
Mukadimah
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan air mutlak?
Dan apa pula jenis-jenisnya?
Panduan ini akan menghuraikan pelbagai kategori air dalam Islam, merangkumi air mustakmal, air musyammas serta air mutanajis, secara menyeluruh dan ringkas supaya senang difahami.
Pengenalan
Air merupakan kurniaan Allah yang amat berharga buat umat manusia.
Dalam syariat Islam yang begitu menitikberatkan kebersihan, air memegang peranan yang sangat besar baik dalam urusan harian mahupun ibadah.
Air ialah medium utama yang digunakan untuk membersih dan menyucikan dalam Islam.
Bukan sahaja ia membersihkan kotoran zahir seperti najis dan bangkai, malah ia juga berperanan menyucikan diri daripada hadas kecil mahupun hadas besar.
Kebanyakan ibadah khusus dalam Islam menjadikan bersuci sebagai salah satu syarat sah ibadah berkenaan.
Justeru, melalui air inilah tercapainya kesempurnaan bersuci, sama ada menerusi wuduk ataupun mandi wajib.
Pembahagian Air
Para ulama fiqh mengkategorikan air kepada empat jenis berdasarkan keupayaannya untuk menghilangkan hadas.
1. Air Mutlak
Air yang bersih sifatnya, boleh dipakai untuk kegunaan harian, mampu menyucikan benda lain dan sah digunakan bagi mengangkat hadas.
2. Air Mustakmal
Air yang sudah pernah digunakan. Sifatnya masih bersih untuk kegunaan biasa, namun ia tidak lagi boleh dipakai untuk mengangkat hadas.
3. Air Mutanajis
Air yang sudah bercampur dengan najis. Air ini tidak lagi bersih, memudaratkan jika digunakan untuk kegunaan biasa, dan tidak sah dipakai untuk mengangkat hadas atau bersuci.
4. Air Musyammas
Air dalam bekas besi yang terdedah kepada pancaran matahari. Air ini sebenarnya bersih dan boleh dipakai untuk kegunaan harian serta mengangkat hadas, cuma makruh untuk menggunakannya.
Air Mutlak
Air mutlak membawa maksud air yang suci lagi menyucikan.
Inilah air yang boleh diminum dan pada masa yang sama boleh digunakan untuk bersuci, sama ada untuk beristinjak, berwuduk, mandi hadas, membasuh najis dan seumpamanya.
Air yang dimaksudkan ialah air mutlak, iaitu air yang betul-betul tulen dan tidak bercampur dengan apa-apa benda lain, baik benda bersih seperti minyak wangi, kopi, susu atau lain-lain, mahupun benda yang bernajis.
Apabila air tulen yang banyaknya melebihi dua qullah(216 liter) dimasuki sesuatu benda lain yang tidak mengubah sifatnya, maka air tersebut tetap dikira sebagai air mutlak.
Namun, jika salah satu daripada bau, rasa atau warnanya berubah, air itu tidak lagi sah dipakai untuk bersuci.
Contohnya, apabila kopi dimasukkan ke dalam air mutlak, air tersebut tidak lagi boleh digunakan untuk bersuci dan hanya layak diminum sahaja.
Sekiranya air itu kurang daripada dua kolah lalu dimasukkan sesuatu ke dalamnya (sama ada sifatnya berubah ataupun tidak), maka air berkenaan juga tidak lagi boleh dipakai untuk bersuci.
Sebagai contoh, apabila air itu sudah bertukar menjadi air teh, ia tidak lagi sah digunakan untuk bersuci.
Jenis air mutlak adalah:
- Air sungai
- Air laut
- Air hujan
- Air perigi
- Air embun
- Air mata air
- Air beku atau salji
Syarat-Syarat Air Mutlak
Air mutlak kekal suci selagi ia memenuhi syarat-syarat yang berikut:
- Masih kekal dalam keadaan asalnya. Maksudnya, tiada perubahan pada mana-mana satu daripada tiga sifatnya; bau, rasa dan warna.
- Berubah disebabkan sesuatu yang tidak menghilangkan kesuciannyaseperti tanah yang suci, garam, atau rumpai air.
- Belum pernah digunakan untuk mengangkat hadas kecil mahupun besar, jika air itu kurang daripada dua qullah
Air Mutlak Yang Berubah Tetapi Suci
Air mutlak yang mengalami sedikit perubahan akibat sesuatu yang suci (bukan najis) tidak menjejaskan kesuciannya, sekalipun perubahan itu sudah berlaku sejak lama ataupun terlalu jelas kelihatan.
Begitu juga air yang sukatannya dua kolah dan tidak berubah rasa, bau serta warnanya, ia tetap dikira suci lagi menyucikan.
Benda Yang Sukar Dihindari Daripada Bercampur Dengan Air
- Tanah.
- Kiambang atau tumbuh-tumbuhan air.
- Daun pokok yang tumbuh berhampiran sumber air.
- Sulfur dalam tanah.
- Kapur tohor (kalsium oksida).
- Air garam.
- Asfalt (asphalt).
Air Mutlak Yang Sifatnya Berbeza Dengan Air Mutlak Biasa
Iaitu air yang berada di tempat semula jadinya dan memiliki sifat-sifat semula jadi, walaupun sifat-sifat itu kelihatan berlainan daripada air mutlak biasa.
Berbeza Rasa
- Air laut memang masin secara semula jadi, bukan kerana ada garam yang ditambah.
- Air kolam di kawasan yang mempunyai garam bukit, lalu menjadikan airnya berasa masin.
Berbeza Warna
- Air kolam atau air sungai yang kelihatan merah, hitam atau coklat akibat warna tanah di tempat sumber air itu berada. Contohnya air di kawasan tanah gambut yang berwarna kuning atau perang.
- Tasik atau kolam yang kehijauan kerana banyaknya daun, kiambang serta rumpai air di dalamnya.
Berbeza Bau
- Air yang bercampur dengan daun dan ranting daripada pokok yang tumbuh di sekeliling sumber air. Airnya berbau busuk akibat daun dan ranting yang mereput di dalamnya.
- Air kolam di kawasan yang tanahnya mengandungi sulfur atau belerang sehingga menyebabkan airnya berbau busuk.
Bahan Yang Mengubah Air, Tetapi Tidak Bercampur Dengannya
- Jenis-jenis minyak.
- Tar.
- Lilin.
- Kapur barus – sebatian berhablur yang keras, bergetah serta mengeluarkan bau harum yang menusuk, kebanyakannya diperoleh daripada batang atau kulit kayu pokok kapur barus, hadir dalam bentuk hablur putih, larut sedikit di dalam air serta larut di dalam alkohol, kloroform, eter dan karbon disulfida.
- Ambar — sejenis damar atau getah yang diperoleh daripada batang pokok.
- Ranting kering atau basah.
Bahan-Bahan Yang Mempunyai Ciri Yang Sama Seperti Air Mutlak — Suci Dan Menyucikan
- Tanah, baik dimasukkan dengan sengaja ataupun tidak, kerana ia turut menyucikan sebagaimana air. Namun, jika air yang bercampur tanah itu tidak dapat dialirkan di atas anggota badan, maka ia tidak harus digunakan.
- Garam yang terkandung dalam air laut.
- Bahan-bahan galian, kerana ia sudah sebati dengan air dan mustahil untuk dipisahkan.
Hukum Menggunakan Air Yang Bercampur Dengan Bahan Yang Suci
Para ulama sepakat tanpa khilaf mengharuskan wuduk dengan air yang bercampur sesuatu yang suci selagi ia tidak mengubah air berkenaan.
Sebagai contoh, jika ke dalam air itu jatuh kacang kuda, bunga mawar, safron dan seumpamanya, namun hanya sedikit sehingga tidak mengubah bau, rasa dan warnanya, maka harus berwuduk dengannya.
Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah mandi bersama isterinya menggunakan air daripada sebuah kolah yang ada padanya tepung yang telah diuli.
Dalil Kesucian Air Yang Bercampur Dengan Bahan Yang Suci
Diriwayatkan daripada Ummu Hani r.ha. katanya:
Rasulullah SAW dan Maimunah pernah mandi daripada satu bekas air yang mem punyai kesan tepung yang diuli.” (Riwayat Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, kitab Taharah dan Sunat-sunatnya: Bab Lelaki dan Perempuan Mandi di dalam Bekas Air yang Sama)
Diriwayatkan daripada Abu Fakhitah r.a. hamba Ummu Hani r.ha. katanya, Ummu Hani pernah berkata:
Saya menemui Rasulullah SAW pada hari Pembukaan Makkah ketika waktu duha. Baginda meminta air, lalu saya menuangkan air ke dalam sebuah bekas dan saya melihat kesan tepung yang diuli di dalamnya. Baginda meminta kain dan menutup pandangan saya dengannya. Kemudian Baginda mandi dan bersolat sunat Duha lapan rakaat.”(Riwayat al-Baihaqi dalam kitab al-Sunan al Kubra)
Air Mutlak Yang Makruh Digunakan
Iaitu air yang sedikit yang telah diminum oleh haiwan seperti kucing peliharaan, ayam, burung, tikus dan sebagainya.
