Langkau ke kandungan

Bacaan Istighfar

Doa & Zikir17 langkahDikemas kini 5 November 2026

Kandungan · 17
Bacaan Istighfar
  1. Mukadimah

    Apakah lafaz istighfar yang perlu kita ucapkan?

    Dalam panduan ini, anda akan mempelajari lafaz-lafaz istighfar serta doa-doa memohon keampunan yang dianjurkan.

    Selain itu, turut dikupas:

    • Hikmah mengamalkan istighfar secara berterusan
    • Syarat-syarat ketika melafazkan istighfar
    • Waktu yang sesuai untuk beristighfar

    … dan pelbagai perkara lain.

    Jom kita terus mulakan tanpa berlengah..

  2. Pengenalan

    Sebagai insan yang serba kekurangan, kita tidak dapat lari daripada terjebak dengan kesilapan dan dosa dalam kehidupan seharian.

    Namun Allah SWT, dengan sifatNya yang Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sentiasa membuka ruang untuk hamba-hambaNya memohon keampunan bila-bila masa dan di mana jua mereka berada.

    Allah SWT berfirman, yang maksudnya:

    Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Merahmati. — Surah al-Muzammil ayat 20

  3. Maksud Istighfar

    Apakah yang dimaksudkan dengan istighfar?

    Istighfar membawa erti:

    Merendahkan hati, jiwa dan fikiran kepada Allah sambil memohon keampunan terhadap setiap dosa dan kesilapan yang telah dilakukan.

  4. Hikmah Istighfar

    Apakah kebaikan di sebalik amalan istighfar?

    Hikmah membawa maksud kebaikan yang tersirat.

    Salah satu hikmah istighfar ialah pengampunan Allah SWT ke atas hambaNya tercapai apabila amalan taubat dan istighfar dilaksanakan.

    Kedua-dua amalan ini saling menyempurnakan antara satu sama lain agar Allah SWT melimpahkan keampunanNya kepada kita.

    Hikmah-hikmah istighfar yang lain termasuklah:

    1. Menenangkan jiwa yang gelisah akibat dosa.
    2. Merapatkan hubungan dengan Allah.
    3. Menambah ketakwaan dalam diri.
    4. Melawan tipu helah syaitan, yang sentiasa menjerat manusia ke lembah dosa.
    5. Meraih kemuliaan serta kurniaan Allah SWT di dunia dan di Akhirat.

  5. Syarat Istighfar

    Oleh kerana istighfar itu membawa erti taubat, syarat-syaratnya adalah serupa dengan syarat taubat nasuha.

    Antara syarat tersebut ialah:

    • Berhenti daripada maksiat.
    • Berasa menyesal terhadap maksiat yang pernah dilakukan
    • Berazam untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi.
    • Digalakkan juga menambah amal kebajikan seperti bersedekah dan menjamu fakir miskin, tetapi ia bukan syarat sah taubat.
    • Meminta maaf serta mengembalikan hak yang pernah diambil sekiranya ia melibatkan orang lain.
  6. Masa Untuk Istighfar

    Berikut ialah waktu-waktu yang dianjurkan untuk kita beristighfar:

    1. Sepanjang siang dan malam.
    2. Selepas terlanjur melakukan dosa.
    3. Sebelum masuk tidur.
    4. Sebelum bersahur.
    5. Selepas selesai mengambil wuduk.
    6. Semasa duduk antara dua sujud.
    7. Selepas bacaan tahiyat (tasyahud akhir).
    8. Sebelum beredar dari sesuatu majlis.
  7. Lafaz Istighfar

    Berikut ialah lafaz istighfar yang umum:

    أَسۡتَغۡفِرُ اللّٰهَ الۡعَظِيۡمَ

    AstagFirullaHal ‘Aziim

    أَسۡتَغۡفِرُ اللّٰهَ الۡعَظِيۡمَ الَّذِىۡ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الۡحَىُّ الۡقَيُّوۡمُ وَأَتُوۡبُ إِلَيۡهِ

    AstagFirullaHal ‘Aziim Allazi Laa iLaaHa illaa Huwal Hayyul Qayyum Wa AtuuBu iLaih.

