
Mukadimah
Apakah kaedah yang sebenar apabila kita perlu mengambil alih tempat imam?
Dalam panduan ini, kita akan mempelajari tatacara menggantikan imam ketika solat berjemaah dengan terperinci.
Antara perkara yang akan dikupas:
- Apakah hukum bagi perbuatan ini
- Cara melakukan “Istikhlaf” mengikut situasi-situasi tertentu dalam solat
- Perlukah makmum memperbaharui niat apabila imam bertukar
.. serta pelbagai perkara lain.
Jom kita mula..
Pengenalan Mengenai Istikhlaf
Apakah yang dimaksudkan dengan istikhlaf?
Istikhlaf bermaksud perbuatan mengambil alih tempat imam dalam solat berjemaah.
Perkara ini berlaku apabila imam berhenti daripada tugasnya sebagai imam, sama ada dia berundur ke belakang saf makmum, atau dia terkeluar daripada solat kerana berhadas dan sebagainya.
Hukum perbuatan ini adalah harus, sama ada pengganti (khalifah) itu tampil sendiri menjadi imam, ataupun dia dilantik oleh imam, oleh semua makmum, atau oleh sebahagian daripada mereka.
Hukum Istikhlaf
Asas keharusan istikhlaf ialah keharusan mendirikan solat dengan dua imam secara bergilir, seperti yang pernah berlaku ketika Sayidina Abu Bakar as-Siddiq menjadi imam kepada para jemaah semasa Rasulullah SAW gering.
Pada suatu hari, Baginda SAW merasakan tubuhnya sedikit bertenaga, lalu Baginda pun melangkah ke masjid untuk solat, sedangkan Abu Bakar pada waktu itu sedang mengimamkan jemaah bersama para Sahabat yang lain.
Maka Abu Bakar pun berundur ke belakang dan mempersilakan Rasulullah SAW maju ke hadapan; selepas itu beliau pula yang bermakmum kepada Rasulullah SAW, setelah beliau berhenti daripada menjadi imam.
Catatan Istikhlaf boleh berlaku dalam Solat Jumaat mahupun dalam solat-solat selain Solat Jumaat.
Istikhlaf Pada Solat Jumaat
Istikhlaf dalam solat Jumaat boleh berlaku dalam beberapa keadaan berikut:
1. Istikhlaf pada pertengahan Khutbah
Syaratnya, pengganti tersebut mestilah telah mendengar rukun-rukun khutbah yang telah disampaikan sebelum itu.
2. Istikhlaf antara khutbah dan solat
Syaratnya, pengganti itu mestilah telah mendengar kesemua rukun khutbah yang dibacakan oleh khatib, kerana sesiapa yang tidak mendengar khutbah tidak termasuk dalam kalangan ahli Jumaat.
Dia hanya dikira sebagai ahli Jumaat apabila dia telah masuk menunaikan solat tersebut.
3. Istikhlaf sewaktu sedang solat Jumaat
Semasa solat Jumaat sedang didirikan, istikhlaf boleh berlaku dalam tiga situasi, iaitu:
i. Pengganti orang baharu yang belum sempat mengikut imam:
Istikhlaf langsung tidak sah, kerana para makmum ketika itu terpaksa memperbaharui niat mengikut imam.
Keadaan ini boleh menyebabkan terbentuknya satu solat Jumaat yang lain selepas Jumaat yang sedia ada.
ii. Pengganti itu mengikut imam yang berkenaan ketika qiam rakaat pertama atau dalam rukuk rakaat pertama:
Istikhlaf adalah sah, dan solat Jumaat itu sah untuk dirinya serta seluruh makmum yang lain.
iii. Istikhlaf berlaku selepas imam rukuk bagi rakaat pertama, sedangkan pengganti itu tidak berkesempatan dengan imam dalam rukuk rakaat pertama:
Istikhlaf adalah haram ke atas pengganti tersebut, kerana ia menyebabkan Jumaat terluput daripada dirinya.
Justeru, orang yang sempat rukuk bersama imam itulah yang wajib tampil ke hadapan untuk mengganti imam.
Perhatian Sekiranya pengganti itu sempat rukuk pada rakaat kedua solat Jumaat, lalu dia mengambil alih tempat imam ketika tahiyat:
- Para ulama berbeza pandangan dalam isu ini. Bagi Ibnu Hajar, pengganti tersebut tidak memperoleh Jumaat; sebaliknya dia hendaklah menyempurnakan solatnya sebagai Fardu Zuhur.
- Sementara itu, mengikut pandangan Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, al-Khatib asy-Syarbini dan Imam ar-Ramli, pengganti itu tetap mendapat Jumaat, dan dia wajib menambah hanya satu rakaat lagi sebelum memberi salam.
