pun bermula sejak bulan Muharam lagi. Ini kerana peristiwa baiah telah berlangsung pada bulan Zulhijah.

Selepas itu Rasulullah ﷺ berazam untuk berhijrah, dan bulan pertama yang menyusul selepas peristiwa baiat tersebut ialah Muharam. Maka wajarlah Muharam dijadikan bulan permulaan.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah, inilah hujah paling kukuh yang beliau perolehi bagi menerangkan sebab munasabahnya bulan Muharam dipilih sebagai bulan permulaan.[5]

Mudah-mudahan kedatangan tahun baru hijri ini menjadi titik tolak buat kita berhijrah menuju kebaikan dengan taufiq daripada Allah ﷻ.

Kisah hijrah Rasulullah SAW

Kisah hijrah Rasulullah SAW

Kisah hijrah Rasulullah SAW

Kisah hijrah Rasulullah SAW

Sekadar makluman, Zulhijjah merupakan bulan haji sekali gus penutup tahun Hijrah. Oleh sebab itu, para ulama tempatan menetapkan petang 29 atau 30 Zulhijjah — iaitu detik terakhir sebelum tibanya 1 Muharram — sebagai waktu paling sesuai untuk membaca Doa Akhir Tahun, kerana ia selari dengan semangat muhasabah sebelum membuka lembaran yang baharu.

Teks Bacaan Doa Akhir Tahun

Bilakah masa yang sesuai untuk membaca doa akhir tahun ini?

Doa akhir tahun ini digalakkan dibaca pada waktu petang, iaitu selepas Solat Asar sehinggalah masuk Waktu Maghrib, pada 29 atau 30 Zulhijjah.

ٱلۡحَمۡدُ لِلّٰهِ رَبِّ ٱلۡعَالَمِينَ، وَٱلصَّلَاةُ وَٱلسَّلَامُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ أَجۡمَعِينَ

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassolatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain

Audio

ٱللَّهُمَّ مَا عَمِلۡنَا فِى هَذِهِ ٱلسَّنَةِ مِمَّا نَهَيۡتَنَا عَنۡهُ، فَلَمۡ نَتُبۡ مِنۡهُ وَلَمۡ تَرۡضَهُ وَلَمۡ تَنۡسَهُ

Allahumma Maa ‘Amilna Fii Hazihis-sanati Mimma NahaiTana ‘Anhu, Falam Natub Minhu Walam TarDhoHu Walam TanSaHu

وَحَلُمۡتَ عَلَيۡنَا بَعۡدَ قُدۡرَتِكَ، عَلَى عُقُوبَتِنَا، وَدَعُوۡتَنَا إِلَى ٱلتَّوۡبَةِ مِنۡهُ بَعۡدَ جُرۡأَتِنَا عَلَى مَعۡصِيَتِكَ

WahaLumTa ‘AlaiNa Ba’da QudRotika, ‘Ala ‘UQuuBatiNaa, Wada-‘UtaNa Ilat-taubati Minhu Ba’da Jur-AaTina ‘Alaa Ma’-Siyatika

فَإِنَّنَا نَسۡتَغۡفِرُكَ فَاغۡفِرۡ لَنَا، وَمَا عَمِلۡنَا مِمَّا تَرۡضَاهُ، وَوَعَدۡتَنَا عَلَيۡهِ الثَّوَابَ، فَنَسۡأَلُكَ اللَّهُمَّ يَا كَرِيمُ يَا ذَاالۡجَلَالِ وَالۡإِكۡرَامِ

FainNana NasTaghFiruka FaghFirLana, Wamaa ‘Amilna FiiHaa Mimma TarDhoHu Wawa ‘AdTana ‘AlayHis-TsaWab, FanasAlukallaHumma Ya Karimu Ya Dzal Jalaali Wal Ikram

أَنۡ تَتَقَبَّلَهُ مِنَّا وَلَا تَقۡطَعۡ رَجَاءَنَا مِنۡكَ يَا كَرِيمٌ، رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

An TataQobBalahu Minna Walaa TaqTogh RajaaAna Minka Ya Karim, RabbaNaa Aatina Fiddunya Hasanatan Wa Fil Aakhirati Hasanatan Waqina ‘Aazabannar

وَصَلَّى ٱللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ أَجۡمَعِينَ وَٱلۡحَمۡدُ لِلّٰهِ رَبِّ ٱلۡعَالَمِينَ

Was Sollallahu ‘Ala Sayyidinaa Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin

Maksud Doa Akhir Tahun

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Semoga Allah mencurahkan rahmat serta keselamatan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, berserta seluruh keluarga dan para sahabatnya.

Ya Allah, terhadap segala laranganMu yang telah kami langgar sepanjang tahun ini sedangkan kami masih belum bertaubat, Engkau tidak sesekali melupakannya dan Engkau tetap bersabar (dengan limpahan kasih sayangMu), walhal Engkau sesungguhnya berkuasa menurunkan hukuman ke atas kami, dan Engkau tetap menyeru kami agar bertaubat setelah kami melakukan maksiat.

Justeru ya Allah, kami memohon keampunanMu; ampunkanlah kami dengan sifat pemurahMu.

Dan terhadap segala amal perbuatan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai serta Engkau janjikan ganjaran pahala ke atasnya, kami bermohon kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah, wahai Zat Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, sudilah kiranya Engkau menerima amalan kami, dan janganlah Engkau putuskan harapan kami terhadapMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah.

Ya Allah, kurniakanlah kami kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di Akhirat, serta peliharalah kami daripada azab api neraka.

Dan semoga Allah melimpahkan rahmat serta kesejahteraan ke atas penghulu kami Muhammad, keluarga dan para sahabatnya.

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Teks Bacaan Doa Awal Tahun

doa awal tahun islam

Bilakah masa untuk membaca doa awal tahun Islam?

Doa awal tahun dibaca sebaik sahaja masuk Waktu Solat Maghrib, sebanyak 3 kali, pada malam 1 Muharram.

Dengan kata lain, doa ini dibaca sesudah kita selesai membaca doa akhir tahun.

ٱلۡحَمۡدُ لِلّٰهِ رَبِّ ٱلۡعَالَمِينَ، وَٱلصَّلَاةُ وَٱلسَّلَامُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ أَجۡمَعِينَ

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Wassolatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain

Audio

ٱللّٰهُمَّ أَنۡتَ ٱلۡأَبَدِيُّ ٱلۡقَدِيمُ ٱلۡأَوَّلُ، وَعَلَى فَضۡلِكَ ٱلۡعَظِيمِ وُجُودِكَ ٱلۡمُعَوَّلِ.

Allahumma Antal Abadiyyul Qadiimul Awwal, Wa ‘Ala Fadlikal ‘Azimi Wujuudikal Mu-Awwal

وَهَذَا عَامٌ جَدِيدٌ قَدۡ أَقۡبَلَ عَلَيۡنَا، نَسۡأَلُكَ ٱلۡعِصۡمَةَفِيهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَانِ ٱلرَّجِيمِ وَأَوۡلِيَآئِهِ وَجُنُوۡدِهِ وَٱلۡعَوۡنَ عَلَى هَذِهِ ٱلنَّفۡسِ ٱلۡأَمَّارَةِ بِالسُّوءِ وَٱلۡإِشۡتَغَالِ بِمَا يُقَرِّبُنَا إِلَيۡكَ زُلۡفَى.

Wahazaa ‘Amun Jadiidun Qad Aqbala ‘Alaina, NasAlukal ‘Ismatafiihi Minassyaitaanir-rajim Wa Auliyaaihi Wajunuudihi Wal ‘Auna ‘Alaa Hazihin-Nafsil Ammarati Bissu’i Wal Isyta-rgholi Bima Yuqorribuna Ilaika Zulfa.

يَا ذَاٱلۡجَلَالِ وَٱلۡإِكۡرَامِ، يَا أَرۡحَمَ ٱلرَّاحِمِينَ، رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Ya Dzaljalaali Wal Ikram, Ya Arhamar-rohimiin, Rabbanaa Aatinaa Fiddunyaa Hasanatan Wafil Akhiroti Hasanatan Waqinaa ‘Azaabannar

وَصَلَّى ٱللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ أَجۡمَعِينَ، وَٱلۡحَمۡدُ لِلّٰهِ رَبِّ ٱلۡعَالَمِينَ

Was Sollallahu ‘Ala Sayyidinaa Muhammadin Wa ‘Ala Aalihi Wasohbihi Ajmain, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin

Maksud Doa Awal Tahun

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan keselamatan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, berserta keluarga dan para sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Abadi, Maha Terdahulu, lagi Maha Awal. Hanya kepada anugerahMu yang Agung serta kemurahanMu sahajalah tempat kami bergantung.

Kini tahun baharu benar-benar telah menjelang. Kami memohon kepadaMu perlindungan sepanjang tahun ini daripada (godaan) syaitan yang direjam, para pembantunya dan seluruh bala tenteranya.

Kami turut memohon pertolongan bagi menewaskan hawa nafsu amarah yang mendorong kepada kejahatan, agar kami sentiasa sibuk dengan amalan yang mendekatkan diri kami kepadaMu, wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.

Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani hamba-hambaNya. Ya Allah, kurniakanlah kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat, serta peliharalah kami daripada azab neraka.

Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan keselamatan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, berserta seluruh keluarga dan para sahabatnya.

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian Alam.

Hukum, Dalil & Isu Bida’ah

Amalan membaca doa akhir tahun dan awal tahun kerap mencetuskan persoalan dalam masyarakat, terutamanya berkaitan sumber asalnya, status hadis dan hukumnya di sisi syarak.

Sungguhpun ia diamalkan secara meluas, sebahagian umat Islam masih tertanya-tanya: adakah amalan ini sebahagian daripada sunnah? Adakah ia satu bid‘ah? Dan bagaimanakah pendirian sebenar para ulama, khususnya menurut Mazhab Syafie?

Bagi merungkai persoalan-persoalan ini, berikut dihuraikan secara lengkap berpandukan pendirian mazhab serta fatwa ulama semasa:

Pandangan Mazhab Syafie

Menurut Mazhab Syafie, hukum membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah tergolong sebagai harus dan digalakkan (mustahab), selagi mana ia tidak dianggap sebagai sunnah khusus yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Para ulama Syafie menerangkan bahawa doa pada asasnya merupakan satu ibadah yang tidak terikat dengan lafaz mahupun waktu tertentu, asalkan ia tidak berlawanan dengan prinsip asas syariat.[6]

Oleh yang demikian, menyusun serta membaca doa pada waktu-waktu tertentu seperti penghujung dan permulaan tahun Hijrah termasuk dalam lingkungan amalan yang dibenarkan syarak.

Imam al-Syafie sendiri menyatakan dalam al-Risalah bahawa setiap perkara baharu yang selari dengan syariat serta tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah dikira sebagai bid‘ah hasanah, dan inilah yang menjadi asas kepada banyak amalan baik yang tiada pada zaman Nabi tetapi diterima sebagai ibadah yang sah.[7]

Pendirian ini turut diperkukuh oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, yang menegaskan bahawa menetapkan waktu tertentu bagi ibadah sunat adalah harus, selagi ia tidak disandarkan sebagai sunnah khusus dan dilakukan atas dorongan ingin mendekatkan diri kepada Allah.[8]

Justeru, membaca doa akhir tahun selepas Asar pada 29 atau 30 Zulhijjah, dan doa awal tahun selepas Maghrib 1 Muharram, dikira sebagai amalan yang terpuji serta menepati kaedah syarak, asalkan ia tidak diyakini sebagai sunnah Nabi ﷺ secara langsung atau disandarkan kepada hadis tertentu yang tidak sahih.

Pandangan Mazhab Lain & Ulama Kontemporari

Secara umumnya, tidak ada kenyataan rasmi daripada imam mazhab Hanafi, Maliki mahupun Hanbali tentang amalan ini, memandangkan ia hanya muncul terkemudian dan bukan pada era awal Islam.

Meskipun begitu, para ulama kontemporari daripada pelbagai latar belakang telah mengemukakan pandangan yang jelas dan membenarkan amalan ini.

Antaranya ialah Dar al-Ifta’ Mesir menerusi Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr. Syauqi Allam. Beliau menegaskan bahawa membaca doa akhir dan awal tahun merupakan amalan yang baik dan diizinkan syarak, malah tergolong dalam amalan zikir dan doa yang dituntut secara umum oleh Allah SWT dan RasulNya.[9]

Beliau turut menyatakan bahawa menghalang orang lain daripada berdoa semata-mata kerana ketiadaan dalil khusus adalah sikap keterlaluan dalam beragama, yang tidak pernah diamalkan oleh mana-mana ulama muktabar sepanjang sejarah.

Pendirian yang sama turut dipegang oleh Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri), yang menerangkan bahawa amalan ini termasuk dalam kategori ibadah sunat yang mubah, selagi ia tidak disandarkan kepada dalil yang tidak sahih dan tidak dianggap sebagai sunnah muakkad.[10]

Beliau menegaskan bahawa hukum membaca doa ini adalah harus, dan ia tidak wajar dipertikaikan kerana ia tergolong dalam amalan umum yang digalakkan.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) serta institusi agama rasmi seperti JAKIM, MUIS Singapura, dan Jabatan Mufti Negeri-negeri di Malaysia juga secara berterusan mengedarkan doa ini setiap tahun kepada orang ramai sebagai galakan amalan pada malam 1 Muharram.

Ini membuktikan bahawa pihak yang berautoriti tidak memandangnya sebagai amalan yang berlawanan dengan prinsip syariat.

Adakah Doa Akhir Tahun & Awal Tahun Ini Perbuatan Bidaah?

doa tahlil arwah

Antara isu yang kerap ditimbulkan ialah dakwaan bahawa doa ini merupakan bidaah yang tidak berpunca daripada Rasulullah ﷺ.

Hakikatnya, sesiapa yang menghalang orang lain daripada berdoa dengan alasan Nabi tidak pernah membaca doa tersebut adalah orang yang rosak akal fikirannya. Tiada seorang pun yang waras akan berhujah sedemikian.[11]

Berdoa ialah ibadah yang amat dituntut, malah doa itu sendiri merupakan inti pati ibadah. Tiada sebarang tegahan untuk berdoa mengikut tahun, bulan, minggu, hari mahupun yang seumpamanya.[12]

Berdoalah pada setiap masa; sesiapa yang lebih kerap berdoa, dialah yang lebih dikasihi Allah.

Tidak pernah wujud seorang pun ulama muktabar yang mengharamkan atau menegah orang daripada berdoa.

Ada pula pihak yang menyebarkan hadis-hadis yang memuatkan kelebihan tertentu berkenaan doa ini, seperti dakwaan kononnya syaitan akan kecewa, atau seseorang itu akan terpelihara daripada syaitan sepanjang tahun jika membacanya — sedangkan kesemua hadis yang menyebut perkara sedemikian adalah palsu dan tidak thabit daripada mana-mana sanad yang sahih.[13]

Walau bagaimanapun, para ulama menjelaskan bahawa kewujudan hadis palsu itu tidak menjadikan kandungan doa tersebut haram atau tertolak, selagi isinya baik dan tidak berlawanan dengan ajaran Islam.[14]

Yang perlu dijauhi ialah menyandarkan fadilat palsu itu kepada Nabi ﷺ, atau meyakininya sebagai janji Allah yang sahih.

Mengenai isu bidaah pula, ulama Syafie telah menghuraikan dengan terang perbezaan antara bidaah hasanah (perkara baru yang terpuji) dengan bidaah yang sesat. Membaca doa yang baik, walaupun tidak diamalkan oleh Nabi ﷺ secara khusus, tidak sekali-kali menjadikannya bidaah yang keji.[15]

Imam Nawawi dalam al-Adzkar sendiri menghimpunkan pelbagai doa yang tidak dinisbahkan kepada Nabi, namun dikira sebagai zikir dan munajat yang elok untuk diamalkan.

Oleh itu, pendekatan para ulama Islam bukanlah menolak segala amalan yang tidak disebut secara khusus oleh Nabi, sebaliknya menimbang kesesuaian kandungan dan prinsipnya dengan syariat.

Ringkasnya:

  • Hukum membaca doa akhir dan awal tahun adalah HARUS dan DIGALAKKAN, selagi ia tidak diyakini sebagai sunnah khusus daripada Nabi ﷺ.
  • Ia tidak wajib dan bukan sunnah muakkad. Elakkan daripada menyebarkan fadilat yang tidak sahih atau menyandarkan hadis palsu kepada Rasulullah ﷺ.

Hormatilah perbezaan pendapat dan hindarilah pertelingkahan dalam isu furu‘ (cabang ibadah).

Kelebihan & Hikmah

Kelebihan & Hikmah doa akhir tahun dan awal tahun

Sungguhpun amalan membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah tidak bersumberkan sunnah Nabi ﷺ secara khusus, ia tetap meninggalkan kesan mendalam pada jiwa dan menjadi satu latihan hati yang sangat berguna buat seorang Muslim.

Isi doa yang menyentuh soal pengakuan dosa, permohonan keampunan, serta azam membaiki diri menjadikan amalan ini amat bermakna dari sudut tarbiah jiwa dan pembinaan iman.

Antara hikmah dan nilai yang tersirat dalam amalan ini adalah seperti berikut:

1. Muhasabah Dosa dan Taubat

Doa akhir tahun membuka ruang untuk seseorang mengimbas kembali perjalanan hidupnya sepanjang tahun yang telah berlalu.

Kandungan doa ini menitikberatkan pengakuan atas dosa dan kelalaian yang telah dilakukan, di samping permohonan ampun daripada Allah SWT.

Ia selari dengan konsep muhasabah yang amat dituntut dalam Islam, sebagaimana sabda Nabi Muhammad ﷺ:

“Orang yang bijak ialah orang yang menilai dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati.” (Hadis riwayat Tirmizi, hasan)[16]

Amalan ini mendidik seorang Muslim agar tidak bertangguh dalam bertaubat, serta memandang penghujung tahun sebagai waktu terbaik memohon keampunan sebelum lembaran baru dibuka.

2. Azam dan Perlindungan untuk Tahun Baharu

Kandungan doa awal tahun pula berfokus kepada permohonan perlindungan daripada syaitan dan kejahatan nafsu, di samping harapan untuk terus mendekatkan diri kepada Allah sepanjang tahun yang baharu. Ia menggambarkan tekad dan azam untuk menjadi insan yang lebih baik.

Amalan ini membantu seseorang memulakan tahun baharu dengan kesedaran yang penuh, serta menetapkan matlamat yang berteraskan keredhaan Allah dan bukan semata-mata azam duniawi. Ini sejajar dengan adab Islam dalam menyusun niat dan hala tuju hidup.

3. Menyatakan Kesyukuran atas Nikmat Yang Berlalu

Doa akhir tahun bukan sekadar memuatkan istighfar, malah turut merangkumi penghargaan terhadap amal kebaikan yang telah dilakukan serta permohonan agar ia diterima oleh Allah SWT.

Ini melatih seorang Muslim supaya sentiasa mensyukuri taufik dan hidayah, serta tidak berasa bangga atau riak dengan amalan sendiri.

Dengan menyebut secara langsung soal penerimaan amal, doa ini turut mengingatkan bahawa tiada jaminan sesuatu amal itu diterima melainkan dengan rahmat Allah.

Justeru, ia menyemai sifat tawaduk dan rendah diri dalam beribadah.

4. Meningkatkan Husnuzon dan Tawakkal

Kedua-dua doa ini sarat dengan lafaz yang penuh pengharapan dan kebergantungan kepada Allah SWT.

Doa akhir tahun ditutup dengan permohonan agar Allah tidak memutuskan harapan hambaNya, manakala doa awal tahun memohon agar segala usaha pada tahun mendatang diberkati dan dipermudahkan.

Kesannya amat besar — ia menanamkan sifat husnuzon (bersangka baik) terhadap Allah, sekali gus melatih diri untuk bertawakkal kepadaNya dalam mengharungi cabaran dan ketidakpastian tahun baharu.

5. Mengukuhkan Ukhuwwah

Apabila doa ini dibaca secara berjemaah, sama ada di masjid, surau, sekolah mahupun bersama keluarga, ia menjadi wadah pengukuhan ukhuwwah Islamiah.

Umat Islam berhimpun dengan satu matlamat: menutup tahun dengan taubat, dan membuka tahun dengan doa serta harapan.

Amalan ini turut membina identiti bersama masyarakat Islam dalam menyambut tahun baru Hijrah secara bermakna, bukannya dengan hiburan atau kelalaian.

Bagi saudara baru (muallaf) pula, ia membuka peluang untuk mengenali budaya Islam setempat dan menghayati rasa kebersamaan dalam beribadah.

6. Membezakan Sambutan Tahun Baru Islam dengan Tahun Baru Masihi

Pada zaman ini, sambutan tahun baru Masihi acap kali dihubungkan dengan hiburan, pesta dan perkara-perkara yang melalaikan.

Doa akhir dan awal tahun Hijrah menawarkan alternatif yang jauh lebih bermakna dan berpaksikan nilai Islam dalam menyambut kedatangan tahun baharu.

Ia menyedarkan umat Islam bahawa permulaan tahun sewajarnya diiringi doa, harapan dan muhasabah, bukannya kelalaian dan perkara yang sia-sia.

Ini selaras dengan prinsip Islam dalam memanfaatkan masa dan memperbaharui niat hidup.

Soalan Lazim (FAQ)

Berikut dikumpulkan beberapa soalan yang kerap diajukan mengenai amalan membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah. Jawapan-jawapan ini disusun untuk membantu anda memahami isu ini dengan lebih terang, sama ada dari sudut hukum, asal-usul, waktu amalan, mahupun pandangan para ulama.

Apakah maksud doa akhir dan awal tahun Hijrah?

Doa akhir tahun dibaca pada hujung Zulhijjah sebagai muhasabah dan permohonan keampunan. Doa awal tahun pula dibaca sebaik masuknya 1 Muharram bagi memohon perlindungan, taufik serta keberkatan sepanjang tahun yang baharu.

Adakah amalan ini wajib atau sunnah?

Ia bukanlah wajib mahupun sunnah muakkad. Para ulama Mazhab Syafie meletakkannya sebagai amalan harus dan digalakkan (mustahab) memandangkan kandungannya baik dan sejajar dengan prinsip doa umum.

Dari mana asal lafaz doa ini?