Air bekas minuman haiwan sebegini menjadi najis kerana haiwan-haiwan ini lazimnya memakan benda-benda najis seperti tahi dan bangkai, lalu kesan najis itu turut masuk ke dalam air.
Walaupun begitu, atas sebab istihsan (اِسْتِحْسَان), air ini masih boleh dipakai untuk berwuduk ataupun mandi wajib.
Pengecualian ini bertujuan meringankan urusan manusia, memandangkan haiwan-haiwan ini lazimnya hidup berdamping dengan manusia.
Dalil Harus Menggunakan Air Dijilat Haiwan Untuk Bersuci
Rasulullah SAW telah menetapkan bahawa air bekas minuman kucing itu bersih. Sabda Baginda:
Sungguhnya kucing tidak najis kerana haiwan ini dari haiwan yang berada di sekeliling kamu.’(Riwayat Abu Daud daripada Kabsyah binti Ka’ab bin Malik dalam Sunan Abi Daud, kitab Taharah: Bab bekas minuman kucing)
Diriwayatkan bahawa Abu Qatadah r.a. menyatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda berkenaan air yang diminum kucing lalu dipakai untuk berwuduk. Sabdanya:
Ia tidak najis, tetapi ia adalah haiwan haiwan yang sering berada di sekeliling kamu.”(Riwayat al-Darimi dalam Sunan al-Darimi, kitab Bersuci: Bab apabila kucing menjilat bekas.)
Air Mustakmal
Air mustakmal bermaksud air yang suci tetapi tidak menyucikan.
Maksudnya, zat dan sifat air ini memang bersih dan boleh dipakai untuk kegunaan biasa, namun ia tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas, menyucikan najis ataupun beristinjak.
Selain itu, air yang telah dipakai untuk mengangkat hadas, sama ada hadas kecil (berwuduk) mahupun hadas besar (mandi wajib), turut dikira sebagai air mustakmal.
Ini bererti, jika air yang telah digunakan untuk membasuh anggota wuduk yang wajib itu ditadah kembali, sedangkan jumlahnya tidak mencapai dua qullah (216 liter), maka air tersebut dikira mustakmal, iaitu tidak boleh dipakai untuk bersuci.
Air sebegini hanya boleh dipakai untuk minum, makan, atau membasuh benda-benda yang bukan najis sahaja.
Begitu juga, sekiranya air basuhan wajib itu menitis masuk ke dalam air yang tidak mencapai dua qullah, maka air itu dikira mustakmal.
Air mustakmal terbahagi kepada 3 bahagian:
Bahagian Pertama
Air Mutlak Yang Bercampur Dengan Bahan Lain Sehingga Mengubah Sifat
Tiga Sifat Air:
- **BAU.**Contohnya air yang bercampur air mawar sehingga baunya berubah, walaupun warna dan rasanya kekal.
- **RASA.**Contohnya air yang bercampur sabun sehingga bau dan rasanya bertukar menjadi licin.
- WARNA. Contohnya air yang bercampur pewarna yang tiada perisa dan bau tetapi mengubah warnanya, seperti air kopi, teh dan susu.
Dalil Tidak Boleh Bersuci Dengan Air Yang Bercampur
Diriwayatkan daripada Atha’ bahawa:
Sesungguhnya Baginda tidak suka berwuduk dengan susu dan perahan buah-buahan, dan Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya aku lebih sukai tayamum daripada berwuduk dengan keduanya”(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Bersuci: Bab berwuduk dengan perahan buah buahan)
Abu Khaladah r.a. berkata: “Saya bertanya kepada Abu al-‘Aliah tentang seorang lelaki berjunub tetapi dia tidak mempunyai air, dan hanya mempunyai perahan buah-buahan, bolehkah dia mandi dengan perahan buah-buahan?” Jawabnya, “Tidak.”(Riwayat Abu Daud)
Perubahan yang berlaku itu pula begitu ketara sehingga mengubah nama air berkenaan.
