All prayer guides

NIAT & CARA SOLAT JUMAAT (Panduan Lengkap Rumi)

NIAT & CARA SOLAT JUMAAT (Panduan Lengkap Rumi)

Mukadimah

Bagaimanakah lafaz niat dan tatacara menunaikan Solat Jumaat?

Di sini disediakan panduan penuh bagi menunaikan Solat Fardu Jumaat.

Setiap langkah akan diterangkan satu persatu dari awal hingga akhir, dan keseluruhan panduan disusun secara ringkas supaya senang dihadam.

Apa yang menarik:

Panduan ini turut disertakan transliterasi RUMI sebagai bantuan kepada anda yang masih sukar membaca tulisan arab.

Moga-moga ia memberi manfaat..

Pengenalan

Solat Jumaat merupakan kewajipan bagi setiap lelaki muslim yang telah baligh, manakala kaum perempuan tidak diwajibkan.

Bagi mereka yang sedang bermusafir, sembahyang Jumaat juga tidak menjadi kewajipan.

Solat ini didirikan pada hari Jumaat sebagai ganti kepada sembahyang fardu Zohor.

Ia dilaksanakan di masjid dan mesti didirikan secara berjemaah dengan bilangan minimum 40 orang yang menetap secara tetap di kawasan berkenaan.

Sembahyang Jumaat wajib dimulakan dengan dua khutbah terlebih dahulu, kemudian barulah disusuli dengan solat dua rakaat.

Hukum Solat Jumaat

Hukum Solat Jumaat adalah wajib bagi setiap golongan yang telah cukup syarat-syarat wajib Jumaat.

Kewajipan ini berstatus fardu ain, iaitu tanggungjawab yang mesti ditunaikan sendiri oleh setiap individu berkenaan.

Thariq bin Syibab meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap orang Islam, melainkan empat golongan, iaitu hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang sakit — Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud

Lafaz Niat Solat Jumaat

Bagi makmum, niat Solat Fardu Jumaat dilafazkan seperti berikut:

أُصَلِّي فَرۡضَ الۡـجُمُعَةِ رَكۡعَتَيۡنِ مَأۡمُومًا لِلّٰهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala

Cara Mengerjakan Solat Jumaat

Ringkasan Tatacara Solat Fardu Jumaat

  1. Permulaan Solat: Sebaik sahaja dua khutbah dibacakan dan iqamat dilaungkan, solat dimulakan dengan niat serta takbiratul ihram. Lafaz niat solat fardu Jumaat ialah “Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala” atau “Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala”.
  2. Baca Doa Iftitah: Sesudah takbiratul ihram, membaca doa Iftitah adalah sunat; solat tetap sah walaupun ia tidak dibaca
  3. Baca Surah al-Fatihah: Sebaik imam menghabiskan bacaan al-Fatihah, para jemaah pula membacanya sendiri dengan suara perlahan
  4. Rukuk dan Sujud: Turuti setiap pergerakan imam, bermula dari rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sehinggalah sujud kedua
  5. Rakaat Kedua: Rakaat kedua bermula dengan takbir intiqalat, kemudian bacaan al-Fatihah diulang semula selepas imam
  6. Rukuk dan Sujud Rakaat Kedua: Rukuk dan sujud dilakukan dengan mengikuti imam
  7. Tahiyyat Akhir dan Salam: Apabila rakaat kedua tamat, duduklah untuk tahiyyat akhir dan tamatkan solat dengan salam selepas imam memberi salam.

Ingatlah bahawa setiap pergerakan dalam solat Jumaat hanya dilakukan setelah imam menyelesaikan pergerakan tersebut, kerana solat Jumaat adalah solat berjemaah

Berikut ialah tatacara solat fardu Jumaat yang diterangkan satu langkah demi satu langkah:

Rakaat Pertama — 1. Solat

Apabila imam atau khatib selesai menyampaikan dua khutbah dan iqamat telah dilaungkan, bangunlah berdiri sebagai persediaan untuk solat.

Tunggu sehingga imam mengangkat takbiratul ihram terlebih dahulu, barulah kita menyusul dengan takbiratul ihram kita sendiri.

Ketika takbir diangkat, lafazkan niat solat fardu Jumaat di dalam hati.

Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala

.. atau

Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala

takbiratul ihram

Rakaat Pertama — 2. Kemudian, bacalah doa Iftitah.

Sesudah takbir diangkat, disunatkan pula membaca Iftitah.

Bacaan Iftitah ini hukumnya sunat hai’ah. Meninggalkannya tidak membatalkan solat, namun sesiapa yang membacanya akan diberi pahala.

Apabila selesai, diamlah sebentar menunggu imam menamatkan bacaan surah al-Fatihah.

اللَّهُ أَكۡبَرُ كَبِيرًا وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبۡحَانَ اللَّهِ بُكۡرَةً وَأَصِيلًا، وَجَّهۡتُ وَجۡهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالۡأَرۡضَ حَنِيفًا مُسۡلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الۡمُشۡرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الۡعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا مِنَ الۡمُسۡلِمِينَ

Allaahu Akbaru Kabiiraa-walhamdu Lillaahi Katsiiran, Wa Subhaanallaahi Bukrataw-wa’ashiila. Wajjahtu Wajhiya Lilladzii Fatharas-samaawaati Wal Ardha Haniifam-muslimaw-wamaa Anaa Minal Musyrikiina. Inna Solaatii Wa Nusukii Wa Mahyaaya Wa Mamaatii Lillaahi Rabbil ‘Aalamiina. Laa Syariikalahu Wa Bidzaalika Umirtu Wa Ana Minal Muslimiin

Rakaat Pertama — 3. Seterusnya bacalah surah al-Fatihah.

Sebaik sahaja imam menghabiskan bacaan al-Fatihah, seluruh jemaah akan menyebut “amin” secara serentak beramai-ramai.

Kemudian barulah setiap makmum membaca al-Fatihah masing-masing secara perlahan, sementara imam meneruskan bacaan ayat/surah lain daripada Al-Quran..

Surah al-Fatihah termasuk dalam rukun solat. Justeru, bacaannya wajib dalam setiap solat.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ﴾١﴿ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ﴾٢﴿ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ﴾٣﴿ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ﴾٤﴿ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ﴾٥﴿ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ﴾٦﴿ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ﴾٧﴿

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Rakaat Pertama — 4. Rukuk Dan Sujud Dalam Rakaat Pertama

Apabila imam selesai membaca ayat / surah al-Quran, ikutilah keseluruhan pergerakan imam bermula dengan rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan sujud kedua.

Sekali lagi ditegaskan, jangan sekali-kali mendahului pergerakan imam kerana perbuatan itu boleh membatalkan solat.

rukuk solat

Rakaat Kedua — 5. Rakaat kedua dimulai dengan lafaz takbir intiqalat

Selepas sujud kedua, bangkitlah berdiri tegak semula dengan tangan diletakkan di atas pusat bagi memulakan rakaat kedua.

(takbir intiqalah membawa erti takbir yang membuka rakaat kedua).

Rakaat Kedua — 6. Baca surah al-Fatihah

Sebagaimana rakaat pertama, surah al-Fatihah dibaca sekali lagi pada rakaat kedua setelah imam menamatkan bacaannya.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ﴾١﴿ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ﴾٢﴿ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ﴾٣﴿ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ﴾٤﴿ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ﴾٥﴿ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ﴾٦﴿ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ﴾٧﴿

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Rakaat Kedua — 7. Solat diteruskan dengan rukuk dan sujud.

Rukuk dan sujud dilakukan seperti biasa dengan menuruti pergerakan imam.

  1. Bangun dari sujud, terus lakukan tahiyyat akhir sehinggalah selesai rakaat kedua.
التَّحِيَّاتُ الۡمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ، السَّلَامُ عَلَيۡكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحۡمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيۡنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشۡهَدُ أَنۡ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيۡتَ عَلَى إِبۡرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبۡرَاهِيمَ، وَبَارِكۡ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكۡتَ عَلَى إِبۡرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبۡرَاهِيمَ فِي الۡعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Rakaat Kedua — 9. Sesudah tahiyat, solat diakhiri dengan memberi salam

salam

Rakaat Kedua — 10. Selesai solat, jangan tergesa-gesa keluar dari masjid.

Adalah lebih elok sekiranya kita turut serta bersama imam bertasbih, tahmid, takbir dan berdoa.

Syarat Wajib Untuk Solat Jumaat

Berikut disenaraikan syarat-syarat yang menjadikan sembahyang Jumaat wajib ke atas seseorang:

  1. Islam
  2. Baligh
  3. Merdeka
  4. Berakal
  5. Lelaki
  6. Untuk perempuan hukumnya harus

Syarat Sah Solat Jumaat

teks khutbah raya aidilfitri

Syarat-syarat sah bagi solat fardu Jumaat adalah seperti berikut:

  1. Didirikan di sesuatu tempat atau bangunan dalam kawasan penempatan tetap, sama ada di pekan mahupun di kampung, walaupun bukan di dalam masjid

  2. Didirikan dalam waktu Zuhur pada hari Jumaat.

  3. Didirikan secara berjemaah dengan bilangan sekurang-kurangnya 40 orang ahli jemaah termasuk imam, dan kesemuanya merupakan penduduk yang bermastautin di kawasan tersebut.

  4. Tiada kumpulan lain yang terlebih dahulu mendirikan atau sedang mendirikan sembahyang Jumaat di kawasan yang sama.

Ertinya, dua sembahyang Jumaat tidak boleh didirikan serentak dalam satu tempat atau kawasan, sekalipun di masjid yang berbeza.

Pengecualian diberikan kepada kampung atau pekan yang saiznya terlalu besar sehingga penduduknya sukar berhimpun di satu lokasi; dalam keadaan ini sembahyang Jumaat dibenarkan diadakan di lebih daripada satu tempat.

  1. Didahului dengan dua khutbah

Perkara Sunat Pada Hari Jumaat

Amalan-amalan sunat pada hari Jumaat yang dikhususkan buat mereka yang bakal menunaikan solat Jumaat.

  1. Mandi terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid; waktu yang paling elok ialah ketika hendak bertolak ke masjid.
  2. Mengenakan pakaian yang bersih, cantik dan kemas, dan yang paling afdal berwarna putih.
  3. Memakai wangi-wangian.
  4. Memotong kuku, mengemaskan misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan bersugi.
  5. Awal bergerak ke masjid supaya berpeluang mengisi saf hadapan.
  6. Membanyakkan zikir, istigfar, doa dan lebih-lebih lagi selawat. Rasulullah SAW menyebut bahawa pada hari Jumaat terdapat satu waktu mustajab di mana doa sesiapa yang berdoa ketika itu akan diperkenankan.
  7. Menumpukan perhatian kepada khutbah yang disampaikan khatib. Hukumnya makruh bermain telefon bimbit atau memegang benda-benda lain termasuk tasbih sewaktu khatib sedang berkhutbah.

Soalan Lazim Berkaitan Solat Jumaat

Di bawah ini dihimpunkan beberapa persoalan yang kerap timbul berkaitan solat fardu Jumaat:

Adakah Perlu Solat Fardu Zohor Jika Sudah Mengerjakan Solat Jumaat?

Tidak perlu. Sesiapa yang telah menunaikan Solat Jumaat tidak lagi dituntut mendirikan Solat Zohor.

Adakah Orang Yang Bermusafir Perlu Solat Jumaat?

Sekiranya seseorang itu keluar bermusafir selepas fajar hari Jumaat terbit, solat Jumaat tetap wajib ke atasnya, sama ada ditunaikan semasa masih dalam perjalanan ataupun setelah sampai ke destinasi.

Namun sekiranya dia memulakan musafir sebelum fajar hari Jumaat terbit, solat Jumaat tidak wajib ke atasnya. Walaupun begitu, jika dia tetap menunaikannya, itu adalah lebih utama.

Adakah Wajib Solat Jumaat Jika Tinggal Disuatu Tempat Melebihi 4 Hari?

Orang yang bermukim bermaksud orang yang menetap di sesuatu tempat melebihi tempoh musafir, iaitu empat hari empat malam, namun tiada niat untuk terus menetap di situ — contohnya mereka yang datang atas urusan perniagaan, pengajian dan seumpamanya. Golongan ini wajib menunaikan solat Jumaat, tetapi tidak diambil kira dalam bilangan ahli Jumaat. Maksudnya, mereka terkeluar daripada kiraan 40 orang ahli Jumaat yang disyaratkan.

Adakah Polis dan Tentera Yang Sedang Bertugas

Anggota polis dan tentera diharuskan meninggalkan solat Jumaat apabila sedang menjalankan tugas keselamatan, kerana keadaan itu dikira uzur syari’e disebabkan tuntutan tugas — dengan syarat mereka tidak meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

Apakah Hukum Solat Jumaat Bagi Orang Bermastautin?

Orang yang bermastautin merujuk kepada mereka yang menetap secara tetap di sesuatu tempat, sama ada dilahirkan di situ, telah membeli tanah atau rumah, ataupun menyewa rumah dan tinggal di tempat berkenaan. Golongan ini wajib solat Jumaat dan mereka diambil kira dalam bilangan ahli Jumaat.

Siapakah Orang Yang Tidak Diwajibkan Solat Jumaat?

Mereka yang tidak diwajibkan solat Jumaat ialah wanita, kanak-kanak dan sesiapa yang keluar bermusafir sebelum fajar hari Jumaat terbit. Namun sekiranya golongan ini memilih untuk menunaikan solat Jumaat, solat mereka tetap sah dan mereka tidak perlu lagi mendirikan solat fardu Zohor pada hari berkenaan.

Apakah Hukum

Melangkah Tengkuk Orang Ketika di Dalam Masjid

Sesiapa yang tiba lewat untuk solat Jumaat sepatutnya mengambil tempat di saf belakang.

Hukumnya makruh apabila dia menyelit dan mencelah sampai melangkahi tengkuk jemaah lain semata-mata mahu ke saf hadapan, kerana perbuatan sebegini melambangkan sikap sombong dan boleh melukakan perasaan jemaah yang lain.

Jalan terbaik ialah hadir lebih awal sekiranya mahu menduduki saf hadapan.

Apakah Status

Makmum Masbuk Dalam Solat Jumaat

Bagi makmum yang masbuk, dia mestilah mengikut imam dengan sekurang-kurangnya sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah serta rukuk bersama imam pada rakaat kedua. Jika dia tidak sempat rukuk bersama imam dalam rakaat kedua, maka dia dikira tidak memperoleh solat Jumaat pada hari tersebut.

Apakah

Hukum Mengerjakan Solat Sunat Ketika khutbah Jumaat

Ketika khatib sedang menyampaikan khutbah di atas mimbar, haram hukumnya mendirikan sebarang solat termasuk solat qada, kecuali solat sunat tahiyatul masjid; itu pun diwajibkan meringankan (mempercepatkan) solat tahiyatul masjid tersebut dan tidak dibenarkan menambah dua rakaat lain selain solat sunat tahiyatul masjid yang telah dikerjakan tadi.

Adakah Solat Jumaat Dikerjakan Secara Bersendirian?

Tidak boleh. Antara syarat sah Solat Jumaat ialah ia mesti didirikan secara berjemaah dengan kehadiran sekurang-kurangnya 40 orang ahli jemaah yang menetap di kawasan berkenaan.

Apakah Hukum Solat Jumaat Di Kawasan Pedalaman Yang Jemaah Kurang 40 Orang?

Bagi penduduk yang tinggal jauh di pedalaman dan terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk sampai ke masjid terdekat, mereka dibenarkan mendirikan Solat Jumaat di kawasan sendiri walaupun bilangannya tidak cukup 40 orang, iaitu dengan berpegang kepada pandangan ulama yang mengharuskan solat Jumaat kurang daripada 40 orang serta pendapat yang menyatakan solat Jumaat tidak semestinya didirikan di masjid (Fath al-Mu’in, 2/69)

Penutup

Semoga panduan ini menjadi pemudah cara buat anda dalam menunaikan solat fardu Jumaat.

Terima kasih.

References

  • Mazhab Syafi'i (tradisi ulama')
  • Sahih Muslim, no. 771
  • Al-Quran (riwayat Hafs)
  • Sahih Muslim, no. 403
  • Sahih al-Bukhari, no. 6265
  • Sahih Muslim, no. 402
  • Sahih al-Bukhari, no. 3370

Frequently asked questions

How do I perform NIAT & CARA SOLAT JUMAAT (Panduan Lengkap Rumi)?

The NIAT & CARA SOLAT JUMAAT (Panduan Lengkap Rumi) guide is broken into 19 clear steps, each with Arabic text and Rumi transliteration so it is easy to follow.

How many steps does NIAT & CARA SOLAT JUMAAT (Panduan Lengkap Rumi) have?

This guide has 19 steps.

Which school of jurisprudence does this guide follow?

This content follows the shafii school.