
Mukadimah
Apakah tindakan yang sepatutnya diambil apabila imam terlupa ketika solat berjemaah?
Ada kalanya berlaku keadaan dalam solat berjemaah di mana imam tersilap atau terlupa sesuatu dalam solatnya.
Jadi, apakah yang wajar dilakukan, sama ada kita sebagai makmum mahupun sebagai imam?
Justeru, panduan ini akan mengupas persoalan imam yang lupa dalam solat.
Jom kita mulakan..
- Kesilapan imam yang biasa terjadiImam lupa membaca al-fatihah pada rakaat keduaImam duduk tahiyat pada rakaat pertamaImam melakukan lebih rakaatImam melakukan 3 kali sujudImam beri salam sebelum melakukan sujud sahwi
- Imam tidak yakin dengan teguran makmum
- Ragu-ragu dengan bilangan rakaat imam
- Hukum berimam dengan orang yang tidak boleh membaca dengan betul (Ummiy)
- Adab ketika mendengar bacaan imam
Kesilapan Imam Dalam Solat Yang Biasa Terjadi
Berikut dihimpunkan beberapa bentuk kesilapan dan kelupaan imam yang kerap berlaku dalam solat berjemaah.
1. Imam terlupa membaca surah al-Fatihah pada rakaat yang kedua solat jahriyyah (Maghrib, Isyak dan Subuh)
Apabila ini berlaku, makmum sepatutnya menegur imam dengan menyebut سُبۡحَانَ اللّه (Subhanallah) serta memperdengarkan bacaan al-Fatihah agar imam menyedari kesilapannya.
Perhatian:
Imam tidak boleh ditegur menggunakan perkataan yang bukan zikir, contohnya dengan menyebut “al-Fatihah”, kerana perbuatan itu membatalkan solat atas sebab bercakap dengan sengaja.
Bercakap dengan sengaja ketika solat adalah haram hukumnya dan menyebabkan solat terbatal.
Nabi SAW bersabda dengan maksud:
Sesungguhnya solat ini tidak boleh dalamnya ada sesuatu daripada perkataan manusia. Solat itu hanyalah tasbih, takbir dan bacaan al-Quran (Riwayat Muslim)
Di dalam Kitab Minhaj ath-Tholibin dinyatakan:
Batal solat dengan sebab menuturkan sekurang-kurangnyaa kata-kata yang mengandungi dua huruf atau satu huruf yang memberi faham”
2. Imam duduk tahiyat awal pada rakaat pertama
Apabila ini berlaku, makmum perlu mengambil beberapa tindakan berikut:
- Para makmum wajib berdiri dan menyedarkan imam dengan ucapan سُبۡحَانَ اللّٰه supaya imam perasan, seterusnya bangkit daripada duduk yang tersilap itu.
- Sekiranya imam masih tidak berdiri walaupun sudah ditegur, makmum yang berdiri tadi mempunyai dua pilihan: melakukan Mufaraqah (berpisah) daripada imam, atau terus menunggu sehingga imam bangkit.
- Makmum yang turut duduk bertasyahhud sedangkan dia sedar imam sedang tersilap dikira sengaja melakukan kesalahan, maka solat makmum itu batal.
- Makmum yang turut duduk kerana terlupa pula tidak batal solatnya.
3. Imam bangun kepada rakaat yang lebih; seperti rakaat kelima bagi solat Asar atau rakaat keempat bagi solat Maghrib
- Para makmum wajib kekal duduk pada tahiyat akhir sambil menunggu imam, dan menyedarkan imam dengan ucapan subhanaAllah supaya imam perasan lalu kembali duduk.
- Sekiranya imam tidak turun duduk semula walaupun sudah ditegur, makmum yang duduk tadi mempunyai dua pilihan: mufaraqah daripada imam, atau terus menunggu sehinggalah imam bertasyahhud (tahiyat).
- Makmum yang turut berdiri sedangkan dia sedar imam berada pada kedudukan yang salah dikira sengaja melakukan kesalahan. Solat makmum itu batal.
- Makmum yang turut berdiri kerana terlupa pula tidak batal solatnya.
Tambahan:
Sekiranya makmum yang mengikut imam bangkit ke rakaat kelima itu ialah makmum masbuk dan dia mengetahui imam sedang menambah rakaat yang lebih, maka ikutannya tidak sah.
Namun jika dia mengikutinya dalam keadaan jahil dan sempat memperoleh semua rakaat bersamanya, ikutannya dikira sah dan rakaat lebihan itu dihitung untuk dirinya menurut qaul yang sahih.
4. Imam melakukan sujud ketiga pada duduk tahiyat akhir
- Sekiranya imam sujud setelah berlalu tempoh yang mencukupi untuk bacaan tasyahhud, para makmum wajib menyertai imam dalam sujud ketiga itu dan ia dikira sebagai sujud sahwi yang dilakukan imam.
- Sekiranya imam sujud sebelum berlalu tempoh sepanjang bacaan tasyahhud, para makmum tidak harus mengikutinya kerana sujud itu dikira dilakukan atas kelupaan, dan ia tidak boleh dianggap sujud sahwi memandangkan waktunya masih belum tiba.
5. Imam memberi salam sebelum melakukan sujud sahwi
- Makmum hendaklah terus menunggu dalam keadaan tasyahhud akhir sehingga pasti bahawa imam benar-benar telah keluar daripada solat melalui salam tersebut; selepas itu barulah makmum boleh melakukan sujud sahwi.
- Makmum yang menyedari imamnya memberi salam kerana terlupa, lalu terus melakukan sujud sahwi tanpa berniat mufaraqah, dikira sengaja menambah perbuatan yang tidak dilakukan oleh imamnya. Perbuatan sengaja itu membatalkan solat makmum tersebut.
- Makmum yang menyedari imamnya memberi salam kerana terlupa tuntutan sahwi, namun turut memberi salam, dikira sengaja keluar daripada solat melalui salamnya itu. Andai imam kemudiannya teringat akan sujud sahwi selepas salamnya yang tidak disengajakan itu lalu melakukannya, makmum tersebut tidak lagi dituntut mengerjakan sujud sahwi berkenaan.
- Makmum yang memberi salam bersama imam kerana terlupa tuntutan sujud sahwi pula wajib kembali melakukan sujud sahwi sebaik imamnya kembali mengerjakan sujud tersebut setelah tersedar daripada kelupaannya, kerana ikutan makmum itu belum terputus dengan salam imam yang terlupa tadi.
Bagaimana Jika Imam Tidak Yakin Dengan Teguran Makmum?
Apabila imam terlupa dan makmum bertasbih untuk menyedarkannya, imam hendaklah menerima teguran itu sekiranya dia memang teringat bahawa dia benar-benar terlupa.
Namun sekiranya dia tidak teringat dan tidak yakin terhadap peringatan yang diberikan makmum, maka tidak harus baginya menuruti teguran makmum tersebut.
Malah imam wajib beramal berdasarkan keyakinan dirinya sendiri dan tidak boleh bertaklid kepada para makmum walaupun jumlah mereka ramai, menurut qaul yang sahih.
Imam an-Nawawi menyatakan,
Ada dua qaul dalam masalah makmum yang ramai dimana bilangannya begitu banyak dan jelas hingga tidak munasabah mereka boleh sahaja serentak membuat salah. Menurut qaul yang pertama, imam jangan merujuk kepada perkataan mereka dan menurut qaul yang kedua, imam hendaklah merujuk kepada perkataan mereka”.
Imam an-Nawawi dalam Al-Bayan, menukilkan bahawa majoriti Ashaab asy-Syafi’I berpandangan imam tidak sepatutnya merujuk kepada perkataan para makmum.
Namun Abu Ali ath-Thobari pula berpandangan bahawa imam sewajarnya merujuk kepada perkataan mereka.
Ragu-Ragu Bilangan Rakaat Solat Imam.
Sekiranya makmum tidak pasti sama ada imam telah menunaikan empat rakaat atau baru tiga rakaat bagi solat Zohor, perlukah dia menyebut سُبۡحَانَ اللّه bagi menyedarkan imam?
Ar-Rauyani berpandangan:
Ucapan سُبۡحَانَ اللّه tidak diperlukan, kerana yang nyata dalam keadaan ini imam berkeyakinan dia telah menunaikan empat rakaat, sementara makmum sendiri tidak pasti tentang kesilapan imam itu.
Justeru, dia tidak wajar mengganggu imam dengan ucapan tasbih.
Walau bagaimanapun, sekiranya makmum terus melakukan mufaraqah daripada imam dengan segera, dia hendaklah menambah satu rakaat lagi dan melakukan sujud sahwi disebabkan keraguannya itu.
Hukum Berimamkan Seorang Yang Tidak Boleh Membaca Dengan Betul (Ummiy)
Sekiranya terbukti imam yang diikuti itu seorang yang ummiy (tidak tahu membaca), maka solat tersebut tidak sah.
Sekiranya seorang yang ummiy mengimamkan jemaah yang terdiri daripada orang yang tahu membaca dan orang yang tidak tahu membaca, solat jemaah yang ummiy itu sah, sementara solat jemaah yang tahu membaca pula tidak sah dan mereka wajib mengulangi solat mereka semula.
Hukum 1: Menurut Al-Bandihiy, sekiranya seseorang yang mahir membaca berimamkan orang yang pelat bacaannya — misalnya dia gagal menyebut huruf ق mengikut makhraj yang tepat, sebaliknya bunyi yang keluar berada antara ك dan ق — maka solatnya sah namun makruh.
Menurut Abu Hamid pula, sekiranya imam itu menyebut ذ dalam ayat الذين انعمت عليهم dengan bunyi د maka ikutannya tetap sah kerana sebutan seperti itu tidak mengubah makna ayat.
Hukum ini tidak terpakai kepada imam yang menggantikan bunyi ض dengan ظ dalam ayat ولا الضالين kerana pertukaran itu mengubah makna ayat; الظالين bermakna “Orang-orang yang bermukim pada waktu siang hari,” sedangkan الضالين bermakna “Orang-orang yang sesat”.
Hukum 2: Makmum yang qari’ (pandai membaca) wajib melakukan mufaraqah apabila mendapati imamnya tersilap dalam bacaan al-Fatihah, atau menggugurkan huruf-huruf al-Fatihah, ataupun meninggalkan sabdu dalam bacaan al-Fatihahnya.
Hukum 3: Solat para makmum tetap sah apabila mengikuti imam yang tersilap dalam bacaan surah-surah lain, selagi mana bacaan al-Fatihahnya elok.
Adab Ketika Mendengar Bacaan Imam
- Para makmum disunatkan mendengar serta menghayati setiap ayat dan surah yang dibacakan oleh imam.
- Makmum juga disunatkan berdoa memohon rahmat setiap kali mendengar imam membaca ayat-ayat yang menyentuh tentang rahmat, dan memohon perlindungan setiap kali imam membaca ayat-ayat berkenaan azab neraka.
Lima Tempat Berhenti Sejenak (Saktah) Dalam Solat
Imam disunatkan memelihara lima saktah ketika solat.
Saktah membawa maksud diam atau berhenti sejenak pada situasi-situasi berikut:
- Saktah sesudah takbiratul ihram, sebelum memulakan doa iftitah
- Saktah sesudah doa iftitah selesai dibaca
- Saktah sesudah ولا الضالين iaitu disunatkan diam seketika sebelum menyebut آمين agar آمين itu tidak disangka sebahagian daripada surah al-Fatihah.
- Saktah sesudah آمين iaitu sebelum memulakan bacaan surah. Imam disunatkan diam seketika bagi memberi ruang masa kepada makmum menghabiskan bacaan surah al-Fatihah, melainkan jika makmum itu seorang yang pekak, maka tidak disunatkan berhenti seketika untuknya.
- Saktah sesudah bacaan surah, iaitu diam seketika sebelum turun untuk rukuk.
Rujukan & Penutup
Panduan ini dirujuk daripada buku panduan imam & makmum karya Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany.
Mudah-mudahan perkongsian ini memberi input yang bermanfaat kepada semua pembaca.
Terima kasih.