
Mukadimah
Apakah yang dimaksudkan dengan syarat sah solat?
Berikut ialah catatan ringkas tentang syarat sah solat yang disusun supaya anda dapat memahaminya dengan pantas lagi tepat.
Di samping syarat wajib solat, kita turut dituntut untuk memelihara setiap syarat sah solat agar solat yang dikerjakan benar-benar dikira sah.
Maksud Syarat Sah Solat
Syarat sah solat ialah syarat yang menjadi penentu kepada sah atau tidaknya sesuatu solat itu.
Secara mudah, sah bermaksud sesuatu ibadah itu dilaksanakan dengan memenuhi rukun serta syarat yang menjadikannya satu ibadah yang diterima di sisi Allah.
Oleh itu, supaya sesuatu ibadah diterima oleh Allah, bukan sahaja setiap rukunnya perlu disempurnakan, malah semua syarat sahnya juga wajib dipenuhi.
9 Syarat Sah Solat

Syarat sah solat terdiri daripada 9 perkara seperti yang berikut:
1. ISLAM
Ertinya, solat tidak sah bagi orang yang bukan beragama Islam ataupun orang yang murtad.
Bagi orang kafir asli, mereka perlu melafazkan dua kalimah syahadah dahulu sebelum menunaikan solat. Sekiranya tidak, solat yang mereka kerjakan tidak dikira sah.
Bagi mereka yang asalnya beragama Islam, tetapi kemudian menjadi murtad, mereka hendaklah kembali semula kepada Islam dengan bertaubat serta melafazkan semula dua kalimah syahadah.
Sekiranya tidak, solat mereka turut menjadi sia-sia dan tidak sah. Mereka diwajibkan mengqada semula solat sepanjang tempoh murtad tersebut.
Justeru, kita perlu berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kancah murtad.
Haji Osman Jantan menyatakan enam perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad, iaitu:
- Melakukan sesuatu perbuatan seperti sujud kepada berhala-berhala, kepada bulan, matahari, kubur, pepohon dan sebagainya, atas kemahuan sendiri dan bukannya kerana dipaksa.
- Melafazkan ungkapan: “Allah tidak ada”, “Nabi Muhammad ialah nabi palsu dan pendusta.”
- Menghalalkan perkara yang telah diharamkan Allah, yang disebut secara tegas dan jelas di dalam Al-Quran, seperti membenarkan makan daging babi, minum khamar (minuman yang memabukkan) dan sebagainya, ataupun mengharamkan perkara yang telah dihalalkan Allah, yang dinyatakan dengan tegas dan jelas di dalam Al-Quran, seperti mengharamkan solat fardu, puasa, zakat dan sebagainya.
- Menafikan kewajipan yang sudah jelas menjadi tanggungjawab umat Islam, seperti seseorang yang mengingkari kewajipan solat fardu lima waktu, puasa pada Bulan Ramadan dan sebagainya.
- Menghina perkara yang dimuliakan dalam agama Islam seperti nama-nama atau sifat-sifat Allah Yang Maha Mulia, Al-Quran, hadis Nabi, hukum syarak dan seumpamanya.
- Bersumpah bukan dengan nama Allah dengan tujuan membenarkan atau memuliakan diri sendiri seperti “Demi Kaabah!”, “Demi kehormatan ibu bapaku” dan sebagainya.
Kita memohon perlindungan kepada Allah SWT supaya Dia sentiasa memelihara iman kita daripada rosak dan terbatal disebabkan perkara-perkara di atas.
2. BERAKAL
Ertinya, solat tidak sah bagi orang yang gila dan yang hilang akal.
Bagi orang gila serta orang yang pengsan kerana uzur, mereka tidak diwajibkan mengqada solat setelah sedar.
Walau bagaimanapun, mereka yang hilang akal secara sengaja seperti mengambil bahan-bahan yang memabukkan, wajib mengqada semula solat berkenaan.[1]
Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sayidina Ali bin Abi Talib r.a:
Diangkatkan Al-Qalam (taklif) darpada tiga golongan manusia raitu daripada orang yang tidur sehingga bangun, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga pulih. (Sahih: Riwayat Imam Abu Dawud: 4403; Imam At- Tirmizi: 1423)
3. SUCI DARIPADA HADAS BESAR DAN KECIL
Hadas kecil boleh berlaku apabila terjadinya perkara-perkara yang membatalkan wuduk seperti keluar sesuatu daripada dua jalan, menyentuh perempuan yang bukan mahram dan sebagainya.
Manakala hadas besar pula berlaku apabila terjadinya perkara-perkara yang mewajibkan mandi wajib seperti keluar mani, bersetubuh walaupun air mani tidak terpancut, suci daripada haid dan nifas dan sebagainya.[2]
Sekiranya hadas datang ketika sedang solat, maka solat itu terbatal dan taharah perlu diulangi untuk menyambung semula ibadah solat tersebut.
Inilah perintah Allah SWT dalam firman-Nya:
… Dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah (AI-Ma’idah 5: 6)
Sabda Rasullah ﷺ dalam hadis riwayat Abu Hurairah r.a.:
Allah tidak menerima solat seseorang kamu apabila dia berhadas sehingga dia berwuduk. (Sahih: Riwayat Imam Al-Bukhari: 6954)
Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis yang lain daripada Fatimah binti Abu Hubaisy r.a.:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku ini tidak suci. Bolehkah aku meninggalkan solat?” Rasulullah ﷺ bersabda: “Itu adalah darah yang keluar daripada saluran darah dan bukan haid. Jika kamu didatangi haid maka hendaklah kamu tinggalkan solat. Jika ia telah suci, maka bersihkan darah itu daripada diri anda dan solatlah.” (Sahih: Riwayat Imam Al-Bukhari: 306 dan Imam Muslim: 333)
Bab bersuci daripada hadas kecil mahupun hadas besar ini wajar diberikan perhatian.
Bersuci dalam keadaan normal memang tidak menjadi masalah, namun apabila berdepan dengan situasi kritikal seperti sakit, cedera dan seumpamanya, ramai yang tidak memahami cara melaksanakan istinjak, berwuduk dalam keadaan luar biasa, bertayamum dan sebagainya.
Akibatnya, ramai yang meninggalkan solat dalam keadaan sedemikian.
4. SUCI BADAN, PAKAIAN DAN TEMPAT SOLAT DARIPADA NAJIS
Badan, pakaian dan tempat solat hendaklah suci daripada najis.
-
Suci pada badan, iaitu seluruh badan bersih daripada najis yang tidak dimaafkan oleh syarak.
-
Suci pada pakaian, iaitu pakaian bersih daripada najis yang tidak dimaafkan oleh syarak.
Firman Allah SWT:Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu maka hendaklah Engkau bersihkan. (AI-Muddatstsir 74: 1-4)
Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis riwayat daripada Abdullah bin Abbas:
Bersucilah daripada kencing kerana sesungguhnya kebanyakan azab kubur adalah daripadanya (tidak benar-benar bersuci daripada kencing). (Hasan: Riwayat Imam Ath-Thabrani: 84)
Suci pada tempat solat. Yang dimaksudkan dengan tempat solat ialah tempat diletakkan anggota sujud, iaitu tempat letaknya dahi, dua tangan, dua lutut serta dua kaki sahaja.
Sekiranya terdapat najis di bawah dada semasa sujud, tetapi najis itu tidak terkena dada orang yang sedang sujud, maka solat tetap dikira sah kerana najis tersebut tidak terletak pada bahagian yang dianggap sebagai ‘tempat solat’.[3]
5. MENUTUP AURAT
Syarat sah seterusnya ialah menutup aurat.
Maksudnya, tanpa menutup aurat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh hukum syarak, solat itu dikira tidak sah.
Aurat ialah bahagian yang wajib ditutup serta haram dipandang.
Aurat wajib ditutup sama ada ketika solat ataupun di luar solat, walaupun sedang bersendirian, kecuali kerana terdapat hajat tertentu seperti istinjak, mandi, qada’ hajat dan sebagainya.
A. Sempadan Aurat Dalam Solat
Sempadan aurat bagi lelaki ketika solat ialah antara pusat dan lutut. Manakala bagi wanita pula ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.[4]
B. Sempadan Aurat Di Luar Solat
Menurut Imam Asy-Syirazi, sempadan aurat di luar solat merangkumi beberapa perkara mengikut keadaan, iaitu:
- Aurat lelaki dalam solat ialah antara pusat dan lutut. Ertinya, inilah aurat lelaki yang wajib ditutup pada setiap masa dan keadaan, sama ada di dalam solat mahupun di luar solat, sama ada dengan kehadiran wanita yang ajnabi (bukan mahram) ataupun tidak.
