
Mukadimah
Bagaimanakah amalan akikah dan bercukur rambut dilakukan untuk bayi yang baru lahir?
Panduan ini akan menghuraikan sepenuhnya, dengan cara yang mudah, amalan akikah dan bercukur rambut bagi anak yang baru dilahirkan.
Jom kita mulakan tanpa berlengah..
Makna Akikah
Pemberian nama kepada bayi yang baru lahir biasanya dilakukan serentak dengan amalan akikah serta bercukur rambut bayi.
Dari Segi Bahasa
Akikah bermaksud rambut yang ada pada bayi yang baru dilahirkan.
Dari Segi Syarak
Ia merujuk kepada binatang yang disembelih untuk anak yang baru dilahirkan.
Berikut adalah antara hadis yang menyentuh tentang akikah:
- Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Salman bin Amir al-Dhabbi r.a, katanya “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bersama bayi itu terdapat akikah. Maka, tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan (iaitu kekotoran dan najis)— Hadis riwayat al-Bukhari (5154)
- Selain itu, ada juga hadis riwayat Abu Daud dan selainnya daripada Samurah r.a, katanya:
Rasulullah bersabda maksudnya:
Bayi itu tergadai (tergantung) dengan akikah. Binatang disembelih bagi pihaknya pada hari ketujuh, diberikan nama dan dicukur kepalanya— Hadis riwayat al-Tirmizi (1442)
Bila Akikah Dilakukan?
Menurut para ulama mazhab asy-Syafie, akikah sunat dilaksanakan pada hari ketujuh selepas kelahiran.
Sekiranya tidak berkemampuan, ia boleh ditunaikan pada bila-bila masa sebelum anak itu baligh.
Apabila anak tersebut sudah baligh sedangkan akikahnya masih belum dilaksanakan, gugurlah tanggungjawab ibu bapanya, dan eloklah si anak itu sendiri mengakikahkan dirinya.
Apakah Haiwan Yang Perlu Dikorban Untuk Akikah?
Rasulullah SAW menggalakkan agar anak lelaki diakikahkan dengan dua ekor kambing — namun seekor pun sudah memadai (kibas, biri-biri dan sebagainya) — yang cukup sifat dan memenuhi syarat-syaratnya.
Bagi anak perempuan pula, cukup sekadar seekor kambing sahaja untuk akikahnya.
Syarat-Syarat Akikah
Berikut ialah syarat-syarat bagi akikah:
- Had umur binatang sembelihan: unta mestilah melebihi 5 tahun; lembu / kerbau melebihi 2 tahun; kambing melebihi 2 tahun atau telah bersalin gigi; kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
- Binatang yang disembelih hendaklah sihat dan tidak cacat.
- Sunat daging akikah itu dipotong mengikut sendinya tanpa memecahkan tulangnya, selaras dengan maksud akikah sebagai “Fida” (mempertalikan ikatan antara diri anak dengan Allah SWT.
- Sunat menyebut nama Allah serta nama anak yang dilahirkan sewaktu menyembelih binatang akikah, dengan membaca اللَّهُمَّ لَكَ وَإِلَيۡكَ عَقِيۡقَةُ (Ya Allah, bagi-Mu dan kepadaMu akikah [sebutkan nama anak])
- Tidak boleh berkongsi. Contohnya beberapa keluarga bergabung menggunakan seekor kambing untuk akikah anak masing-masing.
- Kambing adalah pilihan yang terbaik untuk akikah, namun unta, lembu dan kerbau juga dibenarkan.
Amalan Bercukur Rambut
Galakan mencukur rambut bayi sempena majlis akikah ini sebenarnya menyimpan hikmah tersendiri dari sudut kesihatan.
Ibnu al-Qayyim menjelaskan bahawa amalan ini mampu menambah baik kesihatan si anak, membuka selaput kepalanya serta menajamkan penglihatan, pendengaran dan deria hidunya.
Hikmah Berakikah
Antara hikmah di sebalik amalan akikah ialah:
- Meluahkan rasa kesyukuran dan kegembiraan atas kehadiran sebuah jiwa muslim baru yang akan sujud menyembah Allah SWT di dunia ini
- Merapatkan si anak kepada Allah melalui akikah yang ditunaikan untuknya.
- Mengeratkan ikatan persaudaraan sesama muslim, apabila majlis akikah itu dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga.
- Sebagai tebusan, anak tersebut kelak dapat memberikan syafaat kepada kedua ibu bapanya.
- Menzahirkan tanda syukur kepada Allah SWT di atas segala kurniaanNya.
- Memelihara anak itu daripada sebarang bahaya dan bencana.
Mudah-mudahan panduan ini menambah sedikit sebanyak pengetahuan anda semua.
Sumber:
- Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat — Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid