Semua panduan solat

13 RUKUN SOLAT (Panduan Mudah & Lengkap)

13 RUKUN SOLAT (Panduan Mudah & Lengkap)

Mukadimah

Dalam panduan ini, anda akan dibimbing untuk memahami apa itu rukun solat, perkara-perkara yang boleh membatalkan solat, serta beberapa hal lain yang ada kaitan dengan ibadah solat.

Perkara ini WAJIB ANDA KETAHUI, sebab apabila salah satu rukun solat tertinggal, maka solat tersebut menjadi tidak sah.

Jadi, marilah kita kupas perkara-perkara ini satu demi satu.

Maksud Rukun Solat

Dari sudut bahasa, perkataan rukun membawa erti asas atau tiang kepada sesuatu perkara. Maka, secara ringkasnya, rukun solat merujuk kepada perbuatan-perbuatan yang tersusun yang menjadikan solat tidak sempurna dan tidak sah sekiranya ia ditinggalkan.

Contohnya:

Andai kita tidak menunaikan takbiratul ihram (rukun), maka solat kita tidak sah kerana rukun solat tidak dipenuhi dengan lengkap.

Bilangan Rukun Solat

Mengikut pendapat yang rajih (kuat) dan muktamad (yang dipegang) dalam mazhab Syafi’e, jumlah rukun solat ialah 13 perkara.

Ringkasan Rukun Solat

  1. Niat
  2. Berdiri tegak
  3. Takbiratul Ihram
  4. Membaca al-Fatihah
  5. Rukuk
  6. Iktidal
  7. Sujud
  8. Duduk antara dua sujud
  9. Duduk tahiyat akhir
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Membaca selawat ke atas Rasulullah
  12. Memberi salam
  13. Tertib

Setiap rukun solat ini perlu difahami dan ditunaikan ketika bersolat. Sekiranya salah satu daripadanya tertinggal, solat menjadi tidak sah.

Apabila kamu bangun untuk solat, sempurnakanlah wuduk, kemudian hadaplah ke kiblat lalu bertakbir. Kemudian bacalah apa yang mudah daripada al-Quran. Kemudian rukuklah sehingga kamu rukuk dengan tamakninah. Kemudian bangunlah sehingga kamu berdiri tegak. Kemudian sujudlah sehingga kamu sujud dengan tamakninah. Kemudian bangkitlah sehingga kamu duduk dalam tamakninah. Kemudian sujudlah sehingga kamu sujud dalam tamakninah. Kemudian bangkitlah sehingga kamu duduk dengan tamakninah — Riwayat Bukhari

13 Rukun Solat Fardu

Dalam bahagian ini, saya akan menghuraikan dengan lebih mendalam setiap satu daripada 13 rukun solat tersebut.

Rukun Solat Pertama

Niat

Niat ialah lintasan atau kesedaran di dalam hati untuk mengerjakan solat berkenaan.

Seseorang itu tidak dikira berniat jika hanya lidahnya melafazkan, sedangkan hatinya tidak turut mengingatinya. Niat solat hendaklah dihadirkan dalam hati pada waktu mengangkat takbiratul ihram

Sekurang-kurangnya, niat itu mengandungi tiga perkara:

  • Qasad(ﻗﺼﺪ) iaitu solat semata-mata.
  • Ta’arudh (ﺗﻌﺮﺽ) iaitu jenis fardhu
  • Ta’yin (ﺗﻌﻴﻴﻦ) iaitu menentukan waktu solat yang hendak didirikan sama ada Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib atau Isyak.

Sebagai contoh, apabila seseorang ingin menunaikan solat Zuhur, cukuplah dia berniat “Sahaja aku solat fardu Zuhur”

Rukun Solat Kedua

Berdiri Lurus & Tegak

rukun solat berdiri tegak

Berdiri dengan betul bermaksud berdiri tegak lurus, dengan tulang belakang lurus dan dada menghadap ke arah kiblat.

Disunatkan menundukkan kepala sedikit serta merenung ke arah tempat sujud.

Bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk berdiri dengan betul disebabkan kecacatan, badan bongkok atau sakit, mereka dibenarkan menunaikan solat mengikut keadaan yang termampu.

Solatlah dengan berdiri, sekiranya tidak mampu maka dengan duduk, sekiranya tidak mampu, maka dengan berbaring — Riwayat Bukhari, Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Dawud

Rukun Solat Ketiga

Takbiratul Ihram

rukun solat takbiratul ihram

Takbiratul ihram ialah lafaz “Allahuakbar” bagi memulakan solat, dengan suara yang sekurang-kurangnya boleh didengari oleh diri sendiri.

