All prayer guides

Selawat Ibrahimiyah

Selawat Ibrahimiyah

Mukadimah

Bagaimanakah bacaan Selawat Ibrahimiyah?

Berikut ialah panduan lengkap tentang Selawat Ibrahimiyah, berserta sejarah dan kelebihan-kelebihannya.

Apa yang menarik, selawat ini turut disertakan ejaan Rumi bagi memudahkan mereka yang sukar membaca skrip jawi.

Moga-moga ia bermanfaat.

Teks Selawat Ibrahimiyah

Berikut ialah teks selawat Ibrahimiyah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيۡتَ عَلَى إِبۡرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبۡرَاهِيمَ، وَبَارِكۡ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكۡتَ عَلَى إِبۡرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبۡرَاهِيمَ فِي الۡعَالَمِينَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

*Allahumma salli ‘ala Muhammadin, Wa ‘ala ali Muhammadin, Kama sallaita ‘ala Ibrahima, wa ‘ala ali Ibrahima,*wa barik ‘ala Muhammadin, wa ‘ala ali Muhammadin, Kama barakta ‘ ala Ibrahima, Wa ‘ ala ali Ibrahima, Fil a’lamina innaka hamidun Majid.

Maksud Selawat Ibrahimiyah:

Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad serta keluarga Sayidina Muhammad.

Sepertimana Engkau telah merahmati Sayidina Nabi Ibrahim serta keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad serta keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.

Sepertimana Engkau telah memberkati Sayidina Nabi Ibrahim serta keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di seluruh alam semesta ini, hanya Engkaulah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.

Sejarah Selawat Ibrahimiyah

Selepas Allah SWT menciptakan Nabi Adam AS, kalimah pertama yang terpandang oleh Nabi Adam AS ialah لا إله إلا الله محمد رسول الله (lā ʾilāha ʾillā llāhu muḥammadun rasūlu llāhi), lalu Nabi Adam pun bertanya kepada Allah SWT: siapakah Muhammad itu?

Allah SWT lalu menjawab bahawa beliau (Muhammad SAW) ialah penutup sekalian Nabi dan Rasul, serta yang termulia dalam kalangan mereka semua (Rasul).

Umat Nabi Muhammad turut dikurniakan pelbagai kemuliaan yang tidak diberikan kepada umat-umat yang lain.

Diriwayatkan bahawa Nabi Adam AS pernah berkata:

Sesungguhnya Allah memberi 4 macam kemuliaan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang tidak diberikan kepadaku, iaitu:1. Penerimaan taubatku di Mekah. Sedangkan umat Muhammad boleh bertaubat di mana-mana tempat.2. Aku berpakaian ketika aku melakukan dosa, kemudian Allah SWT menjadikanku telanjang bulat. Sedangkan umat Muhammad tetap diberi pakaian, meskipun dia derhaka kepada Allah dalam keadaan telanjang.3. Ketika aku berbuat dosa, Allah memisahkan aku dan isteriku (Adam di kaki gunung Himalaya, Hawa di Jeddah) sedangkan umat Muhammad yang berbuat dosa tidak dipisahkan dari isterinya.4. Aku berbuat kesalahan di Syurga lalu Allah mengusirku dari syurga ke dunia, sedangkan umat Muhammad berbuat dosa di luar syurga, Allah tetap memasukkan mereka ke syurga apabila mereka bertaubat.

Setelah menyedari betapa tingginya kedudukan Nabi Muhammad SAW di sisi Allah SWT, Nabi Adam AS pun bermohon kepada Allah SWT agar dikurniakan satu anugerah — memadailah sekadar dijadikan umat Nabi Muhammad.

Namun begitu, permintaan Nabi Adam AS itu tidak diperkenankan oleh Allah SWT.

Begitulah juga halnya dengan nabi-nabi yang lain, antaranya Nabi Musa AS.

Sehinggakan Allah sendiri menegur sikap nabi Allah Musa AS supaya redha dengan segala yang telah Allah SWT kurniakan kepadanya.

Daripada sekian ramai Nabi yang memohon untuk dijadikan umat Nabi Muhammad, hanya seorang sahaja yang Allah SWT perkenankan permohonannya — itu pun bukan keseluruhannya, hanya sebahagian daripada permohonan itu sahaja yang Allah SWT terima.

Baginda ialah Nabi Ibrahim AS.

Pada asasnya, Allah SWT tidak memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim AS untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW; sebaliknya Allah SWT berjanji kepada Nabi Ibrahim AS bahawa Nabi Muhammad akan lahir daripada salasilah atau keturunan Nabi Ibrahim sendiri, dan nama Nabi Ibrahim akan sentiasa meniti di bibir umat Nabi Muhammad SAW.

Maksudnya, nama Nabi Ibrahim AS akan sentiasa disebut-sebut oleh Rasulullah SAW.

Atas sebab itulah, kita SUNAT menyebut nama Nabi Ibrahim AS dalam solat lima waktu, iaitu ketika bacaan tahiyat akhir.

Sebab Disunatkan Selawat Ke Atas Nabi Ibrahim

Antara sebab lain selawat dikhususkan kepada Nabi Ibrahim AS dan ahli keluarganya dalam solat ialah:

  1. Kerana baginda pernah berpesan kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Mikraj: Sampaikan salamku kepada umatmu, sedangkan para Nabi yang lain tidak melakukan sedemikian. Justeru, kita diperintahkan berselawat ke atas baginda dan ahli keluarganya sebagai membalas kebaikan dan kemuliaan tersebut.

  2. Diriwayatkan bahawa sebaik Nabi Ibrahim AS selesai membina Baitullah, baginda duduk bersama-sama ahli keluarganya, lalu menangis dan berdoa, maksudnya:

Wahai Tuhan kami, sesiapa daripada kalangan orang tua umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka ahli keluarganya menyebut: Amin

Nabi Ishaq AS pula berkata, maksudnya:

Wahai Tuhan kami, sesiapa daripada kalangan orang yang pertengahan umur umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka mereka menyebut: Amin.

Seterusnya Nabi Ismail AS berkata, maksudnya:

Wahai tuhan kami, sesiapa daripada kalangan orang muda umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka mereka menyebut: Amin.

Sarah pula berkata, maksudnya:

Wahai Tuhan kami, sesiapa daripada kalangan wanita umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakan kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka mereka menyebut: Amin.

Kemudian Hajar pula berkata, maksudnya:

Wahai Tuhan kami, sesiapa daripada kalangan pendokong umat Muhammad SAW yang menunaikan haji, dikalangan perempuan dan lelaki, maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka mereka menyebut: Amin.

Disebabkan perbuatan mereka itulah, kita diperintahkan supaya berselawat ke atas mereka sebagai balasan buat mereka.

Petikan Kitab Hasyiah al-Syeikh Muhammad al-Syanawaniy Ala Mukhtasar Ibn Abi Jamrah, Dar Fikr, 2000, hlmn 329

Kelebihan Selawat Ibrahimiyah

Apakah kelebihan yang ada pada selawat Ibrahimiyah?

Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan bahawa sebilangan sahabat Nabi SAW pernah bertanyakan Rasulullah SAW mengenai cara atau kaifiyat berselawat ke atas Baginda SAW, lalu Baginda mengajarkannya kepada mereka.

Antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 daripada Ka’ab bin ‘Ujrah RA.

Sahabat yang mulia ini meriwayatkan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang cara untuk berselawat ke atas beliau.

Baginda pun menjawab dengan bersabda: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيۡتَ عَلَى آلِ إِبۡرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Allahumma Solli ‘Ala Muhammadin Wa ‘Ala Aali Muhammad, Kama Sollaita ‘Ala Aali Ibraahim Innaka Hamidun Majid

Maksudnya:

Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”

اللَّهُمَّ بَارِكۡ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكۡتَ عَلَى آلِ إِبۡرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Allahumma Baarik ‘Ala Muhammadin Wa ‘Ala Aali Muhammad, Kama Baarakta ‘Ala Aali Ibraahim Innaka Hamiidun Majid

Maksudnya:

Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”

Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada para sahabat RA, sebagai jawapan kepada soalan mereka mengenai cara berselawat ke atas Baginda.

Justeru, wajarlah dikatakan bahawa lafaz ini merupakan lafaz yang paling afdhal dalam berselawat.

Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menyatakan:

Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].

References

  • Sahih al-Bukhari, no. 3370
  • Sahih Muslim, no. 406

Frequently asked questions

How do I perform Selawat Ibrahimiyah?

The Selawat Ibrahimiyah guide is broken into 6 clear steps, each with Arabic text and Rumi transliteration so it is easy to follow.

How many steps does Selawat Ibrahimiyah have?

This guide has 6 steps.

Which school of jurisprudence does this guide follow?

This content follows the shafii school.