Lafaz yang masyhur berasal daripada kitab-kitab doa Nusantara seperti Majmū‘ Syarīf. Ia tidak diriwayatkan secara sahih daripada Nabi ﷺ, tetapi dibenarkan kerana maknanya yang baik.

Siapa yang mula mengamalkannya?

Para ulama serta masyarakat Melayu bermazhab Syafie yang memperkenalkannya sebagai pengisian Maal Hijrah. Kini ia diamalkan secara meluas di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Adakah terdapat hadis sahih berkaitan doa ini?

Tidak ada hadis sahih yang menetapkan sebarang doa khusus pada akhir mahupun awal tahun.

Mengapa ada ulama yang menolak perbuatan ini?

Sebahagian ulama Salafi berpandangan bahawa setiap ibadah mesti bersandarkan nas yang khusus. Tanpa dalil, mereka mengiranya sebagai bid‘ah. Namun begitu, mereka tidak pula melarang amalan berdoa secara umum.

Apakah pendirian institusi fatwa rasmi?

Dar al-Ifta’ Mesir, Mufti Wilayah Persekutuan, serta ramai mufti di Nusantara mengiktiraf doa ini sebagai amalan harus yang mendatangkan kebaikan, selagi tidak disandarkan dengan fadilat palsu.

Bilakah waktu terbaik membaca doa akhir tahun?

Selepas solat Asar pada 29 atau 30 Zulhijjah sehingga sebelum azan Maghrib. Sekiranya terlepas, ia tetap boleh dibaca pada bila-bila masa sebagai doa umum.

Bolehkah saya membaca dalam Bahasa Melayu?

Boleh. Doa akan menjadi lebih khusyuk apabila maksudnya difahami. Lafaz Arab disediakan sebagai rujukan, namun terjemahan atau doa susunan sendiri turut dibenarkan.

Bolehkan doa dibaca berjemaah dengan suara kuat?

Harus, selagi ia tidak dianggap sebagai kewajipan dan tidak mengganggu ibadah yang lain. Imam membacakan doa manakala makmum mengaminkannya, sepertimana doa selepas solat.

Adakah doa akhir & awal tahun boleh dikiaskan kepada perbuatan Nabi ﷺ berdoa ketika melihat hilal?

Ya. Nabi ﷺ membaca doa khusus setiap kali melihat anak bulan (riwayat Tirmizī no. 3451, ḥasan). Ulama Syafie membuat qias: sekiranya pada awal setiap bulan dianjurkan berdoa, maka awal tahun tentulah lebih utama. Ibn Hajar menegaskan bahawa menetapkan waktu bagi ibadah sunat adalah harus; fatwa Mufti WP dan Dar al-Ifta’ Mesir pula mengiktirafnya sebagai bidʿah ḥasanah, bukan sesuatu yang wajib.

Penutup

Tahun baharu Hijrah bukanlah semata-mata pertukaran angka pada kalendar, sebaliknya ruang yang istimewa untuk menilai kembali perjalanan iman, mensyukuri segala nikmat, dan menyegarkan azam.

Doa akhir dan awal tahun yang dihuraikan di atas hanyalah salah satu cara mudah untuk menghidupkan detik tersebut — menutup tahun dengan istighfar, lalu membuka tahun baharu dengan harapan perlindungan serta taufik daripada Allah SWT.

Meskipun amalan ini tidak diwajibkan, ia sejajar dengan semangat hijrah yang mengajak setiap Muslim agar sentiasa melangkah ke arah kebaikan. Bacalah doa ini dengan penuh kefahaman, khusyuk dan hati yang ikhlas; hindarilah dakwaan fadilat palsu; dan jadikanlah ia titik mula kepada perubahan diri yang lebih bermakna sepanjang tahun yang mendatang.

Semoga Allah menerima setiap usaha kecil kita dan memberkati langkah baharu yang bakal kita tempuhi.

Selamat menyambut Maal Hijrah, dan semoga tahun ini membawa ketenangan, keselamatan, dan keberkatan buat kita semua.