Lafaz ini tidak boleh digantikan dengan lafaz yang lain ataupun diucapkan dalam bahasa selain bahasa arab.

Selain itu, lafaz ini hendaklah disebut dalam satu nafas sambil menghadirkan niat.

Anak kunci solat ialah berwuduk, yang mengharamkan perlakuan yang dihalalkan sebelum solat ialah takbir dan yang menghalalkannya ialah salam. — Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Abu Dawud

Rukun Solat Keempat

Membaca Surah al-Fatihah

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ﴾١﴿ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ ﴾٢﴿ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ﴾٣﴿ مَٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ ﴾٤﴿ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ﴾٥﴿ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ ﴾٦﴿ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ﴾٧﴿

Surah al-Fatihah wajib dibaca ketika berdiri pada setiap rakaat solat dengan tajwid yang betul.

Tidak (sah) solat bagi seseorang yang tidak membaca Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah). — Riwayat Bukhari

Rukun Solat Kelima

Rukuk

rukun solat rukuk solat

Rukuk ialah perbuatan membongkokkan badan dan kepala ke hadapan sehingga ia setara dengan paras punggung.

Kedua-dua tapak tangan pula dilekapkan pada kedua-dua lutut. Disunatkan berdoa atau bertasbih semasa rukuk.

Jika seseorang itu tidak tahu cara berdoa atau bertasbih, memadai dia berdiam seketika selama tempoh membaca “Subhanallah” sekali.

Keadaan sebegini dinamakan tamakninah.

Maksud Tamakninah

Secara mudah, tamakninah membawa maksud BERTENANG.

Umpama memandu kenderaan, ketika berada di simpang kita memberhentikan kereta sepenuhnya dahulu sebelum bergerak semula.

Selagi kenderaan itu masih bergerak, ia belum lagi dikira tamakninah

Rukun Solat Keenam

Iktidal

Iktidal ialah keadaan berdiri tegak selepas selesai rukuk.

Tamakninah perlu wujud dalam keadaan berdiri tegak ini sebelum berpindah ke rukun seterusnya. Kadar tamakninahnya adalah sama dengan rukuk, iaitu sekadar satu nafas atau sekadar menyebut “subhanallah”.

Allah tidak akan memerhatikan solat seorang hamba yang tidak menegakkan punggungnya di antara rukuk dan sujudnya — Riwayat Ahmad

Rukun Solat Ketujuh

Sujud dua kali

sujud rukun solat

Sujud bermaksud merendahkan diri dan tunduk. Sujud yang paling minimum ialah meletakkan dahi yang terdedah ke atas tempat solat.

Tapak tangan pula dilekapkan rata di tempat sujud, setentang dengan kedudukan bahu. Sujud dilaksanakan sebanyak dua kali bagi setiap rakaat.

Sujud yang sempurna ialah dengan meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke atas lantai.

Anggota sujud adalah:

  • Dahi
  • Kedua-dua tapak tangan
  • Kedua-dua lutut
  • Kedua-dua kaki

Disunatkan turut meletakkan hidung ketika sujud.

Sujud wajib dilakukan dalam keadaan tamakninah.

Rukun Solat Kelapan

Duduk antara dua sujud

rukun solat

Duduk antara dua sujud ialah duduk sebentar selepas sujud yang pertama, sebelum melakukan sujud kedua pada setiap rakaat.

Duduk ini juga wajib dilakukan dengan tamakninah.

Cara duduknya adalah secara iftirasy, iaitu membaringkan tapak kaki kiri lalu duduk di atasnya, manakala tapak kaki kanan ditegakkan dengan anak-anak jari menghala ke arah kiblat.

Kedua-dua tapak tangan pula diletakkan di atas kedua-dua paha dengan hujung jari berada berhampiran pangkal lutut.

Rukun Solat Kesembilan

Duduk tahiyat akhir

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Duduk tahiyat akhir ialah duduk semasa membaca tahiyat akhir, sebelum memberi salam. Duduk ini dilakukan secara tawarruk dengan kedua-dua tangan diletakkan di atas paha.

Rukun Solat Ke-10

Membaca tahiyat akhir

Bacaan tahiyat akhir dibaca ketika sedang duduk tahiyat akhir.

Bacaan tahiyat atau ucapan penghormatan ini mengandungi dua sebutan, iaitu:

Ungkapan memuji Allah SWT yang dimulakan dengan:

memuji Allah

Dan salam:

salam

Diakhiri dengan lafaz syahadah:

Lafaz syahadah

Rukun Solat Ke-11

Membaca selawat ke atas Rasulullah SAW

Selawat ke atas Rasulullah SAW yang menjadi rukun solat ialah yang dibaca ketika duduk tahiyat akhir, iaitu selepas melafazkan dua kalimah syahadah:

dua kalimah syahadah

Rasulullah SAW sendiri turut berselawat ke atas diri Baginda ketika Baginda menunaikan solat.

Rukun Solat Ke-12

Memberi salam

salam rukun solat

Salam merupakan penutup kepada solat. Sekurang-kurangnya ialah dengan lafaz “Assalamualaikum”

Rukun Solat Ke-13

Tertib

Setiap rukun solat wajib dilaksanakan secara tertib, iaitu mengikut susunannya.

Pengecualian diberikan kepada rukun-rukun yang dilakukan serentak, seperti takbiratul ihram bersama niat, berdiri tegak bersama bacaan al-Fatihah, dan duduk tahiyat akhir semasa membaca tahiyat, tasyahud serta selawat.

Pembahagian Rukun Solat

Daripada 13 rukun solat itu, ia dibahagikan pula kepada tiga kategori, iaitu fi’li, qauli dan qalbi.

  • Qalbi bermaksud rukun yang berkait dengan hati
  • Qauli pula bermaksud rukun yang melibatkan perkataan atau bacaan.
  • Manakala Fi’li ialah rukun yang melibatkan pergerakan atau perbuatan.

rukun qauli rukun solat

Rukun Qalbi

Rukun qalbi (hati) merangkumi perkara-perkara yang perlu dilaksanakan di dalam hati.

Terdapat dua perkara yang tergolong dalam rukun qalbi, iaitu:

  1. Niat
  2. Tertib

Rukun Qauli

Rukun qauli (perkataan atau bacaan) ialah rukun yang setiap lafaz bacaannya wajib didengari oleh telinga sendiri.

Sekiranya satu huruf tertinggal, maka bacaan itu wajib diulang semula.

Antara bacaan yang termasuk dalam rukun qauli ialah:

  1. Takbiratul Ihram (ucapan Allahu Akbar)
  2. Al Fatihah
  3. Tahiyat Akhir
  4. Selawat atas nabi
  5. Salam yang pertama

Rukun Fi’li

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, rukun fi’li ialah rukun yang berbentuk pergerakan atau perbuatan.

Terdapat enam rukun yang tergolong dalam rukun fi’li.

Rukun-rukun tersebut ialah:

  1. Berdiri (qiam).
  2. Rukuk.
  3. Iktidal.
  4. Sujud.
  5. Duduk antara dua sujud.
  6. Duduk tahiyat akhir.

Jika salah satu daripada rukun ini terlupa atau tertinggal, maka seseorang itu perlu kembali kepada rukun tersebut.

Perkara Yang Membatalkan Solat

Pada bahagian ini, saya akan menerangkan perkara-perkara yang boleh membatalkan solat berserta huraian bagi setiap satu.

Terdapat beberapa perkara yang akan membatalkan solat. Antaranya:

  1. Sengaja Meninggalkan Rukun Solat

Apabila salah satu rukun solat ditinggalkan secara sengaja, maka solat itu terbatal.

Namun, jika ia terlupa, solat tidak terbatal. Cuma, rukun yang tertinggal itu perlu ditambah semula sebaik sahaja teringat.

Sebagai contoh, seseorang yang terlupa membaca tahiyat ketika duduk tahiyat akhir, lalu membaca al-Fatihah pula. Apabila dia menyedari kesilapan itu, dia hendaklah terus membaca tahiyat.

  1. Berkata-kata Dalam Solat

Iaitu bertutur dengan sengaja menggunakan bahasa manusia selain zikir, doa atau kalimah al-Quran, walaupun hanya satu huruf yang difahami dan bertujuan untuk kepentingan solat.

Contohnya seperti memberitahu imam yang tersalah kira bilangan rakaat dengan berkata, “jangan berdiri” atau “duduk”

  1. Berhadas Semasa Solat

Iaitu berhadas atau didatangi hadas, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar, ketika sedang menunaikan solat. Contohnya terkentut atau terkeluar air kencing biarpun sedikit.

  1. Makan atau Minum Semasa Solat

Menelan sisa makanan yang tersangkut di celah-celah gigi turut membatalkan solat.

Sekiranya terasa ada sisa makanan dalam mulut, ia perlu dikeluarkan atau dikawal supaya tidak tertelan.

  1. Melakukan Pergerakan Yang Banyak

Iaitu melakukan pergerakan besar sebanyak tiga kali berturut-turut atau lebih yang bukan termasuk dalam perbuatan solat.

Contohnya mengangkat dan menurunkan tangan tiga kali, menggerakkan seluruh badan, atau melompat sekali lompatan.

Pengecualian diberikan dalam solat Khauf dan solat sunat ketika bermusafir.

Manakala menggerakkan jari berulang kali kerana bertasbih, atau menggaru kerana gatal dan sebagainya, tidaklah membatalkan solat.

  1. Terkena Najis

Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian atau tempat solat boleh membatalkan solat.

Akan tetapi, jika najis itu boleh dibuang dengan serta-merta, solat tidak terbatal.

Contohnya seperti tahi cicak yang sudah kering jatuh ke atas pakaian orang yang sedang solat, namun dapat ditepis dengan segera.

  1. Terbuka aurat

Terbuka aurat dalam tempoh yang lama, sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja seperti ditiup angin atau ditarik oleh kanak-kanak, tetap membatalkan solat.

Sebaliknya, jika ia ditutup dengan segera, solat tidak terbatal.

  1. Berpaling Dari Kiblat

Iaitu memalingkan dada dari arah kiblat, kecuali dalam solat Khauf.

Dalam solat Khauf, seseorang mungkin terpaksa memalingkan dadanya dari kiblat untuk mengelak serangan senjata musuh atau seumpamanya, dan ini tidak membatalkan solat.

  1. Berubah Niat Solat

Iaitu menukar niat kepada solat lain secara sengaja, seperti mengubah niat solat fardu kepada solat fardu yang lain.

  1. Murtad

Murtad bermaksud terkeluar daripada agama Islam, sama ada melalui perkataan, perbuatan ataupun keyakinan.

  1. Memanjangkan Rukun Yang Pendek Dengan Sengaja

Contohnya menambah doa yang panjang ketika iktidal sehingga iktidal menjadi lebih lama berbanding berdiri tegak.

Atau duduk antara dua sujud menjadi lebih lama daripada tahiyat.

  1. Mendahului Imam Dalam Solat Berjemaah

Solat terbatal apabila makmum mendahului imam sebanyak dua rukun fi’li (perbuatan) secara sengaja.

Namun, jika makmum mendahului imam tanpa sengaja, seperti ketika bangun daripada sujud lalu mendapati imam masih dalam keadaan sujud, maka dia perlu duduk menunggu imam yang sedang sujud itu dalam kedudukan tersebut.

  1. Memberi Salam Sebelum Masanya

Iaitu memberi salam sebelum selesai membaca tahiyat akhir, kerana salam merupakan tanda berakhirnya solat.

  1. Kembali Melakukan Sunat Yang Tertinggal Sesudah Melakukan Rukun.

Contohnya, seseorang terlupa melakukan tahiyat awal sedangkan dia sudah pun berdiri.

Sekiranya dia kembali duduk untuk melakukan tahiyat awal, solatnya terbatal. Ini kerana tahiyat awal hukumnya sunat, sedangkan berdiri tegak pada rakaat seterusnya adalah rukun.

Apa yang sepatutnya dilakukan ialah melakukan sujud sahwi.

  1. Mengulang-ulang Rukun Fi’li Dengan Sengaja

Solatnya terbatal kerana ia dianggap bermain-main atau mendahulukan perkara yang sepatutnya kemudian.

  1. Teragak-agak Dalam Solat

Iaitu teragak-agak sama ada hendak menghentikan solat atau meneruskannya, ketika solat belum lagi selesai.

Keadaan ini lazimnya berlaku dalam situasi tertentu seperti:

  • Makmum berasa ragu tentang kesucian dirinya daripada najis, atau ragu terhadap sah atau tidak wuduknya.
  • Berasa ragu atau syak terhadap niatnya, sama ada dia berniat solat zuhur atau asar dan seumpamanya.

Apabila dia terus berasa ragu-ragu tanpa mendapat kepastian sehingga berlalu satu rukun, atau berlalu tempoh yang mencukupi untuk melaksanakan satu rukun, maka solatnya terbatal.

Sebaliknya, jika dia berasa ragu semasa sedang berdiri tetapi telah memastikan sah wuduknya atau betul niatnya ketika masih berdiri iaitu sebelum rukuk, maka solatnya sah.

  1. Ketawa Dalam Solat

Ketawa terbahak-bahak serta ketawa gila akan membatalkan solat.

Perkara Yang Membolehkan Solat Dihentikan

Solat hanya dibenarkan untuk dihentikan disebabkan keadaan darurat atau uzur.

Ini merupakan kelonggaran yang dikurniakan oleh Allah SWT, walaupun pada waktu itu sepatutnya kita memberi tumpuan sepenuhnya kepada-Nya.

Perkara ini berkait dengan maslahah ataupun keselamatan orang ramai mahupun orang lain.

Sebahagian perkara mewajibkan kita menghentikan solat, manakala sebahagian yang lain hanya mengharuskannya.

Perkara Yang Menyebabkan Solat WAJIB Dihentikan

Maksud wajib di sini ialah:

Solat itu mesti dihentikan, dan seseorang itu berdosa jika tetap meneruskannya

Perkara Yang Menyebabkan Solat WAJIB Dihentikan — 1. Untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Contohnya menyelamatkan orang yang nyawanya terancam, seperti terjatuh ke dalam perigi, diserang binatang buas, atau dipukul penjenayah.

Seseorang itu wajib menghentikan solatnya sekiranya dia yakin mampu untuk membantu.

Perkara Yang Menyebabkan Solat WAJIB Dihentikan — 2. Untuk menjaga keselamatan diri atau harta.

Contohnya ketika sedang solat, dia ternampak kanak-kanak berjalan menuju ke arah parit, sungai atau tempat berbahaya, dan dibimbangi anak itu akan terjatuh ke dalamnya.

Begitu juga halnya untuk menyelamatkan harta apabila berlaku kebakaran.

Perkara Yang Menyebabkan Solat HARUS Dihentikan

Maksud harus di sini ialah:

Solat boleh diteruskan dan boleh juga dihentikan. Jika dihentikan, ia tidak menyebabkan dosa.

  1. Berlakunya kecurian barang, walaupun barang yang dicuri itu kepunyaan orang lain.
  2. Seorang ibu yang bimbangkan keselamatan anak kecilnya, atau seseorang yang tiba-tiba teringat ada masakan di atas dapur dan bimbang masakan itu hangus.
  3. Musafir yang bimbangkan gangguan pencuri serta perompak.
  4. Membunuh binatang berbahaya apabila perbuatan itu memerlukan pergerakan yang banyak.
  5. Berasa hendak membuang air besar atau air kecil, walaupun terpaksa keluar daripada solat berjemaah
  6. Menyahut panggilan ibu bapa ketika menunaikan solat sunat. Sekiranya yang ditunaikan itu solat fardu, maka tidak boleh dihentikan. Kecuali apabila panggilan ibu bapa itu, jika dibiarkan, akan membawa kepada mudarat seperti mereka memanggil kerana kesakitan dan memerlukan perhatian segera.

Perkara Makruh Dalam Solat

Apakah yang dimaksudkan dengan makruh?

Makruh bermaksud:

Sesuatu perbuatan yang diberi pahala jika ditinggalkan dan tidak berdosa apabila mengerjakannya

Antara contoh perkara makruh yang berlaku dalam solat ialah:

2. Menoleh atau melirik sehingga muka berpaling dari tempat sujud tanpa sebarang keperluan.

Sekiranya ada keperluan, seperti ingin memastikan sama ada imam telah rukuk ataupun belum, maka ia diharuskan.

Perbuatan memalingkan muka tanpa sebab menggambarkan seseorang itu tidak menghayati solatnya.

Namun, jika muka dipalingkan secara keterlaluan sehingga dada turut berpaling dari arah kiblat, maka solat itu terbatal.

4. Meludah ke arah kanan atau ke hadapan, walaupun ketika bersolat di luar masjid.

Akan tetapi, meludah ke sebelah kiri diharuskan dengan syarat tiada sesiapa di situ.

Dibenarkan juga meludah ke bawah, iaitu berhampiran dengan tapak kaki kiri.

6. Menahan kentut, menahan buang air kecil atau besar, dan menahan lapar kerana perkara-perkara ini boleh mengganggu kekhusyukan solat.

Sekiranya berasa lapar atau hendak membuang air sebelum memulakan solat, maka hajat itu hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.

7. Melakukan pekerjaan sia-sia yang menyebabkan lalai dalam solat.

Contohnya mematah-matahkan jari, menyilang-nyilangkan anak jari, membetulkan rambut, mengusap misai dan janggut, menutup hidung serta mulut tanpa sebab, bersandar pada dinding tanpa sebarang keuzuran dan seumpamanya.

10. Membaca surah pada dua rakaat yang terakhir

Kecuali bagi makmum yang masbuq, iaitu yang tertinggal dua rakaat awal bersama imam.

Dia boleh membaca surah pada dua rakaat terakhir imam, kerana bagi dirinya sendiri, dua rakaat itu merupakan dua rakaat yang awal.

11. Membaca dengan nyaring di tempat yang sepatutnya dibaca secara perlahan.

Contohnya, membaca al-Fatihah secara nyaring pada rakaat ketiga dan keempat.

Termasuk juga dalam hal ini ialah makmum yang menyaringkan bacaannya. Malah, apabila bacaan nyaring itu mengganggu makmum lain, hukumnya menjadi haram.

Perkara Harus Dalam Solat

Apakah yang dimaksudkan dengan harus?

Maksud harus ialah:

Sesuatu amalan yang tidak berpahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila meninggalkannya

Antara perkara yang harus dilakukan dalam solat ialah:

  1. Menangis tanpa mengeluarkan bunyi, tidak tersedu-sedu, dan tidak sampai menggerak-gerakkan badan.

Tangisan di sini ialah tangisan kerana rasa takut dan rasa berdosa kepada Allah SWT.

  1. Membunuh binatang berbisa yang mengancam nyawa ketika sedang bersolat, seperti lipan, ular dan kala jengking.

  2. Bergerak atau melangkah ke hadapan, ke belakang, ke kiri atau ke kanan sekiranya ada keperluan, dengan syarat ia tidak sampai tiga pergerakan berturut-turut.

Info Solat

Apabila salah seorang ahli jemaah meninggalkan saf solat, makmum yang berada di belakang atau di sisinya dibolehkan bergerak mengisi tempat yang kosong itu.

Begitu juga apabila najis cicak tiba-tiba terjatuh ke tempat sujud, maka diharuskan bergerak ke tempat lain bagi mengelak terkena najis yang boleh membatalkan solat.

  1. Menjawab salam menggunakan isyarat anak jari atau tangan.

  2. Membetulkan imam dengan niat berzikir apabila imam tersilap, seperti tersalah kira bilangan atau terlupa bacaan al-Fatihah.

Bagi makmum lelaki, dia dibenarkan membetulkan imam dengan bertasbih (subhanallah).

Bagi makmum wanita pula, dia perlu membetulkan imam dengan menepuk tangan ke atas belakang tapak tangan kiri.

  1. Mengingatkan imam yang terlupa ayat yang sedang dibacanya. Makmum boleh berbuat demikian dengan membacakan bacaan tersebut.

  2. Membaca sambil melihat al-Quran.

Seseorang yang tidak menghafal surah atau ayat al-Quran yang hendak dibaca dalam solat, dibolehkan melihat al-Quran ataupun lembaran kertas yang tertulis ayat berkenaan.

  1. Menggerakkan anggota badan seperti menggaru bahagian yang gatal, dengan syarat tidak sampai tiga kali berturut-turut.

Sekiranya menggaru menggunakan anggota kecil seperti jari, ia tidak mengapa walaupun melebihi tiga kali.

Penutup

Saya berharap agar panduan ini dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada anda.

Andai terdapat sebarang kesilapan dalam tulisan ini, mohon perbetulkan saya.

Semoga kita semua dapat sama-sama menimba ilmu serta memperbaiki amal ibadah kita kepada Allah.

Rujukan

  • Al-Quran (riwayat Hafs)
  • Sahih al-Bukhari, no. 6265
  • Sahih Muslim, no. 402
  • Sahih al-Bukhari, no. 3370

Soalan lazim

Bagaimana cara melakukan 13 RUKUN SOLAT (Panduan Mudah & Lengkap)?

Panduan 13 RUKUN SOLAT (Panduan Mudah & Lengkap) disusun dalam 35 langkah jelas, lengkap dengan teks Arab dan tulisan Rumi untuk setiap langkah supaya mudah diikuti.

Berapa langkah dalam panduan 13 RUKUN SOLAT (Panduan Mudah & Lengkap)?

Panduan ini mengandungi 35 langkah.

Panduan ini mengikut mazhab apa?

Kandungan ini mengikut mazhab shafii.