
Mukadimah
Bagaimanakah hendak menunaikan solat sewaktu berada dalam penerbangan kapal terbang?
Panduan ini akan menghuraikan sepenuhnya kaedah melaksanakan solat di dalam kapal terbang dengan cara yang betul lagi tepat.
Justeru, anda akan dibimbing secara mudah dan lengkap, dalam bahasa yang boleh difahami oleh sesiapa sahaja.
Jadi, tanpa berlengah lagi, mari kita mulakan.
Pengenalan Mengenai Solat Di Dalam Penerbangan
Perihal solat di dalam kapal ada direkodkan dalam hadis yang diterima daripada Ibnu Umar.
Menurut beliau, Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai solat di atas kapal, lalu Baginda menjawab:
Solatlah di sana dengan berdiri, kecuali apabila engkau takut tenggelam” — Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Turut diterima daripada Abdullah bin Abi ‘Utbah:
Saya menyertai Jabir bin Abdullah, Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah di dalam sebuah kapal. Mereka bersolat sambil berdiri dan berjemaah dengan diimami oleh salah seorang daripada mereka, padahal mereka sedang menghampiri pantai” — Riwayat Said bin Mansur
Keadaan solat di dalam kapal terbang, tidak kira penerbangan dalam negara mahupun ke luar negara, adalah serupa dari segi pelaksanaan rukun, cara mengambil wuduk, penentuan arah kiblat serta tayamum; cuma terdapat sedikit perbezaan pada aspek penentuan waktu solat.
Memandangkan solat ini kebiasaannya ditunaikan ketika bermusafir, ia boleh dikerjakan secara jamak dan qasar.
Solat di dalam kapal terbang boleh ditunaikan secara berdiri di kabin belakang (sewaktu penerbangan tenang), dan secara duduk apabila keadaan kapal terbang kurang stabil.
Penentuan Arah Kiblat Dalam Kapal Terbang
Oleh sebab pergerakan pesawat menjadikan arah kiblat susah ditetapkan, penumpang perlulah berusaha menentukan arah kiblat dan yakin terhadap arah yang dipilihnya itu.
Sekurang-kurangnya, dia mestilah menghadap ke arah kiblat semasa takbiratul ihram.
Andai usaha sudah dibuat namun arah kiblat masih tidak ditemui, sama ada ketika berada dalam kenderaan seperti kapal terbang mahupun kereta api, maka dalam situasi sebegini arah kiblat yang tepat hendaklah dianggarkan.
Perkara ini bersandarkan maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam kitab beliau, Sunan al-Kubra, serta Imam ash-Syaukani dalam kitab Nail al-Authar.
Daripada Jabir bin Abdullah RA yang bermaksud:
Kami pernah solat pada satu malam yang mendung dan tidak mengetahui arah kiblat. Apabila kami solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah kiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah lalu Baginda bersabda, ‘Kamu telah melakukan yang terbaik’. Seterusnya Jabir berkata, ‘Dan Baginda tidak menyuruh kami mengulanginya’.” — Riwayat Imam al-Baihaqi
Kaedah Solat Di Dalam Kapal Terbang
Cara menunaikan solat fardu di dalam kapal terbang adalah serupa dengan cara bersolat di dalam kenderaan awam.
Cuma apabila berlaku kesukaran, kesempurnaan gerakan solat itu akan berkurang sekadar dengan tahap kesukaran yang dihadapi.
Ia ada persamaan dengan kaedah solat orang sakit dalam sesetengah keadaan, dan berbeza pula dalam keadaan yang lain, iaitu:
- Berusahalah sedaya mungkin mencari ruang yang membolehkan solat ditunaikan dengan sempurna.
Tanyakan kepada anak kapal tentang ruang yang paling sesuai untuk bersolat.
Sekiranya ruang tersebut sedang digunakan oleh mereka kerana kesibukan tugas kabin, tunggulah sehingga tugas mereka berkurang ataupun selesai.
Pilihan lain ialah menaiki penerbangan syarikat Muslim, kerana anak kapalnya lebih memahami keperluan kita berbanding syarikat penerbangan bukan Muslim.
- Sekiranya tiada ruang untuk bersolat, tunaikanlah solat di kerusi anda sendiri, dengan tundukan sujud lebih rendah daripada tundukan rukuk.
Tuntutan menghadap kiblat tetap terpakai sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.
- Sekiranya berdepan dua pilihan; pilihan pertama membolehkan solat menghadap ke arah kiblat tetapi terpaksa duduk.
Pilihan kedua pula membolehkan solat dikerjakan dengan sempurna tetapi tidak dapat menghadap kiblat kecuali pada takbir yang pertama; maka hendaklah dia mendahulukan solat yang menghadap ke arah kiblat walaupun secara duduk.
Di atas kenderaan yang bergerak seperti kapal laut, kereta api dan pesawat, seseorang itu wajib berikhtiar menghadap kiblat sekadar termampu dengan sebaik-baiknya.

Ini kerana solat secara duduk memang diharuskan oleh nas yang jelas apabila berhadapan dengan kesukaran.
Adapun solat tanpa menghadap kiblat secara sempurna hanyalah suatu keharusan yang diijtihadkan.
- Sekiranya pesawat bergoyang sedikit ketika sedang bersolat, dibolehkan berpaut atau bersandar seketika pada dinding mahupun kerusi untuk mengimbangkan badan.
Ia mengingatkan kita kepada sunah Rasulullah SAW yang bersolat sambil bersandar pada tiang setelah usia Baginda lanjut.
- Sekiranya goyangan pesawat kuat sehingga membimbangkan, dibolehkan solat sambil duduk, dengan rukuk secara membongkok dan sujud seperti biasa hingga mencecah lantai pesawat.
Sekiranya solat dimulakan secara berdiri lalu pesawat mula bergoyang di pertengahannya, teruskan sahaja solat itu sambil duduk sehingga selesai tanpa perlu memulakannya semula.
- Sekiranya goyangan pesawat terlalu teruk sehingga terpapar tanda “Pasang tali pinggang keselamatan” atau “Fasten seat belt”, maka eloklah duduk dahulu dan tunaikan solat kemudian setelah keadaan kembali tenang.
Penutup: Islam Tidak Memaksa Melakukan Perkara Yang Bahaya
Memaksakan diri dalam ibadah sampai mengundang kecederaan bukanlah perkara yang disukai oleh agama.
Bahkan seseorang itu akan dipertanggungjawabkan sekiranya kecederaan tersebut menghalangnya daripada meneruskan ibadah yang lain, mencuaikan amanah yang ditanggungnya, dan turut membebankan orang lain pula.
Justeru, sekiranya goyangan pesawat berpanjangan sehingga dijangka waktu solat akan terlepas (misalnya solat subuh), maka kerjakanlah ia sambil duduk di kerusi sendiri.
Rujukan bagi panduan ini ialah buku praktik solat waktu kritikal, karangan Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.
Semoga ia membawa manfaat buat semua.