
Mukadimah
Bagaimanakah caranya untuk bersolat sambil memakai kasut?
Bersolat dengan kasut merupakan salah satu rukhsah (kemudahan) yang disediakan dalam Islam.
Justeru, panduan ini akan menerangkan syarat-syarat solat dengan memakai kasut (khuf)
Jom kita mulakan tanpa membuang masa..
Pengenalan
Siapakah golongan yang diharuskan bersolat dengan kasut?
Anggota pasukan keselamatan khususnya tentera, begitu juga para sukarelawan yang berhari-hari lamanya menjalankan misi kemanusiaan di kawasan bencana, tetap tidak terlepas daripada kewajipan menunaikan solat fardu.
Namun begitu, Islam menyediakan rukhsah untuk mereka, terutamanya dalam urusan wuduk dan pakaian solat.
Antara kemudahan itu, mereka diharuskan berwuduk tanpa perlu membuka kasut (khuf), dan boleh memakai pakaian yang sama berhari-hari lamanya selagi mana pakaian itu tidak dicemari najis ‘aini (zahir).
Sekadar kotor, berbau, atau terpalit selut dan lumpur, semua itu dimaafkan oleh syarak kerana kekotoran sedemikian bukan najis.
Bahkan, solat boleh didirikan di mana-mana sahaja kerana seluruh bumi Allah ini adalah tempat bersolat — di atas tanah mahupun di udara (solat dalam kapal terbang) — asalkan tempat itu bebas daripada najis.
Kaedah Berwuduk Dengan Memakai Kasut (Khuf)

Dalam keadaan biasa, fardu wuduk merangkumi enam perkara yang mesti disempurnakan: niat mengambil wuduk di dalam hati, membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku, menyapu sebahagian kepala, membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali, dan tertib.
Akan tetapi dalam situasi darurat atau ketika bertugas di hutan — contohnya tentera yang memakai kasut dengan ikatan tali yang banyak — menanggalkannya sepanjang waktu tugasan mungkin amat menyukarkan, apatah lagi jika sedang berada di kawasan musuh atau lokasi berbahaya.
Dalam keadaan inilah Islam mengharuskan kasut itu disapu sahaja sebagai ganti kepada basuhan kedua-dua kaki.
Dari sudut bahasa, khuf membawa erti perbuatan melalukan tangan di atas sesuatu (al-mass).
Dari sudut istilah pula, ia bermaksud meletakkan tangan yang telah dibasahi air ke atas khuf tertentu, pada bahagian tertentu dan dalam tempoh tertentu — iaitu 3 hari 3 malam bagi orang yang bermusafir, atau 1 hari 1 malam bagi yang bermukim.
Syarat Berwuduk Dengan Memakai Kasut (Khuf)
- Kedua-dua kasut itu dipakai selepas bersuci dengan sempurna.
- Kedua-dua kasut itu hendaklah dalam keadaan suci lagi bersih.
- Kedua-dua kasut itu bersifat kukuh dan mampu digunakan untuk pergerakan yang berterusan.
- Kedua-dua kasut itu mesti menutup dengan rapat dan kemas bahagian kaki yang wajib dibasuh ketika berwuduk (tiada sebarang lubang)
- Kedua-dua kasut itu dapat menghalang air daripada meresap masuk sehingga mengenai kulit kaki yang wajib dibasuh.
Waktu Yang Dibenarkan Berwuduk Dengan Memakai Kasut

Bagi orang yang bermukim — iaitu yang tidak bermusafir dan menetap di tempatnya — sapuan ke atas kedua-dua kasut diharuskan selama sehari semalam, manakala bagi orang yang bermusafir tempohnya ialah 3 hari 3 malam.
Keharusan ini terbatal apabila berlaku salah satu daripada perkara berikut:
- Kasut ditanggalkan
- Tamat tempoh sehari semalam bagi yang bermukim, atau 3 hari 3 malam bagi yang bermusafir.
- Berjunub atau berhadas yang mewajibkan mandi wajib.
Apabila wuduk telah sempurna, solat boleh ditunaikan seperti biasa.
Satu-satunya perbezaan ialah kasut (khuf) itu kekal dipakai sepanjang solat.
Rujukan & Penutup
Amalan khuf ini lazimnya berlaku dalam solat peperangan (khauf).
Solat Khauf ialah solat yang didirikan ketika sedang berperang dengan musuh, atau dalam keadaan ketakutan akibat peperangan mahupun bencana alam dan malapetaka.
Ia tidak sama dengan solat-solat lain kerana disertakan dengan beberapa rukhsah.
Panduan ini saya rujuk daripada buku praktik solat waktu kritikal tulisan Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.
Mudah-mudahan panduan ini bermanfaat