Nota Kaki

  1. Peristiwa hijrah Nabi ﷺ dari Makkah ke Madinah berlaku pada tahun 622 M. Rujuk: Ibn Hishām, Al-Sīrah al-Nabawiyyah, ed. Suhail Zakkār (Beirut: Dār al-Fikr, 1997), jil. 2, hlm. 132; dan al-Ṭabarī, Tārīkh al-Umam wa al-Mulūk, ed. de Goeje (Leiden: Brill, 1888), jil. 2, hlm. 233. ↩︎
  2. Majmūʿ Syarīf Kāmil (Surabaya: Al-Hidayah, t.t.), hlm. 171-173; dan Perukunan Melayu (Jakarta: Pustaka Al-Aidrus, t.t.), hlm. 55-56. Kedua-dua naskhah doa tradisional ini memuatkan lafaz “Doa Akhir Tahun” dan “Doa Awal Tahun” berserta fadhilatnya, lalu tersebar meluas sebagai rujukan masyarakat Melayu-Nusantara sejak awal abad ke-20. ↩︎
  3. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), “Doa Akhir Tahun & Awal Tahun Hijrah”, hantaran Facebook rasmi MyJAKIM, 6 Julai 2024. Hantaran tersebut memaparkan poster rasmi teks doa akhir dan awal tahun Hijrah 1446H berserta waktu bacaannya; ia dikongsikan pada setiap tahun sempena sambutan Maal Hijrah untuk kemudahan masyarakat. ↩︎
  4. Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 7, hlm. 268-269 (Beirut: Dār al-Maʿrifa, t.t.). Ketika mensyarahkan hadis no. 3934, beliau membawakan riwayat-riwayat tentang mesyuarat para sahabat pada zaman ʿUmar r.a. yang menimbang empat cadangan sebagai titik mula takwim Islam: kelahiran Nabi ﷺ, pelantikan baginda sebagai Rasul, hijrah ke Madinah, dan kewafatan baginda. Para sahabat akhirnya bersepakat memilih peristiwa hijrah kerana ia memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan serta tarikhnya paling jelas. ↩︎
  5. Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 7, hlm. 270. Rumusan beliau: “Sebab Muharram dipilih sebagai bulan pertama ialah kerana niat serta azam hijrah telah bermula sebaik selesai Baiah ʿAqabah pada Zulhijjah, lalu Muharram menjadi bulan penuh yang pertama dalam fasa hijrah. Hujah ini dianggapnya paling kukuh tentang kemunasabahan menjadikan Muharram sebagai permulaan takwim Islam.” ↩︎
  6. Imam al-Nawawī, al-Azkār, tahqīq Ḥ. ʿAbd al-Qādir al-Arnaʿūṭ (Beirut: Dār al-Nafāʾis, 2011), hlm. 34-35. Dalam muqaddimah, beliau menegaskan bahawa berdoa “tidak terikat dengan lafaz atau waktu tertentu” selagi maknanya baik dan tidak menyalahi syarak; justeru sebarang doa tambahan dikira mustahab, bukan bidʿah tercela. Asas inilah yang dipegang fuqahāʾ Syāfiʿiyyah bagi mengharuskan amalan doa akhir dan awal tahun selagi tidak dianggap sunnah khusus ↩︎
  7. Imām al-Shāfiʿī, al-Risālah (tahqīq Aḥmad Muḥammad Shākir, Kaherah: Maktabah al-Kulliyyāt al-Azhariyyah, 1973), hlm. 507. Beliau menegaskan: “Perkara baharu (muḥdathāt) terbahagi kepada dua – yang menepati al-Qur’an, Sunnah, Ijmāʿ dan Athar, itulah ‘bidʿah ḥasanah’; manakala yang menyanggahi nas, itulah ‘bidʿah ḍalālah’.” Kenyataan inilah yang menjadi sandaran fuqahāʾ Syāfiʿiyyah dalam mengharuskan amalan baik yang muncul selepas zaman Nabi ﷺ selagi tidak bercanggah dengan syariat. ↩︎
  8. Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 3, hlm. 69, ketika mensyarahkan hadis “كَانَ يَأۡتِي قُبَاءَ كُلَّ سَبۡتٍ” (Nabi ﷺ menziarahi Masjid Qubāʾ setiap hari Sabtu). Beliau merumuskan bahawa hadis ini menjadi dalil keharusan menetapkan waktu tertentu bagi amalan sunat, selagi ia tidak diyakini sebagai sunnah khusus yang diwajibkan, sebaliknya dilakukan atas keinginan mendekatkan diri kepada Allah. ↩︎