- Aurat wanita dalam solat ialah seluruh badan kecuali wajah dan dua tangan.
- Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi yang bukan mahram melalui nasab, susuan ataupun persemendaan (perkahwinan) ialah seluruh badan.
- Aurat wanita ketika bersama mahramnya dan sesama wanita ialah antara pusat dan lutut.[5]
6. MASUK WAKTU DENGAN YAKIN
Sebelum mendirikan solat, seseorang itu hendaklah memastikan bahawa waktu solat telah masuk dengan yakin, atau sekurang-kurangnya zan (sangkaan kuat bahawa waktu sudah masuk).
Firman Allah SWT:
Maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (An-Nisa’ 4: 103)
Cara menentukan waktu solat telah dijelaskan oleh para ulama dalam kitab-kitab tulisan mereka berdasarkan firman Allah serta hadis-hadis Rasulullah.
Sebagai contoh, Allah menerangkan masuknya waktu subuh dalam surah Al-Isra’:
Dirikanlah olehmu solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) solat Subuh (Al-Isra’ 17: 78)
Masuknya waktu solat boleh dikenali melalui tiga cara yang berikut:
- Ilmu yang yakin, iaitu berdasarkan dalil yang nyata dapat dilihat seperti menyaksikan matahari yang sedang terbenam di laut.
- Ijtihad, iaitu berdasarkan dalil yang yakin atau zan (cenderung kepada yakin) yang mempunyai petunjuk secara tidak langsung seperti bayang-bayang ataupun dengan mengira tempoh masa kebiasaan.
- Taqlid. Sekiranya tidak mampu mengetahui masuknya waktu secara yakin ataupun ijtihad seperti tidak mengetahui tentang waktu-waktu solat serta dalil-dalilnya, maka dia hendaklah bertaqlid sama ada kepada orang yang mengetahuinya melalui dalil-dalil yang nyata ataupun kepada seseorang mujtahid yang berpegang kepada dalil-dalil yang kukuh.[6]
Begitulah seterusnya keadaannya bagi waktu-waktu solat yang lain.
Pada masa kini, penentuan masuknya waktu solat sudah tidak lagi menjadi masalah, kerana pihak Unit Falak Syarie, Jabatan Mufti di setiap negeri telah menyediakan Takwim Waktu Solat untuk kegunaan umat Islam di negeri masing-masing mengikut tahun berkenaan.
Radio dan TV pula sentiasa menyiarkan azan apabila tiba waktunya mengikut masa setempat.
Begitu juga dengan aplikasi pada telefon pintar yang menyediakan jadual waktu solat mengikut masa setempat.
7. MENGHADAP KIBLAT DENGAN YAKIN
Para ulama sepakat bahawa menghadap kiblat merupakan salah satu syarat sah solat, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat semasa peperangan (solat Al-khauf) dan solat sunat ketika sedang bermusafir.
Firman Allah:
Dan dari mana sahaja kamu keluar (untuk mengerjakan solat), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya .. (AI-Baqarah 2: 150)
Menurut Imam An-Nawawi:
Dan (menghadap kiblat) itu adalah syarat bagi sahnya solat fardu kecuali ketika berada dalam situasi yang sangat takut atau peperangan dan sekalian jenis keadaan menakutkan. Dan menghadap kiblat juga dissaratkan bagi solat sunat melainkan pada situasi yang menakutkan, musafir, lemah seperti orang sakit yang tidak ada orang yang menolongnya menghadap kiblat, atau orang yang terikat di atas kayu, maka dia solat mengadap ke mana saja. (An-Nawawi, 2003: 1: 318)
Kita tidak boleh memandang remeh soal menghadap serta menentukan arah kiblat kerana ia merupakan salah satu syarat sah solat.
Tuntutan mempelajari cara menentukan arah kiblat adalah sama seperti mempelajari cara-cara berwuduk dan syarat-syarat yang lain.
Bagi mereka yang hendak bermusafir, mengetahui penentuan arah kiblat terlebih dahulu menjadi fardu ain, manakala bagi orang yang bermukim pula, hukumnya ialah fardu kifayah.[7]
8. MENGETAHUI CARA SOLAT
Mengetahui cara solat membawa kepada kefahaman tentang pengertian serta skopnya yang amat luas.
Dalam bentuk yang paling mudah, ia diterjemahkan kepada mengetahui, mampu membezakan serta dapat mengamalkan enam perkara yang berikut:
- Syarat wajib.
