
Mukadimah
Bagaimanakah hendak melaksanakan taubat nasuha?
Menerusi panduan ini, anda akan dibimbing untuk bertaubat nasuha dengan sempurna.
Perkara yang akan dihuraikan dalam panduan ini termasuklah:
- Pengertian taubat
- Hukum taubat
- Syarat-syarat taubat
- Bacaan istighfar, zikir dan doa taubat
- Tanda taubat diterima
… dan pelbagai perkara lain.
Turut dikongsikan ialah kaedah bertaubat bagi setiap jenis dosa utama yang lazim dilakukan.
Harap panduan ini membantu. Mari kita mula..
Pengenalan
Siapa yang bertaubat kepada Allah sebelum datangnya Al-Ghargharah, maka Allah akan menerima taubatnya. — Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak no 7661 dan di dalam Sahih al-Jaamik al-Saghir: sahih
Apakah pula yang dimaksudkan dengan al-Ghargharah?
Ghargharah bermaksud bunyi yang terbit dari kerongkong ketika roh sedang dicabut keluar daripada jasad.
Maknanya, kita perlu bertaubat sebelum tibanya kiamat kecil (kematian) mahupun kiamat besar.
Orang yang beriman akan mengadap Allah dengan hati yang takut sambil menaruh harapan kepada-Nya.
Panduan ini disusun berdasarkan sebuah risalah karangan Fadhilah al-Sheikh Muhammad Saleh al-Munajjid yang diterjemahkan oleh al-Fadhil Syeikh Daud al-Tetouani.
Justeru, rebutlah peluang yang Allah kurniakan ini agar kita tidak menanggung beban dosa apabila mengadap-Nya pada hari penghisaban kelak.
Selagi mana roh belum terpisah dari halkum, selagi itulah pintu taubat masih terbentang luas untuk kita.
InsyaAllah.
Maksud Taubat

Apakah pengertian taubat?
Taubat merupakan kalimah Arab yang terbit daripada perkataan “Taaba”, yang membawa maksud kembali.
Seseorang itu dianggap kembali atau bertaubat apabila dia meninggalkan segala amalan dosa.
Justeru, taubat nasuha boleh ditakrifkan sebagai:
Taubat yang seikhlasnya, yang mana dia menyesali dosa-dosanya yang telah dilakukan, meminta ampun kepada Allah dan berazam tidak akan mengulangi lagi dosa tersebut
Takrif ini dipetik daripada Syarh Riyadh al-Solehin Min Kalami Sayyid al-Mursalin Imam Nawawi yang disyarah oleh Fadhilah Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Utsaimeen jilid 1, m.s: 38, cetakan Dar Ibn al-Haitsam, Qaherah 2002.
Iaitu kembali kepada Allah SWT dengan memutuskan segala ikatan hati terhadap dosa, lalu kembali menunaikan kewajipan-kewajipannya kepada Allah SWT.
Dari sudut syariat pula, taubat bererti meninggalkan semua perbuatan dosa serta menyesali setiap maksiat yang pernah dilakukan, semata-mata kerana Allah SWT.
Seterusnya berazam dan berusaha agar tidak mengulanginya pada bila-bila masa dan di mana jua, sekalipun dia berkemampuan dan sedar akan peluang untuk mengulanginya.
Hukum Bertaubat

Bertaubat hukumnya wajib.
Setiap dosa yang telah terlanjur kita lakukan wajib ditaubati. Malah bukan setakat wajib — taubat itu wajib disegerakan.
Ini kerana ada juga kewajipan yang boleh dilewatkan pelaksanaannya, contohnya menunaikan solat, mengerjakan haji dan seumpamanya.
Maksudnya, kita tidak semestinya wajib menunaikan solat sebaik sahaja masuk waktunya; ia masih boleh ditangguhkan dalam lingkungan waktunya.
Taubat pula sebaliknya — ia mesti dilakukan dengan segera.
Sebagai contoh, orang yang banyak meninggalkan solat, yang tidak berpuasa di bulan Ramadan, yang pernah mencuri, meminum arak dan seumpamanya, wajib segera kembali bertaubat.
Dia tidak boleh berkata, “Tunggulah bila dah tua nanti baru saya bertaubat.”
Atau berkata, “Nanti saya bertaubat bila berada di hadapan Kaabah.”
Dibimbangi ajal menjemput ke hadrat Ilahi sebelum sempat mencecah usia tua.
Syarat-Syarat Taubat

Antara syarat-syarat taubat yang dinyatakan oleh para ulama’ bersandarkan hadis serta ayat-ayat al-Quran ialah:
- Meninggalkan dosa tersebut dengan serta-merta.
- Menghadirkan rasa sesal terhadap dosa yang pernah dilakukan.
- Bertekad untuk tidak kembali kepada dosa-dosa yang lalu.
Tambahan: Sekiranya dosa itu melibatkan hak orang lain, hak tersebut mesti dikembalikan kepada tuannya, di samping memohon ampun dan maaf daripada individu berkenaan.
Andai salah satu daripada tiga perkara ini tiada, taubat itu tidak sah.
Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas, mari kita teliti setiap syarat ini satu demi satu.
Berhenti melakukan dosa bermaksud taubat itu hendaklah dibuat setelah dosa berkenaan ditinggalkan.
Contohnya, peniaga yang biasa menipu dalam urus niaganya — sama ada dengan mengurangkan timbangan, menjual barang tiruan dan sebagainya — perlu terlebih dahulu menamatkan perbuatan menipu itu, barulah kemudian bertaubat.
Ramai peniaga yang menipu berkali-kali melafazkan taubat, namun perbuatan itu tidak pernah ditinggalkannya.
Umpamanya, setiap kali selesai solat dia beristighfar banyak kali lalu berdoa dalam bahasanya sendiri: “Ya Allah, ampunkanlah dosaku“. Taubat sebegini jelas tidak sah.
Perkara yang sama terpakai bagi dosa-dosa lain seperti berzina, meminum arak, mencuri, berjudi, memakan riba dan seumpamanya.
Perbuatan dosa itu wajib ditinggalkan dahulu, barulah taubat dilakukan.
Malah, tidak memadai sekadar meninggalkan satu jenis dosa sahaja — misalnya dia berhenti menipu dalam perniagaan tetapi masih meneruskan dosa-dosa lain seperti yang dinyatakan di atas.
Menyesal atas dosa yang dilakukan pula bermaksud rasa penyesalan itu benar-benar hadir dalam hatinya.
Sesetengah orang malah berbangga dengan dosa tertentu, contohnya dosa minum arak dan berzina. Ada yang pernah berzina ketika muda, lalu setelah berkahwin atau lanjut usia berbisik dalam hatinya: “Nasib baiklah aku puaskan semasa mudaku”.
Kadangkala orang yang berfikiran begini mendakwa dirinya sudah bertaubat. Mulutnya menyebut taubat, tetapi hatinya berkata sedemikian dan langsung tidak menyesal. Tanpa rasa penyesalan, taubatnya tidak sah.
Ada pula yang menceritakan dosa itu kepada orang lain. Perbuatan ini bukan sahaja menyebabkan dosa lama tidak diampunkan, malah mengundang dosa yang baru. Dia berdosa apabila mendedahkannya kepada orang lain.
Berazam tidak mengulanginya buat selama-lamanya bermaksud hatinya benar-benar memutuskan untuk tidak kembali kepada dosa itu. Jika hatinya masih teragak-agak, taubatnya tidak sah.
Contohnya dia berdoa, “Ya Allah, ampunkanlah dosaku berzina itu”. Namun hatinya masih berhajat untuk melakukannya. Taubat sebegini tidak sah.
Prinsipnya sama seperti sebelum ini — azam itu mestilah untuk meninggalkan semua jenis dosa. Tidak boleh dia berazam untuk berhenti menipu pelanggan tetapi masih mahu bermain perempuan.
Sama ada taubat seseorang itu sah ataupun tidak, sama ada ia taubat nasuha atau sekadar taubat berpura-pura, hanya Allah SWT sahaja yang menentukan.
Allah SWT mustahil dapat ditipu kerana Dia mengetahui segala isi hati manusia.
Sama ada seseorang itu benar-benar menyesal ataupun tidak, dan sama ada azamnya untuk tidak mengulangi itu jujur, hanya orang yang bertaubat itu sendiri yang mengetahuinya.
Dan sudah pasti Allah SWT juga mengetahuinya.
Kebiasaannya, penyesalan yang tulus akan meninggalkan kesan yang nyata pada diri orang yang bertaubat.
Orang yang benar-benar insaf lazimnya diiringi linangan air mata, dan sikapnya biasanya akan berubah.
Orang yang menyesal akan berubah pertuturannya, cara berpakaiannya, amalannya, pergaulannya dan sebagainya.
Cara Taubat Nasuha
Bagaimanakah taubat nasuha itu dilaksanakan?
Taubat kita sudah terkira sebagai taubat nasuha apabila tiga syarat taubat dipenuhi, iaitu menyesal, berhenti serta-merta daripada perbuatan dosa itu dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Walau bagaimanapun, adalah lebih baik penyesalan itu disertakan dengan istighfar yang banyak serta mengerjakan solat sunat taubat.

Ibnu Umar dan Ubai bin Kaab berkata:
Taubat Nasuha itu ialah, bahawa seseorang bertaubat daripada dosa-dosa kemudian tidak kembali kepadanya lagi seperti tidak mungkin kembalinya susu ke payudara binatang.”
Manakala Hasan Basri pula berkata:
Taubat Nasuha jalah hendaklah seseorang menyesal atas apa (dosa) yang pernah dikerjakannya pada masa lampau serta diiringi dengan sikap tidak kembali kepadanya.”
Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa antara tanda-tanda taubat nasuha itu ialah:
- Taubat itu merangkumi seluruh dosa tanpa ada satu pun yang tercicir, serta menghapuskan kesannya terhadap jiwa, ibarat cahaya matahari yang melenyapkan kegelapan malam.
Sesungguhnya sesiapa yang bertaubat daripada satu dosa namun masih meneruskan maksiat yang lain, taubatnya belum lagi sempurna.
-
Bertekad untuk kekal dalam taubat sehingga ke akhir hayat demi menamatkan segala dosa, serta berjanji tidak akan kembali kepada perbuatan lampau, sepertimana susu yang mustahil kembali ke tempat asalnya.
-
Bermula dengan penyesalan dan disudahi dengan amal soleh serta ketaatan, membersihkan hati daripada kesan maksiat, dan berjanji tidak akan mengulangi dosa itu buat selama-lamanya.
-
Menjauhkan diri daripada segala perbuatan dosa. Taubat tidak membawa sebarang makna sekiranya masih diiringi perbuatan dosa. Allah SWT tidak akan menerima kebaikan seseorang selagi dia berterusan dengan maksiat tersebut. Jiwa yang terikat dengan angan-angan maksiat akhirnya akan menghakis segala amal kebaikan.
-
Sesungguhnya seorang hamba tidak dibebani untuk melakukan segala jenis kebaikan, tetapi dia dituntut meninggalkan segala kejahatan. Dengan itu, dirinya akan terdorong ke arah kebaikan.
Bagi sesiapa yang bertaubat daripada sifat munafik, dia tidak dibenarkan berzina, malah dituntut membuang segala kejahatan daripada hatinya.
-
Sekiranya mahu bertaubat daripada seluruh dosa, maka setiap anggota badan turut perlu bertaubat. Taubat mata ialah menjaga pandangan daripada yang haram. Taubat tangan ialah memeliharanya daripada mengambil barang yang haram. Taubat kemaluan pula ialah menjauhkannya daripada zina, dan begitulah seterusnya.
-
Mengimbau kembali segala yang pernah dilakukan, kemudian menunaikan kewajipan-kewajipan yang pernah ditinggalkan, memulangkan hak kepada empunyanya, serta mentaati segala perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Kaedah Taubat Dari Beberapa Dosa Utama

Berikut disenaraikan panduan taubat nasuha bagi dosa-dosa utama yang kerap berlaku.
Dosa-dosa jenis ini bukan sekadar menuntut taubat kepada Allah, malah perlu juga mengembalikan hak yang sewajarnya apabila kesalahan itu melibatkan manusia lain.
1. Bertaubat Daripada Zina
Saya pernah melakukan perbuatan terkutuk dengan seorang perempuan dan sekarang sangat menyesal. Bagaimanakah cara saya perlu bertaubat? Adakah saya perlu berkahwin dengan perempuan itu sebagai tanda taubat? Jika perempuan itu hamil, adakah saya wajib memberikan nafkah terhadap anak hasil perbuatan zina tersebut?
Bagi kes zina, wujud dua keadaan, iaitu:
Pertama: Zina Secara Paksa
Sekiranya dia berzina dengan perempuan itu secara paksaan, dia hendaklah membayar mahar mitsil [1] kepada perempuan tersebut sebagai pampasan atas kemudaratan yang ditanggungnya.
Di samping itu, dia wajib bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.
Sekiranya perkara ini diketahui oleh pihak berkuasa, hukuman yang setimpal hendaklah dikenakan ke atasnya.
Kedua: Zina Suka Sama Suka
Sekiranya penzinaan itu berlaku dengan persetujuan kedua-dua pihak, tiada apa-apa tanggungan ke atasnya selain kewajipan bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.
Anak hasil zina itu tidak boleh di’bin’ (dinisbahkan) kepadanya sama sekali.
Sebaliknya, anak itu dinisbahkan kepada ibunya.
Dia juga tidak diwajibkan menanggung nafkah anak berkenaan kerana anak itu ialah anak zina.
Selain itu, orang yang bertaubat ini tidak dipaksa mengahwini perempuan tersebut semata-mata untuk menutup kesalahan itu.
Lelaki yang berzina tidak boleh mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang beriman.— Surah An-Nur: 3
Akad nikah juga tidak boleh dijalankan ke atas perempuan yang sedang mengandungkan janin hasil zina, sekalipun janin itu daripada benihnya sendiri.
Begitu juga tidak boleh diakadnikahkan perempuan yang belum pasti sama ada hamil atau tidak — walaupun kedua-dua lelaki dan perempuan itu telah bertaubat.
Apabila telah jelas tanda bahawa rahim wanita itu bebas[2] daripada air mani lelaki berkenaan, barulah harus bagi mereka berdua bernikah dan membina hidup baru bersama.
Nota Kaki
1****Mahar Mitsil: mahar yang ditentukan dengan merujuk mas kahwin saudara-saudara perempuan yang telah bernikah sebelumnya, dan penilaiannya hendaklah setara dengan mas kahwin ahli keluarga yang paling hampir dengannya seperti kakak dan ibu saudara.
Selain itu, nilai mas kahwin turut mengambil kira keadaan perempuan itu sendiri dari sudut kecantikan, kekayaan, pelajaran dan seumpamanya.
2****Istibra’ rahim (pembebasan rahim) bertujuan memastikan perempuan itu tidak mengandung akibat penzinaan tersebut, iaitu dengan menanti kedatangan haid sebanyak satu kali.
Selepas tempoh itu, barulah dapat dipastikan sama ada perempuan itu hamil ataupun tidak.
Sekiranya hamil, dia perlu menunggu sehingga anak itu dilahirkan.
Iddah dan istibra’ rahim merupakan dua perkara yang berlainan.
Ini kerana iddah merupakan hak bagi pasangan suami isteri yang sah, bukan bagi zina. Bagi kes zina pula, yang terpakai ialah istibra’ rahim.
Kata Syeikh Saleh Utsaimeen:
“Iddah adalah hak seorang suami yang menceraikan isterinya. Sedangkan lelaki yang berzina dengannya statusnya bukan suami melainkan fajir/penzina.” (Syarh al-Mumti’ [5/215, cetakan Darul Atsar])
Justeru, setelah perempuan yang berzina itu bertaubat dan menyempurnakan istibra’ rahim, sahlah dia untuk dikahwini.
Sekiranya lelaki yang berzina itu berhasrat mengahwini perempuan tersebut, syaratnya ialah lelaki itu mesti bertaubat terlebih dahulu.
2. Adakah Wajib Mengakui Dosa Silam Kepada Suami?

Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki yang baik. Tetapi malangnya, pada waktu silam saya pernah melakukan perbuatan terkutuk. Apakah saya harus menceritakan dosa silam kepada suami saya?
Tiada kewajipan ke atas mana-mana pihak untuk mendedahkan dosa silamnya kepada pasangan.
Selagi Allah menutup keaiban kita, memadailah kita bertaubat kepada-Nya dengan taubat yang sebenar.
Bagi sesiapa yang mengahwini seorang anak dara, lalu pada malam perkahwinan didapati perempuan itu sudah tidak suci akibat dosa silamnya, maka lelaki itu berhak menuntut semula mahar yang telah diberikan dan menceraikannya.
Namun sekiranya perempuan itu telah pun bertaubat, rahsiakanlah perkara tersebut dan teruskanlah hidup bersamanya.
Dengan izin Allah, InsyaaAllah suami yang bersabar itu akan diganjari pahala oleh Allah.
3. Taubat Daripada Mencuri

Bagaimanakah taubat bagi seorang pencuri?
Pertamanya, sekiranya barang yang dicuri itu masih ada dalam simpanan, wajib ia dikembalikan kepada tuannya dengan kadar segera.
Sekiranya barang itu telah rosak atau musnah (atau sudah usang), wajiblah diganti dengan yang baru dan diserahkan semula kepada tuannya.
Jika tidak berkemampuan, pohonlah kemaafan serta timbang rasa daripada pemilik barang berkenaan.
Bagaimana pula jika tidak berani berterus terang dengan pemilik barang itu?
Dalam situasi ini, kembalikan barang curian tersebut melalui orang tengah.
Mintalah orang tengah itu menyerahkan barang berkenaan tanpa mendedahkan nama kita.
Selain itu, barang tersebut juga boleh dikembalikan melalui pos, atau diletakkan semula di tempat asalnya tanpa disedari pemilik asal.
Perkara yang paling utama ialah barang itu sampai dengan selamat ke tangan pemilik sebenarnya.
Bagaimana jika gagal memulangkan barang yang dicuri?
Saya pernah mencuri harta syarikat di tempat kerja dan berhenti kerja. Namun sekarang ini saya telah bertaubat serta sangat menyesal. Saya ingin memulangkan kembali harta tersebut. Tetapi syarikat tersebut telah berpindah dan saya gagal mengesan alamat terbaru mereka. Apa yang harus saya lakukan?”
Mula-mula, berusahalah bersungguh-sungguh mencari lokasi dan alamat syarikat atau pemilik syarikat itu melalui apa jua saluran yang ada.
Sekiranya orang itu telah meninggal dunia, serahkanlah barang tersebut kepada waris atau keluarga pemilik syarikat berkenaan.
Jika masih gagal menemuinya setelah segala usaha dilakukan, maka sedekahkanlah harta itu sebagai penebus harta yang dicuri, dengan diniatkan pahalanya untuk individu atau syarikat berkenaan – sekalipun mereka bukan Islam.
Ini kerana Allah akan mengurniakan kepada mereka balasan harta di dunia, tetapi bukan di akhirat kelak.
4. Mengambil Harta Anak Yatim & Menjadikan hasil curi sebagai modal perniagaan

“Saya mengambil harta anak yatim dan menjadikan ia modal perniagaan. Setelah sekian lama, saya mendapat keuntungan dan harta tersebut telah bertambah berkali ganda. Sekarang saya telah bertaubat dan bagaimana harus saya serahkan harta tersebut?
Terdapat pelbagai pandangan ulama mengenai persoalan ini.
Namun pandangan yang paling sederhana ialah mengembalikan modal asal itu kepada anak yatim berkenaan, berserta separuh daripada keuntungan yang diperoleh.
Dengan cara itu, kamu dan anak yatim itu seolah-olah berkongsi keuntungan tersebut, dan pada masa yang sama hak mereka telah pun dikembalikan.
Pandangan ini dikemukakan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah al-Harrani, serta diperkukuhkan oleh Imam Ibnu Qayyim rhm dalam al-Madaarij.
Sama juga halnya jika seseorang mencuri beberapa ekor ternakan seperti unta atau kambing, kemudian haiwan curian itu membiak dan beranak – maka hendaklah dikembalikan haiwan yang dicuri itu bersama separuh daripada anak-anaknya kepada tuan asal.
Sekiranya ibu haiwan itu telah mati, bayarlah nilai harganya berserta separuh daripada anak-anaknya kepada tuannya.
Contohnya Kamu telah mencuri wang seorang anak yatim berjumlah RM1000.
Kemudian wang curian itu kamu jadikan modal perniagaan, lalu perniagaan itu menghasilkan keuntungan sebanyak RM4000.
Selepas itu kamu insaf dan mahu memulangkannya.
Maka, hendaklah dikembalikan RM1000 itu berserta separuh daripada keuntungan tadi, iaitu RM2000.
Jumlah yang perlu dipulangkan ialah RM3000.
Wallahu a’lam.
5. Bertaubat Daripada Dosa yang Melibatkan Hak Manusia Lain
Sesiapa yang ingin bertaubat hendaklah membebaskan dirinya daripada ikatan kezaliman yang lampau dengan menyelesaikannya seperti berikut:
- Membayar semula sekiranya ia membabitkan wang dan harta benda.