  9. Fatwa oleh Syeikh Dr. Syauqi Allam, Mufti Besar Mesir, “أدعية نهاية العام الهجرى وبدايته.. هل تجوز شرعاً؟.. الإفتاء تجيب” (Adʿiyah Nihāyah al-ʿĀm al-Hijrī wa Bidāyatuh.. Hal Tajūz Sharʿan? al-Iftāʾ Tujīb), Masrawy, memetik portal rasmi Dar al-Iftāʾ, 22 Ogos 2019. Menerusi laman rasmi Dar al-Ifta’, beliau menegaskan bahawa doa akhir dan awal tahun tergolong dalam zikir yang baik, dibolehkan syarak, dan tindakan melarangnya adalah tidak berasas. ↩︎
  10. Pejabat Mufti WP, “Bayan Linnas Siri 212: Hijrah Itu Membawa Kejayaan”, 31 Ogos 2019 – Mufti menegaskan keharusan doa ini. ↩︎
  11. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas Siri ke-212: Hijrah Itu Membawa Kejayaan, 30 Zulhijjah 1440 H / 31 Ogos 2019. Pada ruangan “Penutup”, Mufti menekankan bahawa amalan berdoa pada penghujung dan permulaan tahun Hijrah adalah harus dan wajar diteruskan selagi tidak disertai dakwaan fadilat palsu. ↩︎
  12. Ḥadith “«الدُّعَاءُ هُوَ الۡعِبَادَةُ»” – “Doa itu sendiri adalah ibadah.” Sunan Abī Dāwūd 1479, ṣaḥīḥ (al-Albānī); juga Jāmiʿ at-Tirmidhī 2969, ḥasan ṣaḥīḥ. Hadith ini menjadi dalil umum bahawa berdoa pada bila-bila masa dengan apa jua lafaz yang baik adalah tuntutan syarak. ↩︎
  13. Syeikh Jamāl al-Dīn al-Qāsimī menyatakan dengan tegas dalam Iṣlāḥ al-Masājid (Beirut: Dār al-Ihyāʾ, 1998), hlm. 86, bahawa “riwayat kononnya syaitan menyesal dan manusia terpelihara setahun penuh apabila membaca doa akhir atau awal tahun adalah tidak bersandar kepada mana-mana sanad sahih, bahkan tergolong hadis mawdūʿ (palsu) yang tiada asalnya.” Kenyataan seumpamanya turut dikeluarkan oleh Al-Lajnah ad-Dāʾimah lil-Iftāʾ Saudi (Fatwa no. 23529, jil. 17, hlm. 39) dan Markaz al-Fatwa IslamWeb (Fatwa no. 113659, 2008); kedua-duanya menegaskan bahawa semua fadilat spesifik berkenaan “syaitan kecewa” atau “dilindungi setahun penuh” tidak thābit dalam mana-mana kitab hadis yang muktamad. ↩︎
  14. Ibn Taymiyyah, Majmūʿ al-Fatāwā, jil. 22, hlm. 510: “Sekiranya sesuatu zikir atau doa itu mengandungi makna yang benar, maka membacanya dibolehkan walaupun tiada hadis sahih mengenainya, selama ia tidak diyakini sebagai sunnah khusus. Fatwa Lajnah ad-Dāʾimah lil-Iftāʾ (no. 19365, jil. 24, hlm. 179): “Hadis palsu tentang fadilat tidak menjadikan lafaz doa itu haram; yang ditegah ialah menyandarkannya kepada Nabi ﷺ. Orang ramai bebas berdoa dengan lafaz yang baik menurut keperluan.” ↩︎
  15. Al-ʿIzz ibn ʿAbd al-Salām, Qawāʿid al-Aḥkām, jil. 2, hlm. 173-174, membahagikan bidʿah kepada lima hukum (wajib, haram, sunat, makruh, harus) dan menyenaraikan contoh zikir tambahan sebagai sunat. Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Fatḥ al-Bārī, jil. 4, hlm. 253, ketika mensyarahkan hadis “كُلُّ بِدۡعَةٍ ضَلَالَةٌ”, menerangkan bahawa larangan bidʿah tertumpu kepada perkara yang menyalahi nas, manakala “perkara baru yang baik” termasuk di bawah bidʿah ḥasanah. ↩︎
  16. Ḥadith «الكَيِّسُ مَن دَانَ نَفۡسَهُ…» – “Orang bijak ialah yang menilai dirinya dan beramal untuk akhirat.” Riwayat Jāmiʿ at-Tirmidhī, no. 2459 (Kitāb Ṣifat al-Qiyāmah); dinilai ḥasan oleh at-Tirmidhī dan al-Albānī (Ṣaḥīḥ at-Tirmidhī). ↩︎

References

  • Tradisi Nusantara (kitab amalan)
  • akuislam.com (audio recitations)

Frequently asked questions

How do I perform DOA AKHIR TAHUN & AWAL TAHUN ISLAM (Rumi, Audio & PDF)?

The DOA AKHIR TAHUN & AWAL TAHUN ISLAM (Rumi, Audio & PDF) guide is broken into 21 clear steps, each with Arabic text and Rumi transliteration so it is easy to follow.

How many steps does DOA AKHIR TAHUN & AWAL TAHUN ISLAM (Rumi, Audio & PDF) have?

This guide has 21 steps.

Which school of jurisprudence does this guide follow?

This content follows the shafii school.