- Syarat sah.
- Rukun solat serta syarat bagi setiap rukun.
- Perkara sunat.
- Perkara makruh.
- Perkara yang membatalkan solat.
Tidak ada perbezaan antara orang alim dan orang awam dalam soal membezakan perkara sunat dengan perkara wajib menurut pandangan Imam Ar-Ramli.
Inilah juga pendapat yang dinukilkan oleh Imam Al-Ghazali dan disahkan oleh Imam An-Nawawi dalam kitab Majmu’, Imam Asnawi serta Imam Ibn Hajar dalam kitab At-Tuhfah.
Sekiranya diragui kedudukan sesuatu perbuatan solat sama ada wajib ataupun sunat, maka solat itu tidak sah, melainkan diiktikadkan bahawa semua perbuatan solat itu adalah fardu belaka. Pada ketika itu barulah solatnya sah.[8]
9. MENINGGALKAN PERKARA MEMBATALKAN SOLAT
Wajib meninggalkan perkara yang membatalkan solat bagi mengelakkan solat itu menjadi tidak sah menurut hukum syarak.
Sementara itu, Muhammad Az-Zuhaili menyatakan bahawa perkara yang membatalkan solat boleh dibahagikan kepada 3 jenis:
1. Meninggalkan syarat-syarat solat, iaitu:
- Meninggalkan bersuci daripada hadas.
- Meninggalkan bersuci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.
- Meninggalkan menghadap kiblat.
- Meninggalkan menutup aurat.
- Meninggalkan masuk waktu.
2. Meninggalkan rukun solat yang 13 perkara.
3. Melakukan perkara yang dilarang dalam solat, iaitu seperti:
-
Bercakap walaupun hanya sepatah perkataan, asalkan ia difahami.
-
Bergerak dengan pergerakan selain pergerakan solat yang melebihi dua pergerakan anggota besar seperti tangan, kaki, kepala dan sebagainya. (Anggota kecil tidak dikira seperti pergerakan jari-jari walaupun melebihi dua pergerakan.)
-
Makan dan minum walaupun sedikit.
-
Melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti mengorek hidung atau mana-mana rongga sehingga ke bahagian dalamnya.[9]
Kesimpulan
Sekiranya kesemua sembilan syarat sah di atas dipenuhi, maka solat dikira sah walaupun dalam keadaan uzur dan penunaian solat itu dilakukan dengan menggunakan rukhsah.
Demikianlah syarat wajib dan syarat sah solat yang menjadi asas dalam menentukan gugur atau tidaknya kewajipan solat serta sah atau tidaknya sesuatu solat.
Kesimpulan daripada perbahasan dan kupasan di atas dapat dinyatakan seperti berikut:
- Syarat wajib amat penting untuk difahami dan dihayati kerana realiti yang berlaku pada hari ini, ramai yang masih belum memahaminya.
Akibatnya, ramai yang meninggalkan solat sedangkan syarat wajib solat itu sendiri sudah pun mencukupi pada diri mereka.
- Syarat sah solat juga sangat perlu difahami kerana ia merupakan pintu masuk serta kunci kepada sah atau batalnya solat.
Kekurangan pada syarat sah solat ini akan menyebabkan kesan yang besar, iaitu tidak sahnya solat yang ditunaikan, seolah-olah kita langsung tidak mendirikan solat untuk dipersembahkan kepada Allah di akhirat kelak.
Nota
- Abu Qatibah Al-Fatani 2013: 89
- Abu Qatibah Al-Fatani, 2013: 90-91
- Abu Qatibah Al-Fatani, 2013: 93
- Mustafa Al-Khin dan rakan-rakan 2011: 1: 150
- Abu Ishak Asy-Syirazi 1992: 1: 219-220; Asy-Syatiri, 1972:71
- Mustafa Al-Khin dan rakan-rakan 2011: 1: 149
- Syeikh Daud Al-Fatani, t.th: 1:106
- Asy-Syatiri 1972: 69; Syeikh Daud Al-Fatani, t.th: 1:98
- Abu Qatibah Al-Fatani (2013: 104; Asy-Syatiri, 1972: 70; Al-Kurdi, 1991: 188-189
Sumber Rujukan
- 195 Perkara Asas Solat, Haji Mohd Shukri Haji Ali & Hajjah Faridah Abu Bakar
- Ensiklopedia Solat: A -Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa