
Mukadimah
Bagaimanakah kaedah istinjak yang sahih?
Panduan ringkas ini disusun untuk memudahkan anda memahami maksud istinjak serta cara melakukannya dengan betul.
Selain itu, anda juga akan mengenali syarat-syarat istinjak dan perkara yang dilarang ketika melakukannya.
Jom kita teruskan tanpa berlengah..
Apa Maksud Istinjak?
Istinjak bermaksud membersihkan najis daripada tempat ia keluar, sama ada qubul atau dubur (jalan hadapan atau jalan belakang), dengan menggunakan batu mahupun air. Hukum mengerjakan istinjak ialah wajib.
Najis yang wajib disucikan merangkumi najis yang lazim seperti tahi dan air kencing, mahupun yang jarang berlaku seperti air mazi, air mani atau darah.
Cara-Cara Istinjak
Berikut ialah langkah-langkah yang betul untuk melakukan istinjak:
- Buang najis terlebih dahulu dengan benda kesat seperti batu atau tisu.
- Bilas qubul atau dubur dengan air mutlak sehingga lenyap rupa, warna dan bau najis tersebut. Inilah cara istinjak yang paling utama.
- Jika tiada benda kesat, memadai untuk beristinjak dengan air sahaja.
- Apabila ada pilihan antara benda kesat dan air, mendahulukan air adalah lebih utama.
Syarat-Syarat Menggunakan Batu atau Benda Kesat
Berikut ialah syarat-syarat yang perlu dipenuhi apabila menggunakan batu atau benda kesat untuk istinjak:
- Alat bersuci yang digunakan mestilah suci, kering dan kesat supaya mampu menghilangkan najis, seperti batu, kayu, daun dan tisu.
- Najis yang hendak disucikan masih belum kering serta tidak terkena air atau benda lain.
- Najis itu tidak meleleh jauh dari tempat keluarnya. Contohnya, air kencing tidak melepasi kepala zakar dan najis dari dubur tidak melepasi bahagian punggung yang bertangkup ketika berdiri.
- Ulang sehingga tiga kali dengan sekurang-kurangnya tiga ketul batu, atau tiga penjuru batu bagi batu yang besar. Sekiranya perlu ditambah, sunat menambahnya mengikut bilangan ganjil seperti lima, tujuh dan seterusnya.
Benda-Benda yang Tidak Boleh Digunakan untuk Istinjak
Ada beberapa ketentuan berkaitan objek yang dilarang dipakai untuk beristinjak.
- Najis itu sendiri atau benda yang telah terkena najis.
- Bahan makanan seperti roti atau tulang.
- Benda yang dimuliakan seperti lembaran ilmu dalam buku, maksud al-Quran dan potongan hadis.
Adab-Adab Membuang Air dan Istinjak
Di bawah ini disenaraikan adab-adab ketika membuang air serta melakukan istinjak.
Adab Memilih Tempat
- Jangan membuang air di laluan awam, di dalam lubang binatang, di tanah atau dinding, di bawah pokok serta di dalam air yang bertakung.
- Membuang air di atas kubur hukumnya haram.
- Sebaik-baiknya buang air di tempat yang khas disediakan, iaitu tandas.
- Jangan mengadap atau membelakangi kiblat apabila terpaksa membuang air di kawasan terbuka, iaitu yang tiada dinding atau jaraknya dengan dinding melebihi tiga hasta (150cm).
- Jangan membawa benda yang tertulis ayat-ayat al-Quran atau nama-nama Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Adab Masuk dan Keluar Tandas
- Sunat melangkah masuk dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan.
- Jangan membawa masuk benda yang tertulis nama-nama Allah SWT, ayat-ayat al-Quran ataupun nama Rasulullah.
- Sunat membaca doa sebelum masuk tandas dan doa selepas keluar daripadanya.
- Elakkan daripada memandang najis dan kemaluan.
- Jangan berkata-kata semasa membuang air kerana perbuatan itu makruh.
- Beristinjak dengan tangan kiri. Makruh menggunakan tangan kanan melainkan dalam keadaan terpaksa.
- Pakai alas kaki bagi memastikan kaki kekal bersih daripada najis.
Penutup
Mudah-mudahan panduan ini memberi manfaat kepada anda dalam menangani persoalan taharah sepanjang kehidupan harian.
Nota Rujukan
- Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid
- Ensiklopedia Solat: A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa