
Mukadimah
Macam mana sebenarnya cara membaca doa iftitah dengan betul?
Panduan ini menerangkan bacaan doa iftitah yang tepat, lengkap dengan ejaan Rumi supaya lebih senang diikuti.
Hukum-hakam yang berkaitan dengannya turut dijelaskan.
Mudah-mudahan ia bermanfaat buat sesiapa yang baru mula belajar solat.
Pengenalan
Perkataan iftitah membawa erti pembuka, dan doa ini boleh dibaca dalam mana-mana solat fardu.
Ia disunatkan dibaca sejurus selepas mengangkat takbir (takbiratul ihram)
Dalam pelbagai hadis, terdapat lebih kurang 12 versi bacaan doa iftitah yang diriwayatkan.
Namun bagi umat Islam di rantau Asia Tenggara, bacaan iftitah yang biasa diamalkan ialah seperti di bawah.
Lafaz Bacaan Doa Iftitah
Berikut ialah lafaz doa ini:
اللَّهُ أَكۡبَرُ كَبِيرًا وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبۡحَانَ اللَّهِ بُكۡرَةً وَأَصِيلًا، وَجَّهۡتُ وَجۡهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالۡأَرۡضَ حَنِيفًا مُسۡلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الۡمُشۡرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الۡعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا مِنَ الۡمُسۡلِمِينَTransliterasi Doa Iftitah Dalam Rumi
Allaahu Akbaru Kabiiraw
وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ كَثِيرًاWalhamdu Lillaahi KaTsiiRaw
وَسُبۡحَانَ اللَّهِ بُكۡرَةً وَأَصِيلًاWa SubHaaNallaaHi Bukrataw-Wa AsiiLa.
وَجَّهۡتُ وَجۡهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالۡأَرۡضَWajjahTu WajHiya LillaDzii FaThaRas-SaMaaWaaTi Wal Ardh
حَنِيفًا مُسۡلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الۡمُشۡرِكِينَHaniifam-Muslimaw Wamaa Anaa Minal MusyRikiin.
إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الۡعَالَمِينَInna SolaaTii Wa Nusukii Wa MahYaaYa Wa MaMaaTii Lillaahi Robbil ‘AaLamiin.
لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا مِنَ الۡمُسۡلِمِينَLaa SyariiKaLahu Wa BiDzaaLika UmirTu Wa Anaa Minal Muslimiin
Maksud Doa Iftitah
Terjemahannya adalah seperti di bawah:
Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.
Hukum Membaca Iftitah

Adakah Wajib Membaca Doa Iftitah ketika Solat Fardu dan Solat Sunat?
Membaca iftitah dalam solat hukumnya sunat
Ia boleh diamalkan sama ada dalam solat fardu mahupun solat sunat.
Bacaan doa iftitah selepas takbiratul Ihram adalah antara perkara yang dituntut oleh Nabi SAW.
Doa ini pada hakikatnya adalah ungkapan pujian, sanjungan serta pengagungan terhadap Allah SWT.
Banyak sekali hadis yang membuktikan betapa baginda SAW memberi perhatian besar kepada bacaan doa iftitah ini.
Sungguhpun majoriti ulama’ berpandangan bahawa iftitah hanyalah sunat dan solat tetap sah walaupun ia ditinggalkan, tetapi bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh mahu menuruti sunnah Nabi SAW dan melaksanakan perintahnya, sepertimana sabda baginda:
”Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.]
Maka eloklah kita tidak mengabaikan bacaan iftitah ini.
Tambahan pula, memang wujud dalil daripada Nabi SAW yang menjelaskan bahawa iftitah tergolong dalam perkara yang menyempurnakan ibadah solat:
Maksud sabda nabi SAW,
Tidak sempurna solat seseorang sehingga dia menyempurnakan wuduknya sebelum dia bertakbir, memuji Allah ‘Azza wa Jalla, menyanjung-Nya, dan membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah baginya (dihafalnya)…” [Sahih: Sebahagian daripada hadis yang panjang yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 856.]
Rumusan ringkas tentang Doa Iftitah:
- Iftitah hanya dibaca pada rakaat pertama, melainkan jika terlupa.
- Ia dibaca selepas Takbiratul Ihram dan sebelum bacaan surah Al Fatihah.
- Sekiranya terlupa membacanya pada rakaat pertama, doa Iftitah boleh dibaca pada rakaat kedua.
- Makmum masbuq dibenarkan untuk meninggalkan bacaan ini.
Memahami Takbiratul Ihram

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, doa iftitah dibaca sejurus selepas takbir diangkat.
Tetapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan takbiratul ihram?
Takbiratul ihram merujuk kepada lafaz “Allahuakhbar”, dan ia tergolong sebagai salah satu rukun solat
Perkara ini bersandarkan hadis riwayat Ali bin Abi Talib karramullahu wajhah, bahawa Rasulullah bersabda:
Kunci solat itu ialah suci (daripada hadas kecil dan besar), pengharamannya (daripada perkara-perkara yang harus seperti makan dan minum) ialah ucapan takbir dan penghalalannya (melakukan perkara-perkara yang harus seperti makan dan minum) ialah ucapan salam — Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan al-Darimi
Berikut ialah syarat-syarat Takbiratul Ihram:
- Takbiratul ihram mesti dilafazkan dalam keadaan sudah tetap berdiri, bukan semasa masih dalam pergerakan bangun untuk menunaikan solat.
- Hendaklah menghadap kiblat semasa melafazkannya.
- Mesti dilafazkan dalam bahasa Arab. Sesiapa yang belum mampu mempelajarinya boleh melafazkannya dalam bahasa lain yang membawa makna yang sama dengan takbiratul ihram, namun dia tetap diwajibkan berusaha mempelajari lafaznya dalam bahasa Arab.
- Hendaklah mendengar kesemua huruf yang diucapkan.
- Lafaz takbiratul ihram mesti diiringi dengan niat solat.
Was-was Dalam Takbiratul Ihram
Perasaan was-was ketika takbiratul ihram sebenarnya adalah tipu daya syaitan.
Bagi mereka yang dihinggapi penyakit was-was, disunatkan mengucapkan “Laa ilaha illallah” sebelum bertakbiratul ihram, kerana syaitan akan lari menjauh apabila mendengar kalimah tersebut.
Ada juga ulama yang menyatakan bahawa bagi menghapuskan was-was dalam solat, seseorang itu perlu membaca “Auuzubillahi mina syaitonirrajim” sebelum melakukan takbiratul ihram.
Soalan Lazim Berkaitan Doa Iftitah

Bahagian ini menghimpunkan beberapa persoalan yang sering ditanya tentang doa iftitah.
Saya Tidak Menghafal Doa Iftitah, Adakah Solat Saya Sah?
Doa iftitah, iaitu doa pembukaan, bukan termasuk dalam rukun yang wajib. Ia hanyalah sunat hai’at yang digalakkan. Sesiapa yang belum tahu membacanya tetap boleh menunaikan solat tanpa doa ini, dan solat tersebut sah.
Namun begitu, adalah dianjurkan untuk mempelajarinya kerana sunat hai’at ini mempunyai kelebihan yang besar.
Jika Terlupa, Adakah Saya Perlu Membaca Semula Doa Iftitah Sebelum Sujud?
Sekiranya surah al-Fatihah sudah dibaca, doa iftitah tidak boleh dibaca lagi kerana ia hanya disyariatkan sejurus selepas takbiratul ihram.
Dalam situasi begini, tinggalkan sahaja doa iftitah dan sambung bacaan surah al-Fatihah seperti biasa.
Bilakah Doa Iftitah Ini dibaca Ketika Dalam Solat?
Tempat bacaan doa iftitah ialah selepas takbiratul ihram dan sebelum surah al-Fatihah dibaca.
Adakah Perlu Membaca Iftitah Dalam Solat Sunat?
Bacaan doa iftitah disunatkan bagi kesemua jenis solat sunat.
Jika Waktu Solat Sudah Hampir Tamat, Adakah Saya Perlu Membaca Doa Iftitah Juga?
Apabila waktu solat sudah terlalu suntuk, doa iftitah tidak lagi disunatkan.
Jika Menjadi Makmum Masbuk, Adakah Perlu Membaca Doa Iftitah?
Bagi makmum masbuk, iaitu mereka yang terlambat menyertai solat bersama imam, bacaan doa iftitah tidak lagi dituntut.
Adakah Perlu Baca Doa Iftitah Dalam Solat Jenazah?
Dalam solat jenazah, doa iftitah tidak disunatkan.
Penutup
Harapan kami agar panduan ini membantu anda menunaikan solat dengan lebih sempurna.
Panduan ini disusun khusus untuk para pelajar sekolah, mereka yang baru berjinak-jinak dengan solat, serta muallaf yang baru menganut Islam.