
Mukadimah
Bagaimanakah kaedah serta bacaan bagi sujud sajadah atau sujud tilawah?
Amalan sujud sajadah ini lazimnya diadakan ketika Solat Subuh secara berjemaah pada Hari Jumaat.
Justeru, panduan ini disusun untuk menerangkan dengan lengkap dan ringkas cara-cara melaksanakan sujud sajdah tersebut.
Jom kita mula..
Pengenalan
Apakah yang dimaksudkan dengan sujud sajadah?
Sujud sajadah merupakan sujud yang dikerjakan ketika seseorang membaca atau mendengar ayat-ayat sajadah yang terdapat di dalam al-Quran.
Sujud sajdah turut dikenali dengan nama sujud tilawah. Kalimah “tilawah” di sini membawa erti bacaan.
Maka sujud tilawah ialah sujud yang dilakukan apabila ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran dibaca.
Sujud sajadah terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
- Sujud sajadah ketika berada di dalam solat
- Sujud sajadah ketika berada di luar solat
Hukum Melakukan Sujud Sajadah

Melakukan sujud sajadah hukumnya adalah sunat.
Ketika di dalam solat, sekiranya sujud tilawah dikerjakan sebelum sampai kepada ayat sajadah, atau pada ayat yang bukan ayat sujud sajadah, maka solat itu akan menjadi batal.
Dalam solat berjemaah pula, apabila imam mengerjakan sujud tilawah, makmum wajib turut sujud tilawah bersama-samanya
Sekiranya makmum tidak ikut sujud tilawah bersama imam, solat makmum itu terbatal.
Sebaliknya, jika imam tidak melakukannya dalam solat berjemaah, makmum juga tidak perlu sujud tilawah kerana makmum wajib sentiasa mengikut pergerakan imam –maksudnya makmum tidak dibenarkan membuat gerakan yang tidak dibuat oleh imam.
Ayat Sujud Sajadah

Terdapat 14 tempat dalam al-Quran yang disunatkan kita melakukan sujud tilawah (sajadah) apabila membacanya.
Dalam mushaf al-Quran, kedudukan ayat-ayat ini ditandakan dengan tanda kubah masjid atau dicatatkan perkataan sajadah padanya.
Berikut ialah senarai ayat-ayat sujud sajadah:
1. Surah al-A’raf, ayat 206
Maksudnya:
Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.
2. Surah Ar-R’ad, ayat 15
Maksudnya:
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
3. Surah an-Nahl, ayat 50
Maksudnya:
Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.
4. Surah Isra’, ayat 109
Maksudnya:
Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.
5. Surah Maryam, ayat 58
Maksudnya:
Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
6. Surah al-Hajj 18
Maksudnya:
Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.
7. Surah al-Hajj, ayat 77
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
8. Surah al-Furqan, ayat 60
Maksudnya:
Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): “Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!” Mereka bertanya: “Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?” Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar.
9. Surah an-Naml, ayat 26
Maksudnya:
“Allah! – Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar “.
10. Surah As-Sajdah, ayat 15
Maksudnya:
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
11. Surah Fussilat, ayat 38
Maksudnya:
Oleh itu, kalau mereka tetap ingkar dengan angkuhnya (daripada mematuhi perintah Allah dan mengesakanNya, maka tidaklah menjejaskan kebesaran Tuhan), kerana malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka merasa jemu.
12. Surah an-Najm, ayat 62
Maksudnya:
Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).
13. Surah al-Insyiqaq, ayat 21
Maksudnya:
Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?
14. Surah al-‘Alaq, ayat 19
Maksudnya:
Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!
Surah Yang Dikecualikan Dari Sujud Sajadah
Menurut Imam al-Syafi’e, sujud tilawah hanya disunatkan pada empat belas tempat sahaja dalam al-Quran; ayat dalam surah Sad tidak dikira sebagai ayat sajadah, tetapi dikategorikan sebagai sujud syukur yang disunatkan di luar solat sahaja.
Sujud pada ayat surah Sad ini haram dilakukan ketika sedang solat, malah boleh menyebabkan solat itu terbatal.
Dalilnya ialah riwayat al-Nasa’i daripada Ibn Abbas r.a yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah sujud ketika membaca surah Sad, lalu baginda bersabda yang bermaksud:
Nabi Daud pernah sujud untuk bertaubat, dan kita juga sujud sebagai tanda kesyukuran (kerana taubat Nabi Daud telah diterima Allah) (Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, kitab Iftitah: Bab sujud al-Quran, sujud pada surah Sad)
Bacaan Sujud Sajadah
Berikut ialah lafaz yang dibaca ketika sujud sajadah:
سَجَدَ وَجۡهِيَ لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمۡعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوۡلِهِ وَقُوَّتِهِ فَتَبَارَكَ اللهُ أَحۡسَنُ الۡخَالِقِينَBacaan sujud sajadah dalam rumi:
Maksudnya:
Wajahku ini aku sujudkan kepada Allah yang telah menciptakannya dan membentuk rupanya, serta membuka pendengaran dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kudratNya. Maha Suci Allah, sebaik-baik pencipta segala kejadian.
Sa-ja-da waj-Hi-ya lil-la-dziy kho-la-qo-hu wa-shaw-wa-ra-Hu wa-syaq-qo sam-‘a-Hu wa-ba-sho-ro-Hu bi-hau-li-hi wa-quw-wa-ti-Hi fa-ta-baa-ro-kaL Laa-Hu ah-san-ul khoo-li-qiyn .
Maksudnya:
Wajahku ini aku sujudkan kepada Allah yang telah menciptakannya dan membentuk rupanya, serta membuka pendengaran dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kudratNya. Maha Suci Allah, sebaik-baik pencipta segala kejadian.
Sujud Sajadah Dalam Solat
Di Malaysia dan rantau nusantara khususnya, umat Islam lazimnya melaksanakan sujud tilawah — atau disebut juga sujud sajdah — hanya pada solat subuh pagi Jumaat.
Kaedahnya di dalam solat ialah: sebaik sahaja habis membaca ayat al-Quran yang disunatkan sujud sajdah padanya, kita disunatkan terus turun sujud sambil membaca tasbih sujud sajadah.
Surah yang biasa dibaca ialah Alif Lam Mim Sajdah; ia dibaca pada rakaat pertama.
Apabila bacaan tiba pada:
إِنَّمَا يُؤۡمِنُ بِـَٔايَٰتِنَا ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُواْ بِهَا خَرُّواْ سُجَّدًۭا وَسَبَّحُواْ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ۩ ﴾١٥﴿… maka teruslah turun sujud
Tasbih yang dibaca ketika sujud sajadah ialah:
سَجَدَ وَجۡهِيَ لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمۡعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوۡلِهِ وَقُوَّتِهِ فَتَبَارَكَ اللهُ أَحۡسَنُ الۡخَالِقِينَBacaan dalam rumi:
Maksudnya:
Wajahku ini aku sujudkan kepada Allah yang telah menciptakannya dan membentuk rupanya, serta membuka pendengaran dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kudratNya. Maha Suci Allah, sebaik-baik pencipta segala kejadian.
Sajada Wajhiya Lilladzi Khalaqahu Wa Sawwarahu Wa Shaqqa Sam’ahu Wa Basarahu Bi-Hawlihi Wa Quwwatih, Fatabarakal-Allahu Ahsanul Khaaliqin
Maksudnya:
Wajahku ini aku sujudkan kepada Allah yang telah menciptakannya dan membentuk rupanya, serta membuka pendengaran dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kudratNya. Maha Suci Allah, sebaik-baik pencipta segala kejadian.
Selepas itu, bangunlah semula berdiri tanpa perlu mengangkat tangan, lalu sambung bacaan ayat al-Quran yang tadi.