- Memohon supaya dihalalkan atau meminta orang itu memaafkanmu.
Sekiranya dia memaafkanmu, maka segala puji bagi Allah.
Sekiranya tidak, kembalikanlah haknya.
Sesiapa yang mempunyai kezaliman terhadap saudaranya, iaitu yang berupa maruah atau harta benda, maka mintalah kepadanya agar dihalalkan (perkara-perkara tersebut) cepat-cepat sebelum diambil daripadanya di hari tiadanya dinar juga dirham, (yang mana pada hari itu) jika dia mempunyai amalan soleh, maka akan diambil daripada amalan tersebut sekadar kezaliman yang dilakukannya, jika dia tidak mempunyai apa-apa amalan (soleh), maka akan diambil pula kejahatan-kejahatan orang yang dizaliminya itu, lalu diberikan kepadanya. – Muttafaqun ‘Alaihi
6. Bertaubat Dari Mengambil Rasuah
Saya pernah mengambil rasuah, kemudian saya telah bertaubat.Maka apakah yang perlu saya lakukan dengan duit-duit rasuah yang pernah diterima?
Kebiasaannya rasuah berlaku dalam dua situasi berikut:
1) Mengambil rasuah daripada orang yang dizalimi
Situasi ini timbul apabila mangsa kezaliman terpaksa membayar rasuah demi menuntut semula haknya, kerana haknya itu mustahil diperoleh kembali tanpa bayaran rasuah.
Dalam keadaan sebegini, orang yang mahu bertaubat wajib mengembalikan wang rasuah itu kepada pemberi rasuah jenis ini.
Ini kerana hukumnya diiktibarkan seperti harta rampasan, dan pemberi rasuah itu seumpama orang yang dipaksa.
2) Mengambil rasuah daripada orang zalim
Sekiranya pemberi rasuah itu memberikan rasuah bagi perkara yang memang bukan haknya, maka wang tersebut tidak perlu dikembalikan.
Wang itu hendaklah disalurkan ke jalan kebaikan yang diharuskan, contohnya diberikan kepada fakir miskin.
Cara taubatnya sama seperti taubat orang yang mengambil hak orang lain daripada tuannya.
7. Bertaubat Daripada Mengumpat Orang
Jika saya pernah mengumpat dan memburukkan orang lain, adakah disyaratkan supaya saya memberitahu mereka tentang dosa tersebut disamping meminta maaf?
Persoalan seperti ini bergantung kepada pertimbangan masalih (perkara yang membawa kebaikan) dan mafasid (perkara yang mengundang keburukan dan kemudaratan) sekiranya kamu memberitahu mereka tentang umpatan serta tuduhan yang pernah kamu lemparkan itu.
Sekiranya pendedahan itu tidak menambah kemarahan dan kesedihan mereka, berterus teranglah kepada mereka secara umum sahaja (tanpa memperincikan perkaranya) sambil memohon maaf dengan penuh rasa insaf.
Sebaliknya, jika kamu bimbang pendedahan itu bakal mencetuskan permusuhan dan pergaduhan besar (menimbulkan kemudaratan yang besar), memadailah bertaubat dengan menunaikan perkara-perkara berikut:
- Menyesali perbuatan itu dan memohon keampunan daripada Allah, di samping bermuhasabah betapa haram dan tercelanya perbuatan tersebut.
- Menyebut kebaikan insan yang diumpat itu di hadapan orang lain, dengan menyenaraikan segala sifat baiknya.
- Membela insan yang pernah diumpatnya itu sekiranya ada pihak lain yang memburuk-burukkannya.
- Mendoakan kepada Allah agar dosa orang yang diumpat itu diampunkan (tanpa pengetahuannya)
8. Bertaubat Dari Pekerjaan Yang Haram
Saya telah bekerja dalam bidang yang haram dan telah mendapat gaji hasil dari kerja tersebut.Sekarang saya sudah bertaubat. Apakah saya perlu memulangkan kembali gaji ini kepada majikan saya?
Menurut pandangan Ibnu Taimiyah:
Sesiapa yang bekerja dalam lapangan yang haram, atau menawarkan khidmat yang haram, lalu bertaubat kepada Allah sedangkan masih ada baki gaji daripada pekerjaan itu:
– maka bolehlah dia membelanjakan wang tersebut tanpa perlu memulangkannya semula kepada majikannya.
Seorang pelacur yang telah bertaubat tidak perlu mengembalikan wang yang diterimanya kepada bekas pelanggannya.
Seorang penyanyi yang mengadakan persembahan yang diharamkan (bercanggah dengan syarak) juga tidak perlu memulangkan bayarannya kepada penganjur konsert berkenaan.
Ini kerana sekiranya wang haram itu dipulangkan kepada penganjur, dia sebenarnya mengumpulkan semula wang haram itu untuk penganjur tersebut, sekali gus membantunya meneruskan kegiatan haramnya.
Oleh itu, memadailah wang tersebut dibelanjakan untuk kegunaan lain.
9. Bolehkah Menghapuskan Simpanan Barang-Barang Yang Haram Dengan Menjualnya?
Saya telah bertaubat nasuha kepada Allah, tetapi dalam masa yang sama saya masih mempunyai simpanan barang-barang yang haram seperti peralatan judi, arak, filem lucah dan sebagainya. Saya ingin menghapuskan semua barang tersebut dari hidup saya. Bolehkah saya menjualnya?
Jawapannya, tidak boleh.
Barang-barang yang haram tidak boleh dijual, dan segala hasil daripada jualan barang-barang itu adalah haram!
Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah jika sudah mengharamkan sesuatu, maka akan diharamkan juga harganya (hasil dari perkara yang diharamkan tersebut)— Riwayat Ali Ibn Ja’ad, Abu Daud, al-Syafiey, Ahmad, al-Daraqutni dan al-Baihaqi.
Apabila kita sedia maklum bahawa barang yang dijual itu akan digunakan oleh pembelinya untuk tujuan yang haram, maka hukumnya tidak boleh menjual barang berkenaan.
Dan janganlah kamu bertolong-tolong didalam perkara dosa dan permusuhan.— Al-Maidah: 2
Adakah Perlu Mengaku & Minta Dijatuhkah Hukuman?

Adakah disyaratkan untuk mengakui segala jenayah silam di mahkamah dan meminta dijalankan hukuman?
Seseorang itu tidak diwajibkan mengakui segala jenayah lampaunya di hadapan hakim semata-mata supaya hukuman dilaksanakan ke atasnya.
Sesiapa yang segala rahsianya telah Allah tutupkan, tidak menjadi kesalahan untuk dia turut menyembunyikan rahsia dirinya sendiri.
Memadailah dia bertaubat kepada-Nya dengan taubat nasuha yang sebenar dan mengakui segala dosa silamnya di hadapan-Nya.
Bertaubat Untuk Satu Dosa, Tetapi Masih Tidak Bertaubat Untuk Dosa Lain
Adakah sah taubat nasuha saya, jika saya hanya bertaubat untuk satu dosa, tetapi masih belum bertaubat terhadap dosa yang lain?
Taubat bagi satu dosa tetap sah walaupun dosa jenis lain belum ditaubati.
Namun begitu, ia hanya berlaku sekiranya dosa itu bukan daripada jenis yang serupa dan tiada sebarang perkaitan dengan dosa yang pertama.
Contohnya:
Sekiranya seseorang bertaubat daripada dosa mencuri namun belum bertaubat daripada dosa minum arak, taubatnya bagi kesalahan mencuri itu tetap sah.
Sebaliknya, jika dia bertaubat daripada mencuri kereta tetapi tidak bertaubat daripada mencuri wang tabung masjid, taubatnya itu tidak sah.
Begitu jugalah bagi sesiapa yang bertaubat daripada menghisap syisya namun tidak bertaubat daripada meminum arak.
— taubatnya tidak dikira sah kerana kedua-dua perbuatan itu sebenarnya serupa dari sudut jenis, bentuk dan keadaannya.
Ia cuma kelihatan seolah-olah berbeza.
Ada Dosa Dengan Manusia Lain

Sekiranya dosa itu membabitkan manusia lain, ditambah satu lagi syarat, iaitu memohon maaf kepada individu berkenaan atau pihak yang kita lakukan kesalahan terhadapnya.
Contoh dosa yang melibatkan manusia termasuklah mengumpat seseorang, mencacinya, menuduhnya berzina, menconteng nama baiknya, mengambil hartanya dan seumpamanya.
Bagi dosa-dosa sebegini, bertaubat kepada Allah SWT sahaja tidak memadai; kemaafan mesti dipohon daripada orang yang terlibat.
Sekiranya dia memaafkan, bersihlah kesalahan kita; namun jika dia enggan memaafkan, kita tetap menanggung dosa itu.
Ternyata kesalahan terhadap Allah SWT lebih mudah diselesaikan berbanding kesalahan sesama Bani Adam atau manusia.
Ini kerana Allah SWT jauh lebih mudah mengampunkan kesalahan berbanding manusia.
Tambahan pula, bagi dosa sesama manusia, adakalanya kita mahu memohon maaf tetapi orangnya sudah tidak diketahui di mana, atau mungkin telah pergi buat selama-lamanya.
Sekiranya dosa terhadap manusia itu berbentuk hutang, maka hutang tersebut wajib dilunaskan.
Melainkan jika dia sendiri menyatakan telah memaafkan dan tidak perlu dibayar lagi, barulah ia dikira selesai walaupun hutang itu tidak dijelaskan.
Sekiranya dosa itu berupa harta yang dirampas atau dicuri daripada seseorang, harta itu mesti dikembalikan. Contohnya jika kita mencuri selipar orang, tidak cukup sekadar meminta maaf sedangkan selipar itu masih kita simpan.
Kita sewajarnya lebih berwaspada dengan dosa sesama insan ini kerana padahnya amat berat. Sekiranya kita berdosa dengan orang lain, di akhirat kelak sebahagian pahala kita akan diambil dan diserahkan kepada mangsa kesalahan kita itu.
Andai amalan kita tidak cukup untuk menebusnya, dosa orang itu pula akan diambil lalu dibebankan ke atas kita. Inilah yang disebut sebagai orang muflis di Padang Mahsyar nanti.
Suatu ketika dahulu, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat baginda: “Tahukah kamu siapa orang yang muflis itu?”
Jawab para sahabat: “Orang yang muflis pada pandangan kami ialah orang yang tidak memiliki wang dirham, dinar dan barang-barang di rumah.”
Lalu Rasulullah SAW menerangkan:
Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solatnya, pahala zakat dan puasanya, tetapi dia datang dalam keadaan telah memaki si fulan, telah menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul yang lain. Maka diberikanlah kepada si fulan kebaikannya yang ini, kepada si fulan kebaikan yang ini dan seterusnya. Kalau sudah habis kebaikannya sebelum dia membayar akibat dari kesalahan-kesalahannya itu, maka diambillah dosa-dosa mereka (si fulan dan fulan), kemudian ditimpakan kepadanya. Kemudian dia dicampakkan ke neraka.
Keburukan Melakukan Dosa Secara Berterusan

Dalam kitabnya al-Daa’ wa al-Dawaa’, Imam Ibnu Qayyim rhm menyenaraikan beberapa akibat buruk berterusan melakukan dosa:
- Terhalang daripada memperoleh ilmu yang bermanfaat.
- Kemurungan serta timbulnya kegelisahan yang menghantui hati.
- Urusan kehidupan seharian menjadi sukar.
- Terhalang daripada melakukan ketaatan.
- Terhalang daripada memperoleh keberkatan.
- Berkurangnya rasa kedamaian.
- Dada terasa sempit.
- Menyuburkan dosa-dosa yang lain pula.
- Menjadi terbiasa untuk terus-menerus berbuat dosa.
- Mendapat kehinaan daripada Allah.
- Dipandang hina oleh manusia lain.
- Menerima laknat daripada segala binatang ternakan.
- Hatinya ditanda dengan titik hitam.[3]
- Diletakkan di bawah kelaknatan.
- Doanya terhalang daripada dimakbulkan.
- Hilangnya perasaan malu.
- Nikmat daripada Allah ditarik kembali.
- Hatinya sentiasa diselubungi ketakutan.
- Termasuk dalam golongan tawanan syaitan.
- Menemui kematian dalam keadaan yang buruk.
- Menerima azab seksa Allah di akhirat kelak.
3 Sebagaimana hadis nabi yang bermaksud:
Sesungguhnya seorang hambah itu jika melakukan satu dosa, maka akan dititik pada hatinya suatu titik hitam. Jika dia bertaubat dan berhenti dari dosa itu, maka akan dibersihkan hatinya itu. Jika dia kembali melakukan dosa itu kembali, titik hitam akan bertambah sehinggalah hatinya hitam berkarat, dan itulah yang dinamakan al-Raan (tutupan)
— al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 3908, jilid 2, m.s 562, al-Baihaqi di dalam al-Sunan no. 20763, jilid 10 m/s: 316
Bilakah Waktu Taubat Sudah Tidak Diterima Allah?

Ada ketikanya Allah SWT tidak lagi menerima taubat seorang manusia, biarpun dia benar-benar bertaubat dan menyesali perbuatannya hingga menitiskan air mata dan sebagainya.
Inilah keadaan yang sering disebut sebagai “tertutupnya pintu taubat”.
Taubat tidak lagi diterima apabila:
- Sudah Nazak
Nazak di sini bukan sekadar bermaksud sakit tenat atau koma, tetapi apabila roh telah sampai ke kerongkong seseorang.
Lazimnya malaikat maut mencabut nyawa manusia melalui ubun-ubunnya. Malaikat menarik roh itu keluar dari ubun-ubun, dan roh tersebut bergerak dari bahagian kaki menuju kepala.
Bermula dengan jari-jari kaki yang hilang nyawanya, diikuti betis, kemudian paha, perut, dada, sehinggalah ke leher.
Apabila roh telah tiba di leher atau kerongkong, itulah saat nazak atau ghargharah. Pada ketika inilah taubat seseorang tidak diterima lagi.
Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selama belum sampai saat ghargharah.”
Berpandukan hadis tersebut, Allah SWT itu Maha Pengampun dan Dia menerima taubat hamba-Nya walau sebanyak mana pun dosanya, asalkan dia benar-benar memohon ampun — dengan syarat saat ghargharah belum tiba.
- Suasana Terancam Nyawa
Firman Allah SWT:
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, dan tidak (pula diterima taubat) orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami telah sediakan seksa yang pedih.” — (Surah An-Nisa’ [4]:18)
Taubat tidak diterima daripada seseorang yang hanya bertaubat kerana dirinya sudah di ambang maut.
Taubat sedemikian ialah taubat dalam keadaan terdesak, dalam saat genting, ketika nyawa sudah di hujung rambut.
Taubat seperti itu tidak lahir secara tulus dari hati orang yang bertaubat. Andai bukan kerana keadaan cemas itu, dia langsung tidak teringat akan dosanya dan tidak akan bertaubat.
Misalnya, seseorang yang bertaubat ketika pesawat yang dinaikinya sedang terhempas.
Katakan pesawat itu sudah terbakar dan menjunam ke bumi, lalu dia sempat bertaubat kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh — taubatnya tetap tidak diterima walaupun dia benar-benar menyesali perbuatannya.
Taubatnya ditolak kerana ia dilakukan ketika ajalnya sudah hampir tiba.
Contoh lain ialah orang yang lemas di lautan, mangsa kemalangan jalan raya, orang yang tersepit di bawah runtuhan bangunan dan seumpamanya.
Maksudnya, harapan untuk selamat sudah amat tipis, sedangkan fikirannya masih jelas untuk mengingati dosa-dosa yang dilakukan dan masih sempat melafazkan taubat.
Dalam keadaan sebegitu, taubat tidak diterima lagi.
Firaun yang begitu masyhur dengan sikap keras kepala dan bongkaknya itu pun akhirnya sedar, insaf dan mengakui kesalahannya apabila berdepan dengan maut.
Ketika tenggelam di laut, Firaun melafazkan keimanannya kepada Allah SWT dan bertaubat daripada segala kesalahannya. Namun Allah SWT tidak menerima taubatnya itu.
Firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 90 yang bermaksud:
Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Fir’aun dan tenteranya, bertujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Fir’aun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah).” — (Surah Yunus [10]:90)
Allah SWT menolak taubat Firaun. Sebelum itu, kejahatannya sudah melampau. Dia banyak menindas kaum Bani Israil dan membunuh ramai daripada mereka, serta berkali-kali menentang Nabi Musa AS. Firaun sebenarnya terlalu kagum dengan kekuasaan yang dimilikinya sehingga menjadikannya sombong. Dia menganggap dirinya raja segala raja, malah mendakwa dirinya Tuhan. Allah SWT tidak sudi mengampunkan kesalahan Firaun, lebih-lebih lagi kerana dia baru menyatakan iman dan bertaubat setelah berada di ambang maut.
Allah SWT membalas kata-kata Firaun itu dengan firman-Nya:
الفن وقد عصيت قبل وكنت من المفسدين * “Apakah sekarang (baru engkau percaya), padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu, dan engkau termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan?” (Surah Yunus [10]:91)
- Dalam Keadaan Kafir
Selagi seseorang itu masih kafir atau belum beriman, Allah SWT tidak akan menerima taubatnya.
Ini selari dengan firman Allah SWT:
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, dan orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami telah sediakan seksa yang pedih.” (Surah An-Nisa’ [4]: 18)
Sekiranya ada orang kafir yang ingin bertaubat daripada dosa-dosanya, dia hendaklah memeluk Islam terlebih dahulu.
Hakikatnya, apabila seorang kafir itu beriman (memeluk Islam), terhapuslah segala dosa yang dilakukannya sepanjang tempoh kekafirannya.
Sebaik sahaja melafazkan Islam, dirinya suci daripada dosa umpama bayi yang baru dilahirkan.
Sungguh bertuah insan yang dikurniakan hidayah untuk memeluk Islam, apatah lagi jika dia berjaya memelihara rekod bersih itu hingga ke hujung nyawanya.
- Apabila Matahari Terbit Dari Barat
Taubat turut tidak diterima apabila matahari terbit dari sebelah barat, iaitu tempat ia terbenam.
Antara tanda kiamat kubra (tanda besar) ialah terbitnya matahari dari tempat terbenamnya.
Menurut riwayat, menjelang kiamat kelak akan berlaku satu malam yang amat panjang.
Malam itu berlarutan begitu lama sebelum berganti siang. Manusia semuanya sudah puas tidur dan perut mula berkeroncong, namun hari masih lagi gelap.
Setelah lama menanti, barulah cahaya fajar menjelma.
Seperti selalu, pagi itu mula cerah. Manusia keluar rumah menguruskan hal masing-masing. Pada awalnya tiada sebarang kejanggalan kelihatan.
Namun betapa terperanjatnya manusia ketika itu apabila menyaksikan matahari terbit dari barat, tempat ia biasanya terbenam.
Menurut riwayat, peristiwa tersebut akan berlaku pada hari Jumaat, iaitu tepat pada hari berlakunya kiamat.
Pada hari itulah kiamat terjadi, dan pada hari itu jugalah pintu taubat telah tertutup.
Tanda-Tanda Taubat Diterima

Ibnu Qayyim rahimahullah menyatakan bahawa taubat yang makbul (diterima) itu mempunyai beberapa tanda, antaranya:
- Selepas bertaubat, seseorang itu menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelumnya.
- Dirinya sentiasa diselubungi rasa takut, tidak pernah berasa aman daripada makar (seksa) Allah SWT walau sedetik pun.
- Antara tandanya lagi ialah lahirnya rasa sedih serta gerun yang mendalam di dalam hatinya.
- Antara tuntutan taubat yang benar juga ialah wujudnya kesedihan yang bersifat khusus di hadapan Tuhan yang tiada tandingan bagi-Nya — kesedihan sempurna yang menyelubunginya dari segenap penjuru, sehingga dia merasakan dirinya tercampak di hadapan Tuhannya dalam keadaan lemah, hina dan berserah dengan penuh khusyuk.
Ibnu Qayyim menyambung lagi:
“Apabila Allah menginginkan suatu kebaikan terjadi pada hamba Nya, maka Dia akan membukakan baginya pintu-pintu taubat, penyesalan dan kepiluan (kerana telah berbuat dosa), merasa hina di hadapan Tuhan, dia merasa sangat mengharapkan pertolongan Tuhan serta mendekatkan diri kepadaNya.”
Penutup: Yakinlah Allah Itu Maha Pengampun
Katakanlah: Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang — Surah al-Zumar 53
Begitulah hebat dan agungnya sifat al-‘Afuw (Yang Maha Pemaaf) serta al-Ghaffar (Yang Maha Pengampun) milik Allah SWT.
Justeru, teguhkanlah keyakinan — apabila seorang pendosa insaf, memohon keampunan dan mengerjakan amal soleh, segala dosanya pasti diampunkan.
Pasti!
Semoga panduan ini mendatangkan manfaat yang berguna.