
Mukadimah
Bagaimanakah hendak menunaikan solat ketika berada dalam kenderaan darat seperti kereta api?
Menerusi panduan ini, anda akan ditunjukkan cara bersolat dalam kenderaan darat dengan lengkap dan ringkas, dalam bahasa yang senang difahami oleh sesiapa sahaja.
InsyaAllah setiap langkah akan diterangkan satu demi satu sehingga tamat.
Pengenalan Mengenai Solat Di Atas Kenderaan Darat
Kaedah ini sesuai bagi penumpang kenderaan seperti bas dan kereta api.
Namun begitu, yang paling elok ialah menunaikan solat di atas tanah ataupun di ruang solat yang telah disediakan, contohnya di stesen atau di perhentian RnR.
Jika ia tidak dapat dibuat kerana masa yang terlalu singkat serta bimbang tertinggal kenderaan berkenaan, maka solat boleh ditunaikan ketika kenderaan sedang bergerak.
Kaedah Berwuduk Di Dalam Kenderaan Darat
Semasa berada di dalam kenderaan, air mutlak biasanya amat terhad malah mungkin langsung tiada. Oleh itu, dibolehkan berwuduk menggunakan bekalan air yang sedikit ataupun bertayamum.
Antara perkara yang lazim kelihatan dalam kereta api ialah penumpang berwuduk menggunakan air singki di tandas kereta api.
Cara ini tidak disarankan kerana keadaan tandas kereta api yang terlalu sempit lagi kotor.
Besar kemungkinan anggota badan serta pakaian penumpang akan terkena najis yang tidak nampak dengan mata ketika dia mengambil wuduk di situ.
Dalam keadaan sebegini, seseorang itu boleh berwuduk dengan air mineral, bertayamum, ataupun mengerjakan solat menghormati waktu (tanpa wuduk).
Penentuan Arah Kiblat Di Dalam Kenderaan
Oleh sebab pergerakan kenderaan menjadikan arah kiblat susah ditetapkan, penumpang perlulah berusaha menentukan arah kiblat dan yakin terhadap arah yang dipilihnya itu.
Sekurang-kurangnya, dia mestilah menghadap ke arah kiblat semasa takbiratul ihram.
Andai usaha sudah dibuat namun arah kiblat masih tidak ditemui, sama ada ketika berada dalam kenderaan seperti kapal terbang mahupun kereta api, maka dalam situasi sebegini arah kiblat yang tepat hendaklah dianggarkan.
Perkara ini bersandarkan maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam ash-Syaukani dalam kitab Nail al-Authar.
Daripada Jabir bin Abdullah RA yang bermaksud:
Kami pernah solat pada satu malam yang mendung dan tidak mengetahui arah kiblat. Apabila kami solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah kiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah lalu Baginda bersabda, ‘Kamu telah melakukan yang terbaik’. Seterusnya Jabir berkata, ‘Dan Baginda tidak menyuruh kami mengulanginya’.” — Riwayat Imam al-Baihaqi
Bagaimana Dengan Pergerakan Kenderaan?
Solat dalam kenderaan mesti ditunaikan dalam keadaan yang selamat, iaitu dengan tali pinggang keledar dipakai.
Adalah lebih baik penumpang bersolat sambil duduk, memandangkan kenderaan yang bergerak boleh menjejaskan keseimbangan badan dan dibimbangi mendatangkan mudarat sekiranya kenderaan itu berhenti dengan mengejut.
Kaedah Mengerjakan Solat Dalam Kenderaan Darat
Berikut ialah susunan cara menunaikan solat di atas kenderaan yang sedang bergerak
- Berdiri dengan sempurna sekiranya mampu dan terdapat ruang solat yang sesuai.
- Sekiranya tidak berdaya kerana keuzuran ataupun ketiadaan ruang solat, tunaikan sambil duduk, sama ada seperti duduk tahiyat awal ataupun duduk tahiyat akhir.
- Sekiranya itu pun tidak termampu, duduklah dengan apa jua gaya duduk sekalipun, contohnya duduk di atas kusyen kerusi penumpang.
- Semasa berniat dan takbiratul ihram, wajah hendaklah menghadap ke arah kiblat.
- Kemudian, sambung solat itu dalam keadaan berdiri atau duduk yang boleh dibuat di dalam kenderaan berkenaan.
- Sekiranya tidak dapat, misalnya ketika diwajibkan memakai tali pinggang keselamatan, maka berniat dan bertakbirlah mengikut arah mana sahaja seseorang itu sedang duduk.
- Dalam posisi duduk, rukuk dibuat dengan menurunkan anggota badan dari kepala hingga ke pinggang, iaitu separuh daripada kedudukan sujud, manakala kedua-dua tapak tangan diletakkan di atas lutut.
- Sujud dikerjakan seperti biasa jika boleh. Sekiranya sujud biasa tidak dapat dilakukan kerana tidak boleh beralih dari tempat duduk atau tiada ruang untuk bersujud, maka turunkan anggota dari kepala hingga ke pinggang ke arah lantai setakat paras maksimum yang termampu, sementara kedua-dua tapak tangan diletakkan di mana-mana tempat yang boleh.
- Sekiranya kepala langsung tidak dapat digerakkan, maka bagi rukuk, pejamkan mata separuh sahaja, dan bagi sujud, pejamkan mata sepenuhnya.
- Duduk tahiyat, sama ada awal mahupun akhir, hendaklah dibuat dengan apa cara duduk yang boleh. Ertinya, solat itu tetap wajib dikerjakan.
Penutup
Tunaikanlah solat di mana jua anda berada. Biarpun di atas belakang unta sekalipun.
Solat merupakan penghubung terus antara seorang manusia dengan Allah SWT.
Tiada ibadah lain yang mengatasi solat dalam mendekatkan seorang hamba dengan Tuhannya.
Yang pertama dihisab dari amalan hamba pada hari kiamat adalah solatnya – Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah
Rujukan bagi panduan ini ialah buku praktik solat waktu kritikal, karangan Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.
Semoga ia membawa manfaat buat semua. InsyaAllah.