    Maksudnya:

    Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup lagi sentiasa berdiri dengan sendirinya dan aku bertaubat kepada-Nya.”

    Walau bagaimanapun, terdapat keadaan dan situasi tertentu di mana kita dianjurkan membaca lafaz istighfar seperti berikut:

  8. Lafaz Istighfar ketika bersurai dari majlis (Tasbih Kaffarah)

    Istighfar ini dibaca ketika hendak bersurai daripada sesuatu majlis, contohnya majlis ceramah, jamuan doa selamat mahupun mesyuarat.

    Lafaz ini turut dikenali dengan nama tasbih kaffarah.

    سُبۡحَانَكَ اللّٰهُمَّ وَبِحَمۡدِكَ أَشۡهَدُ أَنۡ لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنۡتَ، أَسۡتَغۡفِرُكَ وَأَتُوۡبُ إِلَيۡكَ

    Subhaanaka Allaahumma wa bihamdika, ‘ash-hadu ‘an laa ‘ilaaha ‘illaa ‘Anta, ‘astaghfiruka wa ‘atuuBu ‘ilayka.

    Maksudnya:

    Maha Suci Engkau, ya Allah dan puja puji untuk-Mu. Aku naik saksi tiada tuhan selain Engkau. Aku memohon keampunan daripada-Mu dan bertaubat kepada-Mu. (Riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a.)

  9. Saiyidul Istighfar (Penghulu Istighfar)

    Lafaz ini digelar Penghulu Istighfar atau “Saiyidul Istighfar”, selaras dengan martabatnya yang tinggi dalam Islam.

    ٱللَّهُمَّ أَنۡتَ رَبِّي لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنۡتَ، خَلَقۡتَنِي وَأَنَا عَبۡدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهۡدِكَ وَوَعۡدِكَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُ، أَعُوذُبِكَ مِنۡ شَرِّ مَا صَنَعۡتُ، أَبُوءُلَكَ بِنِعۡمَتِكَ عَلَىَّ، وَأَبُوءُ بِذَنۡبِى، فَاغۡفِرۡلِى فَإِنَّهُ لَا يَغۡفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنۡتَ.

    Allaahumma Anta Rabbii Laa ilaaha illaa Annta Kholaq-tanii Wa Anaa ‘Abduka Wa Anaa ‘Ala ‘Ahdika Wawa’ Dika Mas-tatha’-tu Auudzu-bika Min Syarrimaa Sona’-tu Abuu-U Laka Bini’matika ‘Alayya Wa Abuu-U Bidzanmmbi, Faghfirlii Fainnahu Laa Yagh-Firudz-zunuuba Illaa Annta

    Maksudnya:

    Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau. Engkau telah menjadikan aku, dan aku ialah hamba Mu, aku tetap atas amanah-Mu dan janji-Mu sekadar kesanggupan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui kepada-Mu dengan nikmatMu ke atasku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, maka sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampuni dosa-dosaku selain Engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

  10. Istighfar Selepas Solat

    Doa istighfar ini sangat baik diamalkan terutamanya selepas solat, bagi menyegarkan kembali rasa insaf terhadap dosa yang kerap kita lakukan:

