
Mukadimah
Inilah panduan menyeluruh tentang Solat Sunat Rawatib yang menghimpunkan niat, cara pelaksanaan serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya.
Melalui panduan ini, anda akan dibantu untuk mendirikan solat rawatib dengan cara yang ringkas dan senang difahami oleh sesiapa sahaja.
Apa yang menarik:
Setiap langkah akan diterangkan satu persatu sehingga anda selesai mengerjakannya. Semua bacaan turut disertakan dengan transliterasi rumi supaya lebih mudah diikuti.
Jom, mari kita mulakan panduan ini tanpa berlengah lagi.
Apakah Maksud Solat Rawatib?
Solat sunat rawatib ialah solat tambahan yang mengiringi solat fardu lima waktu, sama ada dikerjakan sebelumnya (Qabliyyah) ataupun selepasnya (Ba’diyyah). Tujuannya adalah untuk menampung sebarang kekurangan yang berlaku dalam solat fardu. Solat sunat ini didirikan secara bersendirian dan sangat dianjurkan dalam Islam.
Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, solat sunat rawatib turut dikenali sebagai solat yang mempunyai waktu.
Sebabnya, waktu untuk mengerjakan solat sunat rawatib adalah waktu yang sama dengan waktu solat fardu itu sendiri.
Apabila waktu solat fardu telah masuk, solat sunat rawatib sudah boleh didirikan, dan tempoh waktunya berlanjutan sehinggalah waktu solat fardu tersebut berakhir.
Pembahagian Solat Rawatib adalah seperti berikut:
- Solat sunat Qabliyyah (solat sunat yang dikerjakan sebelum solat fardu)
- Solat sunat Ba’diyyah (solat sunat yang dikerjakan selepas solat fardu)
Sesiapa sahaja boleh mengerjakan Sunat Rawatib ini, termasuklah orang musafir yang menunaikan solat fardu secara qasar.
Sunat Rawatib tidak dimulakan dengan azan mahupun iqamah.
Solat ini juga dikerjakan seorang diri, bukannya secara berjemaah.
Waktu Solat Sunat Rawatib
Solat Sunat Rawatib (Qabliyyah) dikerjakan selepas azan berkumandang (setelah masuk waktu) solat fardu, dan didirikan sebelum iqamah sekiranya anda bersolat di masjid. Sekiranya dikerjakan di rumah, ia tidak tertakluk kepada tempoh antara azan dan iqamah.
Manakala Solat Sunat Rawatib (Ba’diyyah) pula didirikan sebaik sahaja kita selesai menunaikan solat fardu.

Dua Jenis Solat Sunat Rawatib (Muakkad Dan Tidak Muakkad)

Dari segi hukum sunatnya, pelaksanaan solat sunat rawatib terbahagi kepada dua kategori yang berlainan, iaitu:
- Solat Sunat Rawatib Muakkad (Amat Dituntut)
Solat sunat rawatib jenis ini diamalkan oleh Rasulullah SAW secara istiqamah, tetap dan berkekalan, di mana Baginda tidak pernah sekali pun meninggalkannya.
- Solat Sunat Rawatib Bukan Muakkad (Baik Jika Dilakukan)
Solat sunat rawatib jenis ini merupakan amalan biasa Rasulullah SAW; ada masanya Baginda mengerjakannya dan ada masanya pula Baginda tidak melakukannya.
Menerusi kitab Radd al-Mukhtar, Ibn Abidin menjelaskan bahawa sunnah ialah perkara yang menjadi amalan tetap dan kebiasaan Rasulullah SAW.
Sekiranya sesuatu sunnah itu langsung tidak pernah ditinggalkan Baginda, ia dikira sunnah muakkad. Manakala jika sunnah itu kadangkala ditinggalkan oleh Baginda, ia tergolong sebagai sunnah bukan muakkad.
Solat Sunat Rawatib Yang Dituntut (Muakkad)
Solat Sunat Rawatib kategori muakkad (amat dituntut) merangkumi solat sunat sebanyak sepuluh rakaat kesemuanya, iaitu:
- Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu subuh
- Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat
- Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
- Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu maghrib.
- Solat sunat dua rakaat selepas solat fardu isyak.
Sepuluh rakaat solat sunat rawatib ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA yang mana beliau berkata:
Aku pernah melaksanakan solat sunat bersama Rasulullah SAW iaitu dua rakaat sebelum solat zuhur, dua rakaat selepas solat zuhur, dua rakaat selepas solat jumaat, dua rakaat selepas solat maghrib dan dua rakaat selepas solat isyak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keutamaan serta ganjaran bagi solat sunat rawatib muakkad ini dinyatakan menerusi hadis riwayat Ummu Habibah binti Abu Sufyan yang berkata:
Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Tidaklah seorang hamba yang muslim itu melaksanakan solat kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam sehari sebanyak dua belas rakaat sebagai tawattu’ (solat sunat) dan bukan fardu melainkan Allah SWT akan membina untuknya sebuah rumah di Syurga” (Hadis riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi dalam Syarah Riyadh al-Solihin menerangkan bahawa dua belas rakaat solat sunat rawatib yang disebut dalam hadis tersebut ialah solat sunat empat rakaat sebelum zuhur, solat sunat dua rakaat selepas solat zuhur, solat dua rakaat selepas solat maghrib, solat sunat dua rakaat selepas solat Isyak serta solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh.
Justeru, sesiapa yang mendirikan kesemua dua belas rakaat solat sunat rawatib itu pada waktu siang dan malam dengan penuh keikhlasan, Allah SWT akan mendirikan untuknya sebuah rumah yang khas di dalam syurga.
Solat Sunat Rawatib Bukan Muakkad
Solat sunat rawatib bukan muakkad (ghairu muakkad) pula terdiri daripada solat-solat sunat berjumlah dua belas rakaat, iaitu:
- Solat sunat tambahan dua rakaat sebelum solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
- Solat sunat tambahan dua rakaat selepas solat fardu zuhur atau solat fardu jumaat.
- Solat sunat empat rakaat sebelum solat fardu asar.
- Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu maghrib.
- Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu Isyak.
Dalil bagi dua belas rakaat solat sunat rawatib bukan muakkad ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mughaffal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Antara dua azan (azan dan iqamat) ada solat sunat, antara dua azan ada solat sunat. Kemudian pada kali ketiga, Baginda pun bersabda: Bagi sesiapa yang mahu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Cara Mengerjakan Solat Sunat Rawatib
Berikut adalah ringkasan langkah mengerjakan Solat Sunat Rawatib
- Niat Solat Sunat Rawatib: Mulakan dengan Takbiratul Ihram sambil berniat di dalam hati: “Sahaja aku solat sunat [waktu tertentu] dua rakaat kerana Allah Taala”. Tukarkan [waktu tertentu] mengikut waktu solat fardu yang berkenaan (contoh: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, atau Isyak).
- Bacaan dalam Solat: Baca Surah al-Fatihah, kemudian sambung dengan mana-mana surah atau ayat pilihan anda.
- Rukuk dan Sujud: Kerjakan rukuk, diikuti dengan sujud sebanyak dua kali, sambil memelihara tuma’ninah (ketenangan) pada setiap pergerakan.
- Rakaat Kedua: Berdiri semula untuk rakaat kedua sambil membaca Takbir. Baca sekali lagi Surah al-Fatihah serta surah pilihan, kemudian lakukan rukuk dan sujud seperti sebelumnya.
- Tahiyyat Akhir dan Salam: Sesudah rakaat kedua selesai, duduk bagi Tahiyyat Akhir dan tamatkan solat dengan memberi salam.
- Solat Sunat Tambahan: Sekiranya mahu menunaikan solat sunat melebihi dua rakaat, bangunlah semula untuk rakaat tambahan dengan niat yang sama.
- Doa Selepas Solat Sunat Rawatib: Selesai solat, panjatkanlah doa dengan hati yang tulus, memohon agar Allah SWT melimpahkan keberkatan dalam setiap urusan hidup.
Niat Solat Sunat Rawatib
Berikut ialah panduan langkah demi langkah untuk menunaikan solat ini bagi setiap waktu solat fardu:
Solat Sunat SUBUH
Niat Solat Sunat Qabliyah Subuh
Solat rawatib bagi waktu fardu subuh didirikan selepas azan subuh berkumandang (sebelum iqamat), sebanyak dua rakaat.
Cara pelaksanaannya sama seperti mana-mana solat sunat dua rakaat yang lain.
Lafaz niatnya:
Maksudnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الصُّبۡحِ رَكۡعَتَيۡنِ قَبۡلِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىSahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Usolli Sunnatas-Subhi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.
Tidak ada solat rawatib selepas fardu Subuh.
Solat Sunat ZOHOR
Niat Solat Sunat Qabliyah Zohor
Solat sunat rawatib Qabliyyah bagi waktu fardu Zohor dikerjakan selepas azan Zohor dilaungkan dan sebelum iqamat.
Dahulukan sunat rawatib Zohor yang berstatus sunat muakkad.
Lafaz niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهۡرِ رَكۡعَتَيۡنِ قَبۡلِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىUsolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Tunaikan solat sunat ini sepertimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Setelah memberi salam, jika anda mahu dan masih ada kelapangan (iqamat belum dilaungkan), bangunlah terus untuk mendirikan dua rakaat sunat rawatib sebelum zohor yang bukan muakkad pula.
Niat serta cara pelaksanaannya serupa dengan solat rawatib sebelum Zohor yang muakkad.
Setelah selesai solat sunat, barulah solat fardu Zohor ditunaikan.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Zohor
Setelah solat fardu Zohor selesai dan bacaan wirid serta doa telah dihabiskan, kita bangun semula untuk mendirikan solat sunat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Zohor yang berstatus sunat muakkad.
Lafaz niatnya:
Maksudnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهۡرِ رَكۡعَتَيۡنِ بَعۡدِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىSahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Cara menunaikannya serupa dengan solat sunat dua rakaat yang lain.
Setelah memberi salam, sekiranya ingin menambah amalan, bolehlah didirikan pula solat sunat rawatib selepas Zohor yang berstatus sunat bukan muakkad.
Niat dan cara pelaksanaannya sama dengan solat rawatib selepas Zohor yang sunat muakkad.
Solat Sunat ASAR
Niat Solat Sunat Qabliyah Asar
Sunat rawatib bagi waktu fardu asar dikerjakan selepas azan asar dilaungkan dan sebelum iqamat.
Dirikan sunat rawatib Asar sebanyak dua rakaat.
Lafaz niatnya:
Maksudnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الۡعَصۡرِ رَكۡعَتَيۡنِ قَبۡلِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىSahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Usolli Sunnatal ‘Asri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Asar dua rakaat kerana Allah Taala
Tunaikanlah solat sunat ini sepertimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Setelah memberi salam, jika anda berhajat dan masih berbaki masa (iqamat belum dilaungkan), teruskan berdiri untuk mendirikan sunat rawatib sebelum Asar sekali lagi.
Lafaz niat dan caranya sama seperti yang terdahulu.
Tidak ada solat rawatib selepas solat fardu Asar.
Solat Sunat MAGHRIB
Niat Solat Sunat Qabliyah Maghrib
Sunat rawatib bagi waktu fardu Maghrib didirikan selepas azan Maghrib berkumandang dan sebelum iqamat.
Tunaikan sunat rawatib Qabliyyah Maghrib sebanyak dua rakaat.
Lafaz niat:
Maksudnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الۡمَغۡرِبِ رَكۡعَتَيۡنِ قَبۡلِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىSahaja aku solat sunat sebelum Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Dirikan solat sunat ini sepertimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Maghrib
Sesudah menunaikan solat fardu Maghrib serta selesai bacaan wirid dan doa, dirikanlah solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Maghrib.
Cara pelaksanaannya serupa dengan solat sunat dua rakaat yang lain.
Lafaz niatnya ialah:
Maksudnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الۡمَغۡرِبِ رَكۡعَتَيۡنِ بَعۡدِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىSahaja aku solat sunat selepas Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Solat Sunat ISYAK
Niat Solat Sunat Qabliyah Isyak
Solat sunat rawatib bagi waktu fardu Isyak dikerjakan selepas azan Isyak dilaungkan dan sebelum iqamat.
Dirikan sunat rawatib Qabliyyah Isyak sebanyak dua rakaat.
Lafaz niatnya:
Maksudnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الۡعِشَاءِ رَكۡعَتَيۡنِ قَبۡلِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىSahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Tunaikanlah solat sunat ini sepertimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Isyak
Sesudah solat fardu Isyak dan setelah bacaan wirid serta doa selesai, dirikanlah solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Isyak.
Cara menunaikannya sama seperti solat sunat dua rakaat yang lain.
Lafaznya adalah:
Maksudnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الۡعِشَاءِ رَكۡعَتَيۡنِ بَعۡدِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىSahaja aku solat sunat selepas Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Solat Sunat JUMAAT
Niat Solat Sunat Qabliyah Jumaat
Solat sunat Qabliyah Jumaat boleh ditunaikan dalam tempoh antara dua azan, iaitu selagi khatib belum menaiki mimbar untuk menyampaikan khutbah:
أُصَلِّي سُنَّةَ الۡجُمُعَةِ رَكۡعَتَيۡنِ قَبۡلِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىUsolli Sunnatal Jum’ati Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat sebelum Jumaat dua rakaat kerana Allah Taala.
Ketika khatib sedang berkhutbah di atas mimbar, kita dilarang mendirikan sebarang solat kecuali solat sunat tahiyatul masjid, dan diwajibkan meringankan (mempercepatkan) solat tahiyatul masjid tersebut serta tidak dibenarkan menambah dua rakaat lain selain solat sunat tahiyatul masjid yang tadi.
Niat Solat Sunat Ba’diyah Jumaat
Sunat hukumnya mengerjakan solat Sunat Ba’diyah sebaik selesai menunaikan Solat Jumaat.
أُصَلِّي سُنَّةَ الۡجُمُعَةِ رَكۡعَتَيۡنِ بَعۡدِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَىUsolli Sunnatal Jum’ati Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala
Sahaja aku solat sunat selepas Jumaat dua rakaat kerana Allah Taala.
Qadha Solat Sunat Rawatib Yang Tertinggal

Adakah dibolehkan mengqadha solat sunat yang terlepas?
Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’ menerangkan bahawa solat sunat terbahagi kepada dua kategori:
Pertama: Solat sunat yang tidak tertakluk kepada waktu, iaitu yang didirikan kerana sesuatu sebab atau peristiwa — contohnya solat sunat kusuf (solat gerhana), solat sunat istisqa’ dan solat sunat tahiyyatul masjid. Solat sunat kategori ini tidak perlu diqadakan sekiranya tertinggal.
Kedua: Solat sunat yang tertakluk kepada waktu, seperti solat sunat hari raya, solat sunat dhuha dan solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu. Bagi kategori ini, pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi’e ialah sunat mengqadhakan solat tersebut jika tertinggal.
Contohnya:
Sekiranya seseorang terlepas mengerjakan solat sunat qabliyyah zuhur disebabkan solat berjemaah telah pun bermula, dia boleh mengqadakan solat sunat qabliyyah tersebut sesudah solat berjemaah itu selesai.
Hukum sunat mengqadakan solat sunat yang tertakluk kepada waktu ini bersandarkan hadis-hadis berikut:
- Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Sesiapa yang tertidur sehingga meninggalkan solat atau terlupa untuk solat, maka hendaklah dia mendirikan solat apabila sudah menyedarinya” — Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
- Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Sesiapa yang belum melakukan solat sunat dua rakaat sebelum subuh sehinggalah matahari terbit, maka hendaklah dia melakukan solat tersebut (qada)” — Hadis riwayat al-Baihaqi
Di dalam sahih Muslim ada dinyatakan bahawa Nabi SAW pernah mengqadhakan solat sunat ba’diyyah zuhur sesudah solat asar.
Justeru, hukumnya adalah sunat untuk mengqadha solat-solat sunat yang tertakluk kepada waktu apabila ia tertinggal atau terlepas daripada dikerjakan.

Bolehkah Solat Sunat Rawatib Dalam Keadaan Duduk?
Di dalam kitab al-Mu’tamad dinyatakan bahawa solat sunat dibolehkan dikerjakan sambil duduk, walaupun seseorang itu berupaya untuk berdiri. Inilah hukum yang telah disepakati melalui ijmak ulama.
Namun begitu, yang paling afdal ialah menunaikan solat sunat dalam keadaan berdiri.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin al-Husain RA, di mana Nabi SAW bersabda mengenai orang yang bersolat secara duduk:
Sesiapa yang solat secara berdiri, maka itulah yang paling afdal. Sesiapa yang solat secara duduk, maka dia akan mendapat separuh daripada ganjaran orang yang solat secara berdiri. Sesiapa yang solat secara baring, maka dia akan mendapat separuh daripada ganjaran orang solat secara duduk. — Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bolehkah Solat Sunat Rawatib Di Rumah?
Solat Sunat Rawatib tidak disunatkan dikerjakan secara berjemaah. Oleh itu, tempat terbaik untuk menunaikannya ialah di rumah masing-masing berbanding di masjid atau surau — sama ada solat sunat itu pada waktu siang mahupun malam, dan sama ada yang muakkad ataupun ghairu muakkad.
Hukum ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya solat yang paling baik adalah solat seseorang di rumahnya kecuali solat fardu — Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
Begitu juga dengan hadis riwayat Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Jadikanlah rumah-rumah kamu sebagai tempat solat kamu dan janganlah kamu jadikannya sebagai kawasan perkuburan. — Hadis riwayat al-Bukhari
Daripada hadis-hadis di atas, dapatlah difahami bahawa umat Islam dianjurkan untuk menyerikan dan menghidupkan kediaman mereka dengan amalan-amalan soleh, khususnya solat-solat sunat.

Apakah Hikmah Dan Kelebihan Solat Rawatib?
Solat sunat ini menyimpan pelbagai keistimewaan yang tidak ditemui pada ibadah-ibadah lain. Ia boleh diumpamakan seperti gam yang menampal barang yang bocor atau berlubang sehingga barang itu kembali elok dan sempurna.
Menurut Imam Khatib al-Syarbini, hikmah di sebalik pensyariatan solat sunat rawatib ialah untuk menyempurnakan, melengkapkan serta menampal segala kekurangan dan kelalaian yang timbul semasa pelaksanaan solat fardu.
Kadangkala kekurangan sebegini tidak disedari oleh orang yang bersolat, sehinggakan solat fardunya menjadi kurang sempurna.
Antara contohnya ialah kurang khusyu’ semasa solat, tidak menghayati bacaan di dalam solat, mengantuk atau leka seketika, bacaan yang kurang tartil dan seumpamanya.
Di sinilah letaknya peranan solat sunat rawatib, iaitu menampung segala kekurangan tersebut. Perkara ini dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA yang disebut sebelum ini, bahawa Allah SWT akan menjadikan solat-solat sunat seseorang hamba itu sebagai penyempurna kepada kekurangan yang wujud pada solat fardunya.
- Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.” — Hadis riwayat Tirmizi
- Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka” — H.R. Abu Daud & Tirmidzi
- Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” — Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi
- Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” — H.R. At-Tabrani
Begitulah hebatnya sunat rawatib, dan sewajarnya kita berlumba-lumba mengejar pahalanya serta berusaha meraih sinar kebaikan daripada-Nya.
Lawanlah rasa malas itu dengan memujuk hati agar tergerak untuk mendirikan amalan solat sunat ini.
Ayuh kita sama-sama berusaha membimbing diri sendiri, anak-anak dan ahli keluarga supaya menyayangi sunat rawatib.
Semoga panduan ini bermanfaat untuk anda semua.
Nota Rujukan:
- Misykah al-Mashabih — Imam At-Tabrizi, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah Jilid 1
- Nihayah az-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in — Syaikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani
- Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus
- Anugerah Allah Dalam Solat Rawatib — Ustaz Muhadir Haji Joll
- Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
- Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
- Ensiklopedia Solat: Solat Rawatib — TV3 Official
- Bimbingan Lengkap Solat Sunat — Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib, Rohidzir Rais
- Solat Sunat Harian — Ustaz Mohd Faez B. Mohd Shah al-Hashimi
- 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll