
Mukadimah
Bilakah solat menjadi haram untuk dikerjakan?
Bagaimanakah waktu solat itu dibahagikan?
Panduan ini akan menghuraikan perkara-perkara utama berkaitan:
- Bahagian-bahagian waktu solat
- Waktu yang diharamkan untuk solat
- Waktu solat yang dituntut, serta cara menentukan masuknya waktu
… dan lain-lain lagi.
Jom kita terus mulakan tanpa berlengah..
Waktu fadhilat Waktu ikhtiar Waktu harus Waktu hurmah (haram) Waktu darurat Waktu idrak Waktu jawaz tapi makruh Waktu uzur Waktu haram solat (tahrim)
Pembahagian Waktu Solat
Secara keseluruhannya, waktu solat terbahagi kepada sembilan kategori seperti berikut:
1. Waktu Fadhilat
Inilah waktu yang paling afdal untuk bersolat, iaitu di awal waktu.
2. Waktu Ikhtiar
Bermula selepas tamat waktu fadhilat dan berlanjutan selagi masih cukup masa untuk menunaikan solat dengan sempurna dalam waktunya.
3. Waktu Harus (Jawaz)
Kategorinya serupa dengan waktu ikhtiar.
Hukumnya juga sama dengan waktu ikhtiar, kecuali beberapa pengecualian:
- Bagi waktu asar, ia berterusan sehingga matahari menjadi kekuningan.
- Bagi waktu Isyak, ia berterusan sehingga terbit fajar saddiq.
- Bagi waktu subuh, ia kekal sehingga kelihatan merah di tepi langit.
4. Waktu Hurmah (Haram)
Ini merujuk kepada saat-saat akhir waktu yang genting, di mana solat sudah tidak sempat lagi disempurnakan dalam waktunya.
5. Waktu Darurat
Waktu ini terpakai bagi orang yang baru sahaja bebas daripada penghalang solat seperti haid, nifas, gila dan yang seumpamanya.
Pada ketika itu, baki waktu solat yang tinggal hanyalah cukup untuk melafazkan takbiratulihram sahaja.
Justeru, solat waktu itu tidak sempat ditunaikan dan wajib diqada
6. Waktu Idrak
Iaitu tempoh antara masuknya awal waktu dengan kedatangan halangan solat seperti haid, bersalin dan seumpamanya.
Sekiranya dalam tempoh itu seseorang sebenarnya sempat bersolat namun dia tidak menunaikannya, maka wajib ke atasnya mengqada solat yang tertinggal itu.
7. Waktu Harus (Jawaz), Tetapi Makruh
Berikut ialah waktu-waktu yang dikira jawaz tetapi makruh:
- Waktu asar: Dari saat matahari mula kekuningan dan berterusan sehingga ke penghujung waktu sekadar cukup untuk melangsaikan solat.
- Waktu maghrib: Dari saat hilangnya syafak (awan-awan merah di langit) sehingga ke penghujung waktu sekadar cukup untuk melangsaikan solat.
- Waktu isyak: Dari terbitnya fajar kazib (fajar sebelum matahari terbit) sehingga ke penghujung waktu sekadar cukup untuk melangsaikan solat.
- Waktu subuh: Dari kelihatan merah di tepi langit sehingga ke penghujung waktu sekadar cukup untuk melangsaikan solat.
8. Waktu Uzur
Iaitu tempoh antara zuhur dengan asar — antara hujung waktu zohor dan awal waktu asar — atau antara maghrib dengan isyak, bagi mereka yang bermusafir dan melakukan jamak takdim atau takhir.
9. Waktu Haram Solat (Waktu Tahrim)
Bilakah berlakunya waktu tahrim ini?
- Selepas menunaikan solat subuh
- Saat matahari hampir terbit ataupun sedang terbit.
- Saat rembang, iaitu ketika matahari betul-betul tegak di atas kepala.
- Saat matahari hampir terbenam.
- Selepas menunaikan solat asar.
Solat yang diharamkan pada waktu-waktu ini ialah solat yang tidak mempunyai sebab, iaitu solat sunat mutlak, serta solat yang sebabnya datang terkemudian seperti solat sunat istikharah, solat sunat musafir dan solat sunat Ihram.
Sebaliknya, solat yang bersebab — contohnya solat qada, solat sunat wuduk, solat Tahiyyatul Masjid, solat sunat tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur — tidak termasuk dalam larangan ini.
Demikian juga sesiapa yang berada di Tanah Haram; dia tidak dilarang mengerjakan sebarang solat pada waktu-waktu tersebut.
Waktu Solat Yang Utama
Awal waktu ialah masa yang paling utama untuk menunaikan solat.
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Waktu awal daripada solat adalah keredhaan Allah SWT dan waktu yang akhir adalah kemaafan Allah — Riwayat Tirmizi
Allah SWT amat menyukai solat yang dikerjakan di awal waktu kerana ia membuktikan betapa bersungguhnya seorang hamba bergegas memikul dan melaksanakan perintahNya.
Abdullah bin Mas’ud r.a pernah mengajukan soalan kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling baik?” Rasulullah SAW bersabda: “Solat pada awal waktunya”. Abdullah bertanya: Kemudian apa? Rasulullah SAW bersabda:”Berbuat baik kepada ibu bapa””Kemudian apa lagi? tanya Abdullah. Jawab Rasulullah SAW:”Berjihad di jalan Allah”. — Riwayat Bukhari dan Muslim
Sebaliknya, sengaja bersolat di hujung waktu mencerminkan sikap sambil lewa terhadap perintahNya.
Menangguhkan solat hanya diharuskan kerana sebab-sebab tertentu, contohnya melewatkan solat Isyak demi mengadakan majlis ilmu.
Panduan Menentukan Masuknya Waktu Solat
Solat hendaklah ditunaikan setelah kita yakin waktunya telah masuk.
Solat yang dikerjakan di luar waktunya adalah tidak sah.
Cara-cara untuk mengetahui masuknya waktu solat fardu adalah:
- Mendengar laungan azan daripada masjid yang berhampiran, atau menerusi siaran radio dan televisyen tempatan.
- Merujuk jadual waktu solat yang diterbitkan oleh jabatan-jabatan Islam negeri.
- Memerhatikan tanda-tanda alam yang menandakan waktu solat fardu telah masuk.
Berikut ialah tanda-tanda masuknya waktu bagi setiap solat fardu:
Waktu Zohor
Zohor bermula sejurus matahari tergelincir ke sebelah barat.
Tandanya ialah bayang-bayang sesuatu objek mula terbentuk ke arah timur.
Waktu ini berterusan sehinggalah bayang-bayang itu menjadi lebih panjang daripada objek asalnya.
Waktu Asar
Asar masuk apabila bayang-bayang sesuatu objek telah melebihi panjang objek itu sendiri, dan tamat apabila matahari terbenam.
Waktu Maghrib
Maghrib bermula sebaik matahari terbenam di ufuk barat.
Jika kawasan matahari terbenam itu terhalang oleh bukit, saat terbenamnya boleh dipastikan dengan memerhatikan warna kelam di kaki langit tempat matahari terbit, pada ketinggian segalah (45 darjah) dari paras bumi.
Waktu Maghrib kekal sehingga lembayung merah di ufuk barat lenyap.
Waktu Isyak
Isyak bermula sebaik hilangnya lembayung merah di kaki langit dan berlanjutan hingga fajar saddiq terbit.
Andai lembayung merah itu tidak kelihatan kerana terlindung bukit, maka saat hilangnya ditandai dengan munculnya bintang-bintang kecil di tengah langit.
Selagi bintang-bintang kecil belum kelihatan dan hanya bintang-bintang besar yang nampak, itu petanda lembayung merah belum hilang sepenuhnya dan waktu maghrib masih berbaki.
Waktu Subuh
Subuh masuk sebaik sahaja fajar sadiq terbit.
Fajar sadiq ialah garisan putih yang melintang di kaki langit sebelah timur — arah matahari terbit — selepas fajar kazib menghilang.
Fajar kazib pula ialah garisan membujur yang menaik dari kaki langit menuju ke tengah langit.
Waktu subuh tamat apabila matahari terbit.
Menentukan Waktu Ditempat Asing
Apabila seseorang berada di tempat yang asing dan tiada satu pun cara di atas dapat digunakan untuk mengetahui waktu solat, dia wajib berijtihad, iaitu membuat penelitian sendiri bagi memastikan waktu solat.
Solat yang ditunaikan tanpa keyakinan dan tanpa sebarang ijtihad bahawa waktunya telah masuk adalah tidak sah.
Jika selepas berijtihad didapati waktu solat sebenarnya belum masuk, dia wajib mengulangi semula solat tersebut.
Atas sebab itu, orang yang bermusafir diharuskan melewatkan sedikit solatnya daripada waktu yang telah diijtihadkan.
Bagi kawasan yang kedudukannya jauh daripada Garisan Khatulistiwa, panjang siang dan malam berubah-ubah mengikut musim.
Ketika musim panas, siang menjadi lebih panjang, lalu jarak antara waktu solat Subuh, Zohor, Asar dan Maghrib turut memanjang.
Sebaliknya, jarak antara solat Maghrib, Isyak dan Subuh menjadi terlalu singkat.
Ketika musim sejuk pula, malam yang lebih panjang menyebabkan jarak masa antara solat Subuh, Zohor dan Asar menjadi amat pendek.