    اَللّٰهُمَّ إِنِّيۡ أَسۡتَغۡفِرُكَ مِنۡ كُلِّ ذَنۡبٍ تُبۡتُ إِلَيۡكَ مِنۡهُ، ثُمَّ عُدۡتُ فِيۡهِ. وَأَسۡتَغۡفِرُكَ مِنۡ كُلِّ مَا وَعَدۡتُكَ بِهِ مِنۡ نَفۡسِيۡ وَلَمۡ أُوۡفِ لَكَ بِهِ. وَأَسۡتَغۡفِرُكَ مِنۡ كُلِّ عَمَلٍ أَرَدۡتُ بِهِ وَجۡهَكَ، فَخَالَطَهُ غَيۡرُكَ. وَأَسۡتَغۡفِرُكَ مِنۡ كُلِّ نِعۡمَةٍ أَنۡعَمۡتَ بِهَا عَلَيَّ، فَاسۡتَعَنۡتُ بِهَا عَلَي مَعۡصِيَتِكَ. وَأَسۡتَغۡفِرُكَ يَا عَالِمَ الۡغَيۡبِ وَالشَّهَادَةِ مَنۡ كُلِّ ذَنۡبٍ أَتَيۡتُهُ فِي ضِيَاءِ النَّهَارِ، وَسَوَادِ اللَّيۡلِ فِيۡ مَلَأٍ أَوۡ خَلَاءٍ، وَسِرٍّ وَعَلَانِيَةٍ يَا حَلِيۡمُ.

    AllaHumma Inni AsTaghFiruka Min Kulli DzanBin TubTu IlayKa Minhu, TsumMa ‘UdTu FiiHi. Wa AstagFiruka Min Kulli Ma Wa ‘AdTuka Bihi Min Nafsi WaLam UuFi Laka Bihi. Wa AstagFiruka Min Kulli ‘Amalin ARodTu Bihi WajHaka, FaKhoLaThoHu GhoiRuKa. Wa AstagFiruka Min Kulli Ni’matin An AmTa BiHa Alayya, FasTa’anTu Biha Alaa’ Ma’ SiYaTika. Wa AstagFiruka Yaa ‘AaLimal-Ghoibi WasyHaaDati Min Kulli DzanBin ATaiTuhu Fii DhiYaa-InNaHar, WasaWaa Dil-LaiLi Fii MaLaa-in Au KhoLaaIn, Wa Sirrin Wa ‘Alaa NiyaTin Yaa Halim

    Maksudnya:

    Ya Allah, aku memohon ampun kepada-Mu daripada segala dosa yang aku telah bertaubat kepada-Mu kemudian aku ulanginya. Aku memohon kepada-Mu daripada segala perkara yang telah aku berjanji kepada-Mu daripada diriku yang tidak aku tunaikannya kepada-Mu. Aku memohon ampun kepada-Mu daripada segala amalan yang ingin aku lakukan kerana wajah-Mu, lalu ia bercampur aduk dengan selain daripada-Mu. Aku memohon keampunan-Mu daripada segala nikmat yang Engkau telah beri kepadaku lalu aku menggunakannya untuk mengerjakan maksiat terhadapMu. Aku memohon keampunan-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata daripada segala dosa yang aku kerjakannya di cahaya siang dan kegelapan malam, di khalayak ramai, bersendirian, secara rahsia dan terang-terangan, wahai Tuhan Yang Maha Penyantun.”

  11. Istighfar Sebelum Tidur

    Lafaz istighfar ini biasa diamalkan selepas solat lima waktu dan juga sebelum tidur, dibaca sebanyak 3 kali.

    أَسۡتَغۡفِرُ اللّٰهَ الۡعَظِيۡمَ الَّذِىۡ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الۡحَىُّ الۡقَيُّوۡمُ وَأَتُوۡبُ إِلَيۡهِ

    AstagFirullaHal ‘Aziim Allazi Laa iLaaHa illaa Huwal Hayyul Qayyum Wa AtuuBu iLaih.

    Maksudnya:

    Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup lagi sentiasa berdiri dengan sendirinya dan aku bertaubat kepada-Nya.”

