All prayer guides

Cara Solat Di Atas Bot Dan Kapal (Panduan Lengkap)

Cara Solat Di Atas Bot Dan Kapal (Panduan Lengkap)

Mukadimah

Bagaimanakah hendak menunaikan solat ketika berada di atas bot atau kapal?

Menerusi panduan ini, anda akan ditunjukkan cara bersolat di atas bot dan kapal dengan lengkap lagi ringkas, dalam bahasa yang senang difahami sesiapa sahaja.

InsyaAllah, setiap langkah akan diterangkan satu demi satu sehingga tamat.

Pengenalan Mengenai Solat Di Atas Bot Dan Kapal

Satu perbezaan ketara antara berada di atas bot dengan di dalam kenderaan darat ialah keadaan bot yang terumbang-ambing di atas air.

Keadaan sebegini bukan sekadar mengganggu keseimbangan badan, malah kerap pula mengakibatkan mabuk laut.

Daripada Abdullah Ibnu Umar RA, beliau menceritakan bahawa seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

Bagaimana cara solat di dalam perahu? Rasulullah SAW menjawab: Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam — Riwayat al-Bazzar dan Daruqutni

Hadis di atas menjadi dalil keharusan menunaikan solat di atas kenderaan tanpa mengira apa jua jenisnya, kerana pengajaran hadis (illat) itu bukan tertumpu pada hukum perahu semata-mata, sebaliknya menyentuh keharusan melaksanakan solat di atas kenderaan.

Ia diambil daripada amalan Rasulullah SAW serta para sahabat yang pernah bersolat sambil duduk di atas tunggangan masing-masing.

Hadis berikutnya pula menceritakan bagaimana Rasulullah SAW bersama para sahabat pernah bersolat di atas tunggangan mereka bagi mengelak daripada terkandas dalam hujan yang lebat.

Ya’la bin Murrah RA menceritakan bahawa para sahabat pernah bermusafir bersama Rasulullah SAW sehingga tiba di sebuah lembah, ketika baginda berada di atas kenderaannya, sedangkan langit ketika itu sangat mendung dan bumi di bawahnya pula sangat basah.

Apabila masuk waktu solat, baginda memanggil tukang azan, lalu dilaungkan azan dan iqamat.

Rasulullah SAW kemudiannya mara dengan kenderaannya dan mengimamkan solat berjemaah bersama mereka (para sahabat). Baginda solat secara isyarat, dengan isyarat sujudnya lebih rendah daripada isyarat rukuknya.

Kedua-dua hadis di atas dengan jelas mengharuskan solat fardu ditunaikan di atas kenderaan, dan sekiranya seseorang itu berdepan kesukaran, solat boleh dikerjakan secara duduk.

Itulah contoh teladan yang diriwayatkan daripada kalangan sahabat seperti Anas bin Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan selain mereka.

Solat sebegini tetap sah selagi kesulitan itu benar-benar wujud, dan ia tidak perlu diulangi.

Sebaliknya, jika seseorang itu tidak menghadapi apa-apa kesukaran namun tetap bersolat secara duduk di atas kenderaan, solatnya tidak sah kerana dia dikira sengaja mencuaikan dan memandang ringan rukun kewajipan solat.

Demikianlah menurut ijmak para fuqaha mazhab asy-Syafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain.

Imam an-Nawawi mensyarahkan,

Menurut pendapat mazhab kami (mazhab asy-syafie), apabila seseorang bersolat fardu di dalam kapal maka tidak boleh baginya mengerjakan solat dengan duduk selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu dengan keadaan di darat.”

Begitu jugalah pandangan Imam Malik serta Imam Ahmad bin Hanbal.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat, solat boleh dikerjakan sambil duduk sekiranya kapal itu sedang belayar.

Menurut ulama-ulama mazhab asy-Syafie, sekiranya orang yang sedang bersolat itu ditimpa mabuk laut, dia diharuskan menunaikan solat fardunya secara duduk kerana dia dianggap tidak berdaya untuk berdiri.

Dan sekiranya angin bertiup lalu haluan kapal berubah sehingga wajahnya turut berpaling daripada kiblat, wajiblah dia memusingkan badannya semula ke arah kiblat tersebut dan meneruskan solatnya.

Kaedah Berwuduk Di Atas Bot Dan Kapal

Ketika berada di atas bot, wuduk boleh diambil dengan air bersih, air sungai mahupun air kolam yang berada di sekeliling bot.

Abu Hurairah RA berkata, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, kami berada di atas kapal, kami hanya membawa sedikit air yang jikalau kami gunakan untuk berwuduk, nescaya kami akan mati kehausan. Bolehkah kami berwuduk dengan air laut?” Rasulullah SAW menjawab, “Air laut itu suci airnya dan halal bangkainya”. — Riwayat an-Nasa’i

Penentuan Arah Kiblat di Atas Bot

Bagi menunaikan solat di atas bot, penumpang perlulah yakin terhadap kedudukan arah kiblat, dan sekurang-kurangnya mereka mesti menghadap kiblat semasa takbiratul ihram.

Ruang Solat di Atas Bot

Keluasan ruang di atas bot bergantung pada saiznya. Lazimnya, ruang di atas sampan dan bot fiber jauh lebih kecil dan sempit berbanding ruang di atas kapal, yang menyediakan kawasan solat lebih luas berikutan adanya dek serta bilik.

Tunaikanlah solat dalam kedudukan yang selesa, sama ada berdiri, duduk mahupun baring, mengikut keadaan semasa.

Dahulukan keselamatan diri dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Bagaimana Dengan Pergerakan Bot Semasa Solat?

Sebaik-baiknya, tunaikan solat sambil duduk (sebelah tangan boleh berpaut pada bot) bagi mengelakkan sebarang mudarat sekiranya badan hilang keseimbangan ketika sedang bersolat.

Solat secara baring juga dibolehkan sekiranya anda mengalami mabuk laut yang serius sehingga tidak berdaya untuk duduk.

Kaedah Cara Solat di Atas Bot Atau Kapal

Berikut ialah susunan cara menunaikan solat di atas bot atau kapal

  1. Berdiri dengan sempurna sekiranya mampu.
  2. Sekiranya tidak berdaya, kerjakan sambil duduk, seperti duduk tahiyat awal ataupun tahiyat akhir.
  3. Sekiranya itu pun tidak termampu, duduklah dengan apa jua gaya duduk yang boleh, biarpun duduk di tepi bot.
  4. Semasa berniat dan bertakbiratul ihram, wajah hendaklah menghadap kiblat.
  5. Kemudian, sambunglah solat itu dalam keadaan berdiri ataupun duduk.
  6. Sekiranya tidak dapat, maka berniat dan bertakbirlah mengikut arah mana sahaja seseorang itu sedang duduk.
  7. Dalam posisi duduk, rukuk dibuat dengan menurunkan anggota badan dari kepala hingga ke pinggang, iaitu separuh daripada kedudukan sujud, manakala kedua-dua tapak tangan diletakkan di atas lutut.
  8. Sujud dikerjakan seperti biasa jika boleh. Sekiranya sujud biasa tidak dapat dibuat kerana tidak boleh beralih dari tempat duduk atau ketiadaan ruang untuk bersujud, maka turunkan anggota dari kepala hingga ke pinggang ke arah lantai setakat paras maksimum yang termampu, sementara kedua-dua tapak tangan diletakkan di mana-mana tempat yang boleh.
  9. Sekiranya kepala langsung tidak dapat digerakkan, gantikan perbuatan rukuk dengan pejaman mata separuh sahaja, manakala bagi sujud, pejamkan mata sepenuhnya.
  10. Duduk tahiyat, sama ada awal mahupun akhir, hendaklah dibuat dengan apa sahaja cara duduk yang termampu.
  11. Akhiri solat dengan memberi salam.

Penutup

Tunaikanlah solat di mana jua anda berada. Biarpun di atas belakang unta sekalipun. Solat merupakan penghubung terus antara seorang manusia dengan Allah SWT.

Tiada ibadah lain yang mengatasi solat dalam mendekatkan seorang hamba dengan Tuhannya.

Yang pertama dihisab dari amalan hamba pada hari kiamat adalah solatnya – Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah

Rujukan bagi panduan ini ialah buku praktik solat waktu kritikal, karangan Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.

Semoga ia membawa manfaat buat semua. InsyaAllah.

Frequently asked questions

How do I perform Cara Solat Di Atas Bot Dan Kapal (Panduan Lengkap)?

The Cara Solat Di Atas Bot Dan Kapal (Panduan Lengkap) guide is broken into 8 clear steps, each with Arabic text and Rumi transliteration so it is easy to follow.

How many steps does Cara Solat Di Atas Bot Dan Kapal (Panduan Lengkap) have?

This guide has 8 steps.

Which school of jurisprudence does this guide follow?

This content follows the shafii school.