Mukadimah
Bilakah masa yang paling baik untuk kita memanjatkan doa?
Dan sejauh manakah doa berperanan membantu kita merungkai masalah kehidupan?
Panduan ini akan mengupas beberapa perkara penting tentang doa, antaranya:
- Masa-masa terbaik untuk berdoa,
- Adab-adab ketika berdoa,
- Syarat-syarat doa diperkenankan
- Punca-punca doa tidak diterima.
Lebih utama daripada itu, anda akan memahami mengapa doa begitu penting dalam menyelesaikan setiap kemelut hidup kita.
Sebab itulah panduan ini wajar anda baca sehingga habis.
InsyaaAllah ia bakal memberi input yang bermanfaat untuk kehidupan kita.
Apakah Kepentingan Doa Kepada Hidup?
Allah SWT berfirman:
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-ku, nescaya Aku perkenankan untukmu — Surah Ghafir ayat 60
Islam adalah agama yang sangat kaya dengan amalan berdoa.
Bukan setakat urusan-urusan besar sahaja; malah untuk perkara yang dianggap kecil sekalipun, kita tetap diajar oleh Islam supaya berdoa.
Tujuan kita berdoa bukanlah untuk memaklumkan kepada Allah apa yang kita hajati.
Tanpa kita nyatakan pun, segala sesuatu memang telah sedia diketahui oleh Allah.
Dia Maha Mengetahui setiap yang kita zahirkan dan setiap yang kita rahsiakan.
— Kalau begitu, apa perlunya lagi kita berdoa?
Hakikatnya, berdoa itu sendiri adalah satu bentuk pengabdian.
Melalui doa, kita mengiktiraf segala kelemahan, kefakiran, kehinaan, kejahilan serta pelbagai lagi sifat kehambaan kita di hadapanNya.
Doa menjadi bukti sifat kehambaan kita di sisi Allah SWT.
1. Mengekalkan Hubungan Dengan Allah Setiap Masa
Keperluan manusia kepada Allah mengatasi segala keperluan yang lain.
Apabila hati kosong daripada Allah, manusia ibarat ikan yang kehilangan air. Jiwanya akan mati.
Walaupun memiliki segala-galanya, dia tetap akan kehilangan ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian.
Tanpa ikatan yang berterusan dengan Allah, manusia umpama layang-layang yang putus talinya.
Doa pada hakikatnya juga adalah zikir – iaitu interaksi dan komunikasi kita dengan Ilahi dalam bentuk yang paling harmoni.
Allah menyuruh kita berdoa sebagai jalan mengingatiNya, kerana hati hanya akan tenteram dengan mengingati Allah.
Dan pada ketenangan itulah terletaknya hakikat kebahagiaan yang sebenar.
Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:
Yakni mereka yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang — Surah al-Ra’d ayat 28
Sesiapa yang tekun berdoa tidak akan dihimpit tekanan yang melampau mahupun kemurungan dalam hidupnya.
Ini kerana talian hayatnya sentiasa terhubung dengan Allah, lebih-lebih lagi pada saat dia memerlukan pertolongan.
2. Keupayaan Melakukan Perubahan Ke Arah Kebaikan Secara Berterusan
Perubahan adalah keperluan yang berterusan bagi manusia.
Daripada yang kurang baik menjadi baik.
Daripada yang baik meningkat kepada yang lebih baik (cemerlang).
Orang yang berjaya sentiasa menjadikan hidupnya lebih baik daripada semalam — sama ada kebaikan yang berhubung dengan Allah mahupun yang berhubung sesama manusia.
Dan Dia memperkenankan (doa) orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka daripada kurniaNya — Surah al-Syura ayat 26
Doa itu adalah harapan.
Ia menjadi kunci yang menggamit pertolongan Allah bagi merealisasikan perubahan diri yang diimpikan.
Usaha pula ialah langkah menterjemahkan harapan itu menjadi kenyataan.
Ketika berdoa, kita memohon takdir yang terbaik. Ketika berusaha, kita melaksanakan tadbir yang terbaik.
Bila tadbir yang baik bertemu takdir yang baik, insyaaAllah kita akan melangkah ke arah yang lebih baik.