Syarat Istikhlaf Dalam Solat Jumaat
Bagi istikhlaf yang berlaku ketika Solat Jumaat sedang berlangsung, terdapat beberapa syarat, iaitu:
-
Pengganti itu disyaratkan telah bermakmum kepada imam sebelum imam keluar daripada solatnya.
-
Disyaratkan juga para makmum tidak melakukan rukun qauli mahupun fi’li secara bersendirian, dan tidak berlalu tempoh masa yang cukup untuk memuatkan satu rukun.
-
Para makmum langsung tidak diwajibkan menukar niat untuk mengikut pengganti; cukuplah dengan niat mengikut imam yang telah dibuat pada takbiratul ihram sebelumnya.
-
Sekiranya para makmum sempat melakukan walau satu rukun dalam rakaat pertama secara bersendirian, solat Jumaat mereka menjadi batal.
Sebabnya, istikhlaf pada waktu itu hukumnya wajib, dan solat Jumaat memang diwajibkan berjemaah pada rakaat pertama.
- Sekiranya istikhlaf berlaku pada rakaat kedua, dan para makmum sempat melakukan satu rukun pada rakaat kedua itu secara bersendirian, solat Jumaat mereka tidak batal.
Namun, mereka tidak dibenarkan berniat mengikut pengganti itu; jika mereka melakukannya juga, solat Jumaat mereka akan terbatal, kerana ia menyerupai Jumaat yang berbilang-bilang.
Catatan Sekiranya hanya sebahagian makmum yang bersendirian meneruskan satu rukun, atau berniat mengikut pengganti itu, sedangkan bilangan yang selebihnya masih tidak kurang daripada 40 orang, maka Jumaat mereka adalah sah.
Sebaliknya, jika bilangan yang tinggal itu kurang daripada 40 orang, terbatallah Jumaat mereka kesemuanya, dan mereka hendaklah mengulangi (i’adah) solat Jumaat itu.
Istikhlaf Dalam Solat Yang Selain Solat Jumaat
Hukumnya:
Istikhlaf pada solat selain solat Jumaat adalah harus, tidak kira sama ada pengganti itu telah bermakmum kepada imam berkenaan sebelum solat imam terbatal, ataupun dia belum lagi mengikutnya.
Namun begitu:
Para makmum dikehendaki berniat mengikut khalifah (pengganti) sekiranya tertib solat pengganti itu berbeza daripada tertib solat imam yang digantikan, contohnya istikhlaf yang berlaku pada rakaat kedua atau rakaat akhir.
Sebaliknya, sekiranya tertib solat khalifah itu sama sahaja dengan tertib solat imamnya — maksudnya dia mengganti imam pada rakaat pertama, atau pada rakaat ketiga bagi solat empat rakaat — maka para makmum tidak perlu menukar niat untuk mengikut khalifah tersebut.
Ini kerana dalam keadaan tersebut, pengganti itu memang telah pun bermakmum kepada imam yang digantikan sebelum solat imam itu terbatal.
Oleh itu, para makmum langsung tidak perlu mengubah niat untuk mengikut pengganti, sebab pada ketika itu pengganti diwajibkan menjaga susunan solat imamnya.
Andainya pengganti itu memang mengetahui susunan solat imamnya, maka persoalannya sudah jelas.
Namun jika dia tidak mengatahui peraturan solat imamnya itu, maka hendaklah dia mengamati atau memerhati mereka yang dibelakangnya.
Sekiranya mereka mahu bangun, hendaklah dia turut terus bangun.
Jika tidak, maka hendaklah dia duduk.
Bagi solat jenis empat rakaat, apabila para makmum dilihat berhasrat atau menunjukkan tanda hendak duduk, pengganti itu hendaklah duduk dan membaca tahiyat bersama-sama mereka.
Selepas itu barulah dia bangun; sekiranya mereka turut bangun bersamanya, nyatalah bahawa rakaat tersebut ialah rakaat kedua.
Sekiranya mereka tidak bangun, nyatalah bahawa rakaat itu merupakan rakaat terakhir bagi mereka.
Perhatian Keharusan istikhlaf itu mestilah dilaksanakan dengan segera, iaitu sejurus sahaja solat imam pertama terbatal, dan sebelum makmum melakukan rukun qauli atau fi’li secara bersendirian, atau sebelum berlalunya tempoh yang cukup untuk melakukan satu rukun.
Sekiranya para makmum telah melakukan satu rukun sejurus selepas solat imam terbatal, atau telah berlalu tempoh yang membolehkan rukun itu dilakukan, maka pada ketika itu istikhlaf dilarang dalam solat Jumaat secara mutlak.
Istikhlaf juga dilarang dalam solat selain solat Jumaat sekiranya para makmum tidak memperbaharui niat untuk bermakmum kepada khalifah itu.