Sujud Sajadah Diluar Solat

Bagi sujud tilawah di luar solat pula, caranya ialah angkat tangan sambil bertakbir, kemudian terus sujud dan bacalah tasbih sujud tilawah (seperti di atas ↑).
Selepas itu, duduk semula dan lafazkan salam.
Sujud Tilawah Dalam Solat Berjemaah

Keadaan 1: Apabila imam melakukan sujud tilawah disebabkan bacaannya sendiri, makmum wajib turut sujud bersama imam.
Sekiranya makmum tidak mengikutinya, solat makmum itu terbatal.
Sebaliknya, jika imam tidak sujud, makmum juga tidak dibenarkan sujud.
Kalau makmum tetap sujud juga, solatnya menjadi batal.
Keadaan 2: Andai imam sujud tetapi makmum langsung tidak menyedarinya sehinggalah imam sudah mengangkat kepala daripada sujud, makmum itu dimaafkan kerana tertinggal, dan dia tidak boleh lagi melakukan sujud tersebut.
Tetapi jika dia menyedarinya semasa imam masih dalam sujud, wajiblah dia turut sujud.
Keadaan 3: Sekiranya imam turun sujud dalam solat sirriyyah (bacaan tidak dikuatkan), makmum hendaklah mengikutinya kerana imam dianggap telah membaca ayat sajadah.
Keadaan 4: Jika makmum sedang bergerak turun untuk sujud, lalu imam mengangkat kepalanya ketika itu, makmum mesti kembali berdiri bersama imam dan tidak boleh meneruskan sujudnya.
Hukum yang sama terpakai kepada orang yang lemah yang turun sujud bersama imam.
Sekiranya imam sudah bangkit daripada sujud sebelum orang lemah itu sempat sampai ke tempat sujud (kerana pergerakan imam yang pantas dan makmum lemah itu yang perlahan), hendaklah dia kembali mengikut imam dan tidak boleh menyempurnakan sujud itu.
Catatan
Persoalan ini berbeza daripada isu mendahului imam dengan satu rukun; ia sebenarnya termasuk dalam isu penambahan rukun dalam solat.
Justeru, ia serupa dengan keadaan makmum yang membaca ayat as-Sajdah sendiri lalu melakukan sujud Tilawah di belakang imam kerana bacaannya itu.
Fatwa ini dinyatakan dalam Ar-Raudhah.
Bezanya dengan keadaan makmum yang turun di belakang imam untuk sujud biasa lalu tiba-tiba imam mengangkat kepala: dalam kes itu makmum wajib menyempurnakan sujud dahulu, kemudian menyusul imam dalam qiam.
Sebabnya, sujud biasa merupakan rukun solat, manakala sujud tilawah bukan sebahagian daripada rukun solat.
Keadaan 5: Seseorang yang bersolat sebagai makmum tidak boleh sujud tilawah disebabkan bacaannya sendiri mahupun bacaan orang lain selain imam.
Andai dia sujud juga, solatnya terbatal.
Nota
Adalah makruh bagi makmum membaca ayat sajadah di belakang imam, atau memasang telinga kepada bacaan selain bacaan imamnya.
Penutup
Mudah-mudahan panduan ini bermanfaat untuk anda dalam mengamalkan sujud sajadah dengan yakin dan sempurna.