3. Didampingi Oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan
Sepanjang perjalanan hidup ini, ada makhluk lain yang sentiasa mengiringi dan berada di sisi kita.
Sebagai contoh, apabila kita menjamah makanan tanpa berdoa, syaitan turut menumpang makan bersama kita.
Natijahnya, keberkatan makanan itu akan hilang.
Syaitan tidak henti-henti menghasut dengan menyemai keraguan, ketakutan, ketamakan dan pelbagai rasa negatif lain dalam hati.
Dari sinilah bermulanya kejahatan, keresahan dan kegagalan dalam hidup seseorang.
Maka, hanya dengan mengingati Allah melalui doa sahajalah kita dapat mengusir syaitan yang sentiasa mengekori kita.
Sebaliknya, apabila kita berdoa, malaikat pula yang akan mendampingi kita dan membisikkan sarana serta input yang baik-baik ke dalam hati.
Hasilnya, orang yang sentiasa diiringi malaikat akan lebih terjaga tutur katanya, pertimbangannya, keputusannya dan tindak-tanduknya.
Justeru, berdoalah — insyaaAllah malaikat akan mendekat, manakala syaitan akan menjauh.
4. Membentangkan Masalah Dengan Jelas
Langkah pertama dalam menyelesaikan masalah ialah berdoa.
Secara tidak langsung, doa merupakan cara kita membentangkan masalah untuk dicari penyelesaiannya.
Sayangnya, ramai yang hanya resah gelisah tanpa hala tuju apabila diuji. Mereka buntu, malah ada yang langsung tidak mengenal pasti apa sebenarnya masalah mereka.
Doa membantu kita menterjemahkan masalah ke dalam bentuk kata-kata.
Melalui doa, masalah yang tadinya kabur dan samar bertukar menjadi nyata dan jelas.
Ia ibarat menulis masalah kita di atas kertas. Berdoa seakan-akan kita “berbicara” dengan Allah.
Maka ketika kita memohon, merayu, mengadu dan mencurahkan segala isi hati kepada Allah, kata-kata itu samalah seperti membentangkan masalah kita di hadapan-Nya.
Perbuatan ini mendatangkan kelegaan, bahkan masalah tersebut boleh dikatakan sudah separuh selesai!
5. Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Kebuntuan
Pakar psikologi menyatakan bahawa jarang sekali ada manusia yang cukup tabah untuk memikul masalah yang paling rumit dan pahit seorang diri.
Ada ketikanya kita benar-benar memerlukan insan lain untuk mendengar dan menjadi tempat berkongsi masalah.
Namun ada kalanya masalah itu terlalu peribadi sehingga kita malu atau keberatan untuk menceritakannya kepada sesiapa.
Kadangkala pula kerisauan kita terlalu berat sehingga tidak mampu dibincangkan walaupun dengan saudara-mara atau teman rapat.
Pada saat begitu, kepada siapa lagi hendak kita mengadu?
Sudah tentu kepada Allah.
Berdoalah, kerana Allah sentiasa sedia dan setia mendengarnya.
Dengan berdoa, kita merasakan diri “tidak keseorangan” dalam mendepani apa jua kebuntuan hidup.
Adab-Adab Dalam Berdoa
Berdoa juga mempunyai adab-adabnya yang tersendiri.
Antara adab-adab tersebut ialah:
- Berada dalam keadaan berwuduk
- Berada dalam keadaan aurat yang tertutup
- Menghadap ke arah kiblat
- Berdoa dengan penuh khusyuk dan tawaduk
- Tidak terburu-buru
- Memulakannya dengan pujian terhadap kebesaran Allah
- Diikuti dengan selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW
- Melafazkan doa dengan penuh pengharapan agar ia dimakbulkan.
- Menutupnya dengan selawat dan salam
- Elok juga sekiranya kita memahami kandungan dan maksud doa yang dibaca.
Perkara yang paling penting: jangan sesekali putus asa daripada terus bermohon kepada Allah SWT.
Sekiranya kita percaya Allah itu Maha Pemurah, pastinya kita percaya Dia akan melayan setiap permintaan kita.
Sekiranya kita percaya Allah itu Maha Kaya, pastinya kita percaya Dia berkuasa menunaikan apa sahaja yang kita pohon.
Syarat Doa Dimakbulkan
- Memelihara makanan dan minuman agar tidak termasuk yang haram mahupun yang syubhah
- Memastikan harta yang digunakan benar-benar bersih dan halal sumbernya
- Menjauhi segala perbuatan maksiat
- Menjaga fikiran daripada perkara-perkara yang buruk
Waktu Yang Terbaik Untuk Berdoa
Pada asasnya, tiada sekatan masa untuk kita berdoa.
Walau bagaimanapun, ada waktu-waktu dan keadaan tertentu yang lebih afdhal untuk kita mengangkat doa kepada Allah.
Pada waktu-waktu berikut, insyaaAllah doa kita lebih mudah diperkenankan:
- Pada malam al-Qadar (sepuluh malam terakhir yang ganjil dalam bulan Ramadhan)
- Pada hari Arafah (9 Zulhijjah ketika jemaah haji wukuf di Arafah)
- Sepanjang bulan Ramadhan
- Pada malam Jumaat
- Pada hari Jumaat
- Ketika solat Jumaat berlangsung, terutamanya dari saat imam duduk di mimbar sehinggalah imam melafazkan salam.
- Pada waktu tengah malam
- Pada seperdua malam yang kedua (selepas 12 malam)
- Pada sepertiga malam yang pertama (jam 6 sampai 10 malam)
- Pada sepertiga malam yang terakhir (selepas jam 2 pagi)
- Ketika waktu sahur (sebelum fajar)
- Selesai mengambil wuduk
- Ketika azan sedang dilaungkan untuk solat
- Dalam tempoh antara azan dan iqamat
- Ketika iqamat sedang diucapkan
- Ketika berbaris (jalan bersama) menuju medan perang sabil (peperangan mempertahankan ajaran Islam)
- Semasa bertempur di medan perang
- Di penghujung setiap solat fardhu
- Semasa bersujud (sama ada dalam solat atau di luar solat)
- Semasa membaca al-Quran
- Selepas selesai membaca al-Quran
- Semasa meneguk air zam-zam
- Pada waktu ayam jantan berkokok (pada waktu pagi).
- Pada saat umat Islam berhimpun kerana urusan agama
- Pada waktu berhimpun untuk berzikir (iaitu berkumpul menyebut kebesaran Allah dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih, atau berkumpul membaca serta mendalami al-Quran, ataupun berkumpul menuntut ilmu agama Islam)
- Ketika hujan sedang turun.
- Ketika memejamkan mata orang yang baru meninggal dunia.
Sebab-Sebab Doa Ditolak
Salah satu punca doa seseorang tidak diterima ialah hati yang telah buta, disebabkan sepuluh perkara berikut:
- Mengenali Allah, namun tidak melaksanakan perintahNya
- Mendakwa mencintai Rasul Allah, namun mengabaikan sunnahnya
- Membaca al-Quran namun tidak mengamalkan isinya
- Menikmati kurniaan Allah, namun tidak bersyukur kepadaNya
- Mengakui syaitan itu musuh, namun tidak melawannya
- Mempercayai Syurga itu benar, namun tidak beramal untuk mendapatkannya.
- Mempercayai Neraka itu benar, namun tidak berusaha menjauhinya.
- Mempercayai mati itu benar, namun tidak membuat persiapan untuknya.
- Bangkit dari tidur lalu sibuk mengumpat keaiban orang lain, sedangkan keaiban sendiri dilupakan.
- Menyempurnakan pengebumian jenazah (sahabat-sahabatnya) namun tidak menjadikannya iktibar.
Doa Ialah Cara Hidup Yang Menjadi Tradisi Orang Soleh
An-Nu’man Ibn Basyir meriwayatkan daripada Nabi SAW:
Sesungguhnya doa itu ialah ibadah — Hadis riwayat Abu Daud (1479)
Sejak celik mata dari tidur, membersihkan diri, melangkah masuk dan keluar tandas, bersalin pakaian, bercermin, makan dan minum, hinggalah kembali melelapkan mata.
Setiap satu perbuatan itu mempunyai doanya yang tersendiri.
Bahkan hubungan suami isteri pun ada doanya yang khusus.
Di situlah letaknya keunikan Islam.
Mudah-mudahan panduan ini mendatangkan manfaat buat anda.