
Mukadimah
Apakah hukum menjamakkan Solat Jumaat?
Panduan ini memuatkan jawapan yang pernah diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus.
Semoga bermanfaat
SOALAN:
Adakah boleh orang yang musafir pada hari jumaat dia jamak solat jumaat?
JAWAPAN:
Bagi seorang musafir pada hari Jumaat, yang lebih afdhal ialah dia menunaikan solat zuhur; namun harus juga hukumnya sekiranya dia memilih untuk mengerjakan solat Jumaat, dan apabila solat Jumaat itu harus baginya, maka harus jugalah dia menjamakkannya bersama solat asar secara jamak takdim.
Adapun mengerjakan solat Jumaat secara jamak takhir, hukumnya tidak harus.
Syeikh Bujairimi menyebutkan, ertinya:
Dan bermula solat jumaat itu adalah sama dengan solat zuhur iaitu pada hukum jamak taqdim iaitu seperti bahawa sampailah seorang musafir pada sebuah kampung pada hari jumaat maka yang afdhal pada keadaan dirinya ialah dia kerjakan solat zuhur. Akan tetapi jikalau dia solat akan jumaat serta penduduk kampung itu maka harus baginya pada keadaan ini dia jamak dengan solat asar serta jumaat iaitu jamak taqdim.Dan tertegah menjamakkan jumaat itu sebagai jamak takhir kerana tidak terjadi jumaat dengan melambatkan dari waktunya.” (Hasyiah Bujairimi ‘ala Khatib)
Wallahua'lam
Ustaz Azhar Idrus