  12. Istighfar Penenang Hati

    Lafaz taubat ini boleh dibaca bersama istighfar sebagai muhasabah diri (bukan lafaz yang warid daripada hadis):

    أَسۡتَغۡفِرُ اللّٰهَ الۡعَظِيۡمَ تُبۡنَا إِلَى اللّٰهِ، وَرَجَعۡنَا إِلَى اللّٰهِ وَنَدِمۡنَا عَلَى مَا فَعَلۡنَا، وَعَزَمۡنَا عَلَى أَنۡ لَا نَعُوۡدَ لِذَنۡبٍ أَبَدًا

    AstagFirullaHal ‘Aziim (3 kali). TubNaa ILallah, Wa RaJa’ Naa ILallah, Wa NaZimNa ‘Alaa Maa Fa ‘Alna, Wa ‘AzamNaa ‘Alaa An Laa Na’UuDa LiZanBi AbaDaa

    Maksudnya:

    Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung (3 kali). Kami telah bertaubat kepada Allah, kami telah kembali kepada Allah, kami telah menyesal atas apa yang telah kami lakukan, dan kami berazam untuk tidak lagi mengulangi dosa selama-lamanya.”

  13. Doa Istighfar

    Berikut ialah tempat-tempat di mana doa istighfar boleh diamalkan:

  14. Doa Selepas Tahiyat Sebelum Beri Salam

    i. Doa istighfar ini dilafazkan selepas tasyahud akhir sebelum memberi salam:

    اَللّٰهُمَّ اغۡفِرۡلِيۡ مَا قَدَّمۡتُ وَمَا أَخَّرۡتُ وَمَا أَسۡرَرۡتُ وَمَا أَعۡلَنۡتُ وَمَا أَسۡرَفۡتُ وَمَا أَنۡتَ أَعۡلَمُ بِهِ مِنِّيۡ. أَنۡتَ الۡمُقَدِّمُ وَأَنۡتَ الۡمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنۡتَ. يَا مُقَلِّبَ الۡقُلُوبِ ثَبِّتۡ قَلۡبِى عَلَى دِينِكَ. سُبۡحَانَكَ إِنِّىۡ كُنۡتُ مِنَ الظَّالِمِيۡنَ.

    Allahummag-Firli Maa QaddamTu Wa Maa AaKhorTu Wa Maa AsrorTu Wa Maa A’lanTu Wa Maa AsRarTu Wa Maa Anta A’laMu Bihi Minni. Antal Muqoddim Wa Antal-Muakhir, Laa ILaaHa IlLaa Anta. Ya Muqollibal Qulub Tsabit Qalbi ‘Alaa DiiNika. SubHaaNaka Ini KunTu Minaz-Zholimin

    Maksudnya:

    Ya Allah, ampunilah dosaku yang telah lalu dan yang kemudian, yang aku sembunyikan dan yang aku nyatakan, yang aku lakukan secara berlebih-lebihan, dan segala dosa yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah Yang Mendahulukan dan Engkaulah Yang Mengakhirkan, tiada tuhan selain Engkau. Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan sekalian hati, tetapkanlah hatiku atas (berpegang kepada) agama Engkau (Islam) dan atas menjunjung titah-Mu. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini sebahagian daripada orang yang zalim.”

    ii. Terdapat juga satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakar as Siddiq r.a. untuk dibaca semasa tasyahud sebelum salam:

    اَللّٰهُمَّ إِنِّىۡ ظَلَمۡتُ نَفۡسِىۡ ظُلۡمًا كَثِيۡرًا وَلَا يَغۡفِرُ الذُّنُوۡبَ إِلَّا أَنۡتَ. فَاغۡفِرۡلِىۡ مَغۡفِرَةً مِنۡ عِنۡدِكَ، وَارۡحَمۡنِىۡ إِنَّكَ أَنۡتَ الۡغَفُوۡرُ الرَّحِيۡمُ

    AllahumMa Inni ZholamTu Nafsi, Zulman KaTsiRan Wa Laa YagFiruz-DzuNuuBa Illaa Anta. FaghFirli Maghfiratan Min Indika, WarHamNi Innaka Antal GhoFuuRur-Rohim

    Maksudnya:

    Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, lagi besar, dan tidaklah ada seorang pun yang dapat mengampuni daku kecuali Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan yang sesempurnanya dari sisi Engkau dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Merahmati.”

  15. Istighfar Semasa Duduk Antara Dua Sujud

    Berikut ialah bacaan atau doa istighfar ketika duduk antara dua sujud (dalam solat):

    رَبِّ اغۡفِرۡ لِيۡ وَارۡحَمۡنِيۡ وَاجۡبُرۡنِيۡ وَارۡفَعۡنِيۡ وَارۡزُقۡنِيۡ وَاهۡدِنِيۡ وَعَافِنِيۡ وَاعۡفُ عَنِّيۡ.

    Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘Afini Wa’fu Anni

    Maksudnya:

    Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, tinggikanlah darjatku, kurniakanlah rezeki kepadaku, tunjukkanlah aku jalan yang benar, sejahterakanlah aku dan maafkanlah aku.”

  16. Istighfar Semasa Wuduk

    Doa ini dibaca pada awal wuduk ataupun ketika di pertengahannya:

    اَللّٰهُمَّ اغۡفِرۡ لِيۡ ذَنۡبِيۡ، وَوَسِّعۡ لِيۡ فِيۡ دَارِيۡ، وَبَارِكۡ لِيۡ فِيۡ رِزۡقِيۡ.

    AllahHummag-Firli DzanBi, Wa WasSigLi Fii DaaRi, Wa BaaRikLi Fii RizQi

    Maksudnya:

    Ya Allah, ampunilah segala dosaku, lapangkanlah rumah tanggaku dan berkatkanlah rezekiku.”

  17. Penutup: Istighfar Itu Jalan Keluar Dari Pelbagai Masalah

    Terdapat satu kisah teladan yang sangat indah untuk kita jadikan amalan.

    Kisah ini dinukilkan daripada kitab Tafsir al-Maraghi, karangan seorang ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi.

    Ia mengisahkan seorang tabi’in yang bernama Hasan al-Basri.

    Pelbagai golongan masyarakat sering datang menemui beliau untuk bertanyakan persoalan hukum agama serta memohon nasihat.

    Pada suatu hari, seorang lelaki datang mengadu tentang masalah kelaparan yang dihadapinya.

    Dengan penuh hikmah, beliau menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

    Selepas itu, datang pula seseorang yang mengadu belum dikurniakan zuriat. Jawab beliau, “Istighfarlah kepada Allah.”

    Seterusnya muncul seorang lelaki lain yang merungut kebunnya kering-kontang akibat musim kemarau.

    Sekali lagi beliau menjawab dengan penuh hikmah, “Beristighfarlah kepada Allah.”

    Masyarakat di sekeliling berasa hairan dengan jawapan Hasan al-Basri itu.

    Lalu seorang daripada penduduk tersebut pun bertanya:

    Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”

    Hasan al-Basri pun menjelaskan, “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”

    Firman Allah yang beliau maksudkan ialah Surah Nuh ayat 10-12.

    Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas bahawa Rasulullah bersabda, yang maksudnya:

    Sesiapa yang melazimi istighfar, Allah akan menjadikan baginya jalan keluar daripada setiap kesempitan, kelapangan daripada setiap kegundahan, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Sanad hadis ini dinilai lemah oleh sebahagian ulama hadis, namun maknanya selari dengan Surah Nuh ayat 10-12.)

    (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

    Sebagai kesimpulan, jadikanlah istighfar amalan yang berterusan.

    Dengan istighfar yang berterusan, semoga Allah memberi kita jalan keluar dan kelapangan dalam urusan hidup.

    Semoga bermanfaat untuk semua.

Rujukan

  • Mazhab Syafi'i (tradisi ulama')
  • Sunan Abu Dawud, no. 1517
  • Sunan al-Tirmidhi, no. 3433
  • Sahih al-Bukhari, no. 6306
  • Sahih al-Bukhari, no. 834
  • akuislam.com

Amalan & bacaan berkaitan