Bahan yang menyebabkan perubahan itu pula bukanlah daripada jenis tanah, garam bukit, ataupun air garam.
Bahagian Kedua
Air Mustakmal Yang Sedikit
Iaitu air yang telah dipakai untuk mengangkat hadas kecil atau hadas besar. Sukatannya pula tidak mencukupi dua qullah (lebih kurang 270 liter).
Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya:
Rasulullah SAW datang menziarahi saya untuk bertanyakan keadaan saya. Ketika itu saya sakit dan tidak sedarkan diri. Lalu Baginda beruruduk dan mencurahkan air wuduknya ke atas saya.” (Riwayat al-Bukhari)
Menerusi hadis ini, jelaslah bahawa air yang sudah dipakai untuk mengangkat hadas itu tidaklah menjadi najis.
Bahagian Ketiga
Air Yang Digunakan Untuk Menghilangkan Najis
Air mutlak yang dipakai untuk menghilangkan najis dihukumkan sebagai mustakmal apabila menepati 3 syarat:
- Air itu mencukupi untuk mengalir di atas tempat yang bernajis. Jika airnya terlalu sedikit sehingga tidak dapat mengalir (bertakung), ia akan bertukar menjadi air bernajis setelah bercampur dengan najis tadi.
- Air yang dipakai untuk menghilangkan najis itu tidak berubah bau, rasa dan warnanya setelah terpisah daripada tempat yang bernajis tadi.
- Berat air itu tidak bertambah selepas digunakan.
Contoh Air Mustakmal
- Air yang telah dipakai untuk mandi junub.
- Air yang telah dipakai untuk mandi mayat.
- Air yang telah dipakai untuk mandi orang gila yang baru sembuh.
- Air yang telah dipakai untuk mandi orang kafir yang memeluk Islam.
- Air yang telah dipakai bagi basuhan pertama anggota wuduk. Air itu hanya menjadi mustakmal apabila ia berpisah atau menitis daripada anggota tersebut. Air pada basuhan kedua dan ketiga pula masih kekal sebagai air mutlak dan boleh digunakan untuk membasuh anggota lain. Namun, jika air basuhan anggota wuduk yang sedikit itu menitis masuk ke dalam air mutlak yang kurang dua qullah, ia tidak menjadi masalah.
Air mutlak yang sedikit tidak akan bertukar menjadi mustakmal sekiranya seseorang mencelupkan tangannya dengan niat untuk mencedok air itu atau sekadar membasuh tangan sebelum makan.
Begitu juga orang yang sedang berwuduk lalu mencedok air dengan tangannya ke dalam gayung atau baldi dengan niat untuk mengambil air bagi membasuh anggota wuduk di luar baldi, maka air di dalam baldi itu tetap kekal suci.
Air mustakmal yang sedikit pula, jika dikumpulkan sehingga mencukupi dua qullah (270 liter), akan kembali menjadi air mutlak yang boleh dipakai untuk bersuci.
Air Mutanajis
Air Mutanajis bermaksud air yang mengandungi najis.
Air yang kurang daripada dua qullah lalu dimasuki najis, sama ada air itu berubah ataupun tidak, dikenali sebagai "mutanajis".
Begitu juga, sekiranya air yang melebihi dua qullah dimasuki najis sehingga rasa, bau dan warnanya berubah, maka air itu tidak lagi boleh dipakai untuk bersuci ataupun diminum.
Dalil Air Mutanajis Tidak Boleh Digunakan Untuk Bersuci
Imam Abu Daud, Imam al-Tirmizi, Imam al-Nasa’i, Imam Ibn Majah dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar r.a. katanya:
Saya mendengar Rasulullah SAW ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir dan didatangi binatang buas dan haiwan-haiwan melata.
Baginda menjawab:
Jika air tersebut sebanyak dua qullah, maka ia tidak bernajis.”
Difahami daripada hadis ini bahawa sekiranya air kurang daripada dua qullah, ia menjadi najis walaupun sifat-sifatnya tidak berubah.
Hal ini diperkukuh lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
Apabila seseorang daripada kamu bangun tidur, jangan sekali-kali dia mencelup tangannya ke dalam bekas air sehingga dia membasuhnya tiga kali. Sesungguhnya dia tidak tahu di mana tangannya diletakkan.”(Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW melarang orang yang baru sahaja bangun tidur daripada mencelupkan tangannya ke dalam bekas air yang sedikit, kerana dikhuatiri najis yang tidak kelihatan pada tangan boleh mencemarkan air berkenaan.
Ini menunjukkan bahawa air yang sedikit boleh menjadi bernajis apabila dimasuki najis yang sedikit, walaupun najis itu tidak kelihatan dan tidak mengubah sifat-sifat air.
Air Musyammas
Air musyammas bermaksud air yang makruh untuk digunakan.
Air musyammas pada asalnya ialah air mutlak, tetapi ia terjemur di bawah terik matahari di dalam bekas yang berkarat, lalu digunakan ketika airnya masih panas.
Walaupun begitu, di Malaysia (dan rantau Asia Tenggara) ia tidak menjadi makruh kerana darjah kepanasan suhunya tidaklah setinggi negara-negara di Timur Tengah, India dan Pakistan.
Hukum Penggunaan Air Musyammas
Air ini boleh dipakai untuk mengangkat hadas, cuma perbuatan tersebut hukumnya makruh (makruh tanzih).
Hikmah di sebalik hukum makruh ini ialah pancaran matahari ke atas air sebegini boleh menyebabkannya mengeluarkan bahan berminyak yang busuk daripada bekas logam ke permukaan air.
Sekiranya air ini terkena pada tubuh badan ketika masih panas, ia boleh memudaratkan dan menyebabkan penyakit sopak ataupun pelbagai penyakit kulit yang lain.
Hukum Air Yang Dipanaskan Api Atau Elektrik
Memandangkan air yang dipanaskan menggunakan api, elektrik atau ketuhar gelombang mikro tidak memudaratkan pengguna mahupun penggunaannya, maka hukumnya adalah harus.
Dalil Makruh Menggunakan Air Musyammas
Para ulama hadis menyatakan bahawa tiada sandaran yang kukuh untuk dijadikan hujah dalam persoalan ini.
Imam Syafi’i ada menyebut di dalam kitabnya, Al-Umm, bahawa makruh menggunakan air musyammas kerana ia boleh mendatangkan penyakit sopak menurut keterangan para ahli perubatan.
Namun begitu, pengarang kitab Kifayah Al-Akhyar dan Mughni Al-Muhtaj merumuskan bahawa air musyammas hanya menerima hukum makruh apabila beberapa syarat dipenuhi, iaitu:
- Air berada dalam bekas yang boleh berkarat, contohnya besi, manakala emas dan perak dikecualikan.
- Air itu terdedah kepada matahari di negara-negara yang mengalami cuaca panas melampau seperti Sudan. Sebaliknya, negara yang bercuaca sejuk atau sederhana tidak menerima hukum makruh ini.
- Air itu dipakai untuk bersuci pada badan dan seumpamanya, atau untuk makan dan minum.
- Air itu digunakan ketika masih dalam keadaan panas. Sekiranya ia dibiarkan sejuk dahulu sebelum digunakan, maka hilanglah hukum makruhnya.
Pendirian yang lebih selamat ketika berdepan situasi ini ialah menganggap penggunaan air ini boleh memudaratkan secara kemungkinan (maksudnya bukan secara yakin seperti racun yang membawa kematian).
Oleh sebab itu, para ulama berpegang dengan hadis:
Tinggalkan daripada perkara yang meragukan kamu (dan memilih) kepada perkara yang tidak meragukan kamu.(Riwayat Ahmad, Al-Tirmizi, Al-Nasa’i dan Al-Hakim)
Apabila keadaan benar-benar memaksa seseorang menggunakan air musyammas (umpamanya ketika ketiadaan air dan sebagainya), maka hukumnya bertukar menjadi wajib.
Penutup
Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.— Surah al-Hajj 22: 5
Menurut Tafsir Jalalain, Allah menurunkan air dari langit dan mengeluarkannya pula dari bumi bagi menghidupkan tumbuh-tumbuhan serta haiwan.
Hal ini kerana air ialah keperluan asas bagi setiap makhluk untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Air merupakan medium pembersihan yang paling berkesan, mudah dan paling luas penggunaannya.
Justeru, secanggih mana sekalipun teknologi pembersihan yang dicapai pada hari ini, air tetap menjadi bahan utama yang digunakan.
Maka, nyatalah bahawa air ialah rahmat Allah serta sumber kehidupan kepada seluruh makhluk-Nya.
Semoga panduan ini bermanfaat dalam membantu anda mengenali perbezaan antara jenis-jenis air dalam Islam.