Walau bagaimanapun, sekiranya hanya sebahagian makmum yang telah bersendirian melakukan rukun manakala yang lain tidak, maka hanya golongan yang bersendirian itu sahaja yang perlu melakukan tajdid (memperbaharui) niat mengikut imam (pengganti).
Manakala mereka yang tidak bersendirian melakukan rukun tidak diwajibkan tajdid niat mengikut imam.
Demikianlah hukumnya bagi solat selain daripada solat Jumaat.
Persoalan Istikhlaf Yang Perlu Diketahui
1 Seorang imam tidak harus menentukan penggantinya selagi dia belum keluar daripada tugas imam atau daripada solatnya.
2 Apabila solat seorang pengganti pula terbatal, maka orang ketiga akan mengambil alih tempatnya.
Sekiranya orang ketiga itu juga keluar daripada menjadi imam, maka orang keempat pula tampil menggantikannya.
Begitulah seterusnya.
Hukumnya adalah harus.
Cuma disyaratkan bahawa setiap seorang daripada mereka memenuhi syarat yang dikenakan ke atas pengganti yang pertama.
Mereka juga hendaklah menjaga susunan solat imam yang pertama.
3 Sekiranya imam pertama mengambil wuduk semula selepas dia keluar daripada solatnya dan tempatnya diambil oleh khalifah..
… lalu dia masuk semula ke dalam solat dengan bermakmum kepada khalifahnya itu.
Kemudian khalifah itu pula tiba-tiba berhadas, lalu imam pertama tadi kembali mengambil alih sebagai imam.
Hukumnya adalah harus.
4 Sekiranya orang yang menjadi imam solat Jumaat itu bukan khatib sendiri, maka disyaratkan orang tersebut telah mendengar khutbah berserta rukun-rukunnya sekali.
Namun, hukumnya adalah khilaful-aula, kerana yang lebih afdal ialah khatib itu sendiri yang menjadi imam.
5 Sekiranya wuduk khatib Jumaat terbatal ketika sedang berkhutbah, yang afdalnya dia hendaklah segera memperbaharui wuduknya.
Selepas itu dia memulakan khutbah dari awal semula, sekiranya waktu masih panjang dan keadaan mengizinkan.
Jika tidak, memadailah dia melakukan istikhlaf sahaja.
6 Bagi orang yang mengganti imam dalam solat Jumaat selepas takbiratul ihram, tidak disyaratkan dia pernah mendengar khutbah.
Ini kerana melalui takbiratul ihram itu, dia sudah dikira tergolong bersama yang lain sebagai ahli Jumaat.
7 Sekiranya istikhlaf berlaku ketika imam sedang membaca al-Fatihah, penggantinya wajib menyempurnakan baki bacaan al-Fatihah imam yang digantikan itu.
Selepas itu barulah dia membaca al-Fatihah untuk dirinya sendiri, sekiranya belum dibaca.
(Inilah pandangan yang ditarjihkan oleh Imam Ibnu Hajar)
Sebaliknya, sekiranya dia tidak membaca al-Fatihah yang belum dibaca itu, dia wajib menambah satu rakaat lagi sebagai gantinya selepas selesai solat jemaah yang digantikannya itu.
8 Pengganti yang masbuk wajib memelihara susunan solat imam yang digantinya, agar solat itu berjalan mengikut aturan solat para jemaah.
Dia hendaklah melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh imam yang diganti itu.
Ketika dia menunaikan satu rakaat bersama para makmum dalam Solat Subuh, dia hendaklah membaca qunut untuk mereka, sekiranya rakaat tersebut merupakan rakaat kedua bagi imam yang digantinya.
9 Pengganti yang masbuk juga perlu membaca tasyahhud bersama-sama makmum.
Apabila bacaan tasyahhudnya selesai, barulah dia bangun menyambung solatnya sambil memberi isyarat kepada makmum supaya mereka memilih sama ada mahu niat mufaraqah ataupun memberi salam bersama-samanya.
Cara inilah yang afdal sekiranya waktu masih panjang.
Namun, sekiranya waktu sudah suntuk dan dibimbangi habis waktu kerana menanti imam, maka pada ketika itu makmum wajib berniat mufaraqah daripada imam.
10 Mengikut pendapat yang muktamad, para makmum tidak diwajibkan memulakan niat baru untuk mengikut pengganti imam, kerana kedudukan pengganti pada ketika itu sama seperti imam pertama dalam meneruskan solat jemaah.
Atas sebab itulah dia tidak boleh mengikut aturan solat dirinya sendiri.
11 Sekiranya khalifah yang dilantik itu terdiri daripada orang yang tidak layak menjadi imam, solat para makmum tidak terbatal, kecuali jika mereka mengikutnya, kerana penggantian sebegitu dianggap tidak berlaku.
Rujukan & Penutup
Panduan ini disusun berdasarkan buku panduan imam & makmum karya Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany.
Mudah-mudahan perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua pembaca